Tuesday, March 16, 2010

Sambutan Maulidur Rasul



Shah Alam, 27 Feb 2010 – Seramai 40 orang kontinjen daripada Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Shah Alam Klang telah menyertai Perarakan Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah Peringkat Kariah Seksyen 13.

Perarakan yang bermula sekitar jam 9 pagi ini turut diisi dengan salam dan selawat oleh para peserta yang cukup bersemangat terdiri daripada pelbagai peringkat usia rata-ratanya penduduk sekitar kariah.

Sambutan ini juga turut diserikan dengan persembahan nasyid, bacaan sajak, kuiz, zikir dan selawat. Bagi pertandingan perarakan, ISMA Shah Alam Klang memenangi tempat kedua daripada 9 kontijen yang terlibat dalam perarakan ini.

Sambutan Maulidur Rasul ini diteruskan dengan ceramah perdana pada waktu malamnya oleh Ustaz Azrin b Samsudin selaku Ketua Pembangunan Sumber Manusia Cawangan (ISMA) dengan tajuk “Berukhuwwah Cara Rasulullah SAW”. Ceramah ini berjaya menarik hampir 100 orang jemaah lelaki dan wanita sekitar taman.
Semoga program seperti ini dapat mencambahkan lagi kasih dan sayang kita kepada nabi junjungan, Nabi Muhammad SAW di samping menghayati dan mengamati peribadi baginda buat tauladan seluruh ummah.

Thursday, March 11, 2010

Kasih Kekasih

Hari valentine yang lalu menyaksikan betapa ramai muda mudi yang bergelumang dengan dosa dan maksiat di antara pasangan kekasih, biarpun telah berulang kali diberi peringatan mengenai hukum menyambut hari valentine itu adalah haram. Samada kerana terlalu cintakan kekasihnya atau kerana tidak dapat mengawal nafsunya sehingga ada dikalangan mereka yang ditangkap berduan di taman-taman dan tak terlepas juga ada yang ditangkap di dalam bilik hotel dan sanggup menggadaikan maruah diri mereka.

Kecetekan dalam ilmu agama dan penghayatannya menyebabkan ramai dikalangan muda mudi yang terjerumus ke lembah hina itu. Adapun tulisan saya pada kali ini mengajak ikhwah akhawat dan semua pembaca budiman untuk sama-sama kita memperbetulkan persepsi, dan salah tanggapan kita dalam meletakkan cinta dan kasih kita kepada manusia.

Islam bukan menghalang untuk kita berkasih sayang sesama manusia. Namun biarlah ia diletakkan pada tempatnya. Cinta utama kita saharusnya diletakkan kepada Allah dan Rasulullah. Kemudian jihad di jalanNya sebagaimana yag termaktub di dalam surah at-Taubah ayat 24 :

24. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).

Ayat di atas, jelas menyatakan akibat bagi mereka yang menyintai selain Allah, Rasul dan jihad untuk agamaNya melebihi tiga perkara ini bakal menempah azab daripada Allah s.w.t.. Bahkan mereka yang tersebut juga tergolong dikalangan orang yang fasik (derhaka).

Dikalangan manusia pula, kita seharusnya meletakkan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. melebihi yang lainnya. Ia juga bukti kepada cinta kita terhadap Allah, bahkan kita bakal memperoleh keampunanNya sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah Ali-‘Imran ayat 31 :

31. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Pengorbanan dan jasa besar yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. buat ummatNya dengan tidak membiarkan mereka berada dalam kesesatan dan kegelapan. Bahkan Nabi memimpin dan menunjuki mereka ke jalan kebenaran, menyampaikan risalah dari Tuhan, membersihkan diri mereka dari kekotoran akidah dan kefahaman. Suatu jasa yang sangat besar dipamerkan, yang sepatutnya melahirkan rasa terhutang budi, kasih dan cinta terhadap baginda nabi seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam surah al-Jum’ah : 2 ;

2. Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). dan Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah Dalam kesesatan Yang nyata.

Bahkan kehadiran nabi ke atas seluruh makhluk dan bumi ini merupakan suatu rahmat yang sangat besar dan harapan daripada semua makhluk di atas muka bumi ini. Perkara ini dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam surah al-Anbiya’ : 107 ;

107. Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Sebagai tanda bersyukur dan berterima kasih dengan rahmat dan nikmat ini maka diperintahkan kita agar bergembira dengan pengutusan tersebut, sebagaimana yang termaktub pada surah Yunus ayat 58 :

58. Katakanlah (Wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata Dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka Dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan Dengan Yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa Yang mereka himpunkan dari Segala benda dan perkara Yang tidak kekal)".

Selain daripada mempamerkan kegembiraan tersebut, kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan berselawat ke atas baginda Nabi s.a.w. dan menjadi syarat untuk memastikan ibadah kita terutamanya sembahyang diterima Allah. Bahkan Allah s.w.t dan para malaikatNya juga turut berselawat ke atas Nabi, dan kita diperintahkan untuk berselawat bersama-sama sepertimana diperintahkan oleh di dalam surah al-Ahzab ayat 56 :

56. Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya.

Bahkan tersebut di dalam sebuah hadis yang mafhumnya bermaksud : “Mereka yang paling kedekut dikalangan umatku ialah mereka yang bilamana disebut namaku tetapi tidak berselawat ke atasku”. Marilah sama-sama kita mencintai Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w. dengan harapan mendapat keredhaan Allah dan mengharapkan agar Allah menempatkan kita nanti bersama Baginda Nabi di Syurga kelak. Disamping itu, kita juga haruslah berusaha untuk mengamalkan segala sunnah baginda, mentaati segala perintahnya, meninggalkan segala larangannya dan apa yang lebih penting berusaha menyambung perjuangan Baginda untuk menyebarkan risalah Islam keseluruh alam. Suatu sunnah besar Nabi yang kian dilupa dan dipinggir.
Semoga cinta ini berkekalan hingga ke akhirat bersama syafaat Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Amin ya Rabbal ‘alamin.