Sunday, May 30, 2010

dosa-dosa & facebook

Zaharuddin.net on Facebook

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang
kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara
penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada
haram, malah berganda-ganda haramnya.


Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa
terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam
perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook .


Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau
tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa,
benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak
suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status
tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka.
Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli
rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya
melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.





Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang
rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan
perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang
ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan
suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk
mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan
di dalam diri.





Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat
yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak
boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka
secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di
pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat
diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada
seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan
adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan
berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara
tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama
ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.





Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri)
TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia
dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.


Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan
pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat 'membaca' dan mengetahui
secara tersirat bahawa si pemilik sedang 'perang dingin' dengan
pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi
apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya.
Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya
melalui facebook.


Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda,
agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada
anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (
delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa
pertimbangan aqal yang wajar.


2) Terlebih gambar


Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin
sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan
pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang
memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat , sangat dekat (
sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau
seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang
pelbagai.





Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan
kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan
gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan
prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya,
sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau
senda, dan membuat 'lamaran' nafsu .





Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan
memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja
lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah
bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa
bersalah.





Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan
wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket
kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah
jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH
di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah
'janganlah kamu menghampiri zina'.





Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar
isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang
sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .





3) Penyamaran


Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya
mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki
berang kerana tidak diluluskan menjadi 'friend' seseorang wanita .
Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada
gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses,
terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar
mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di
interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini
berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit
dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.





Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya
telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada
yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya
membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua
gambar tersebut masih terhad dan terjaga.





4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.


Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu
'bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat
turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya.
Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai
'rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan.
Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada
mereka yang lain.





Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar
mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan
sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan
suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali
anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.





Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti,
terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda
mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita
lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan
wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik
gambar mendapat saham dosa.





5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.



Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu
fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri
sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi
sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis
oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir.
Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.





Ini adalah kerana, terdapat 'trend' menyebarkan gambar-gambar lama,
dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar.
Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh
dilihat oleh semua friend , dan rakan kepada friend tersebut juga
boleh menontonnya .





Ini boleh menjadi dosa, kerana :-




a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin
dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat .
Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah
haram.


b- Individu terbabit berada di dalam rumah , bersama
keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna
kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan 'candid' ,
tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga
terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar.
Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete
'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak
mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh
dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun
malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka
boleh 'untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh
untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah
dan berDOSA di dalam Islam.


c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan
itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan.
Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana
dia dalam keadaan baik dan bagus . Namun rakannya berada dalam
situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan
'seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata
masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar
nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya
secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau
tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar
anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi
terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.






6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan





Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup
solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman
universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan
dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up
cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal
dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam
lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari
jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.





Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian
extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana
lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk
dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Lahirlah kata-kata, 'zaman aku ekstrem', 'zaman solehah', 'waktu
innocent ', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa
duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.





Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila
berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi
solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah
mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika
tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah
sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang
sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.








KESIMPULAN



Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul,
boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi.
Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.


Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya
tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di
antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga.
Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.


Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada
Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah
al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di
kalangan mukmin.


Sekian

Tuesday, May 4, 2010

Pendatang haram Yahudi dipercayai bakar masjid



RAMALLAH: Pendatang haram Yahudi disyaki membakar sebuah masjid di utara Tebing Barat sebelum fajar semalam, tindakan kedua mencemar masjid dalam tempoh dua minggu. Masjid itu terletak di Lub-ban ash-Sharqiya kira-kira 10 kilometer selatan Nablus, sebahagian besarnya musnah dalam serangan, kata Datuk Bandar, Jamal Daraghma.

“Penduduk penempatan Yahudi membakar masjid terbabit. Saksi mendengar bunyi kereta mereka berhampiran masjid kira-kira jam 3 pagi dan melihat mereka menerusi tingkap sedang membakar buku di dalamnya,” kata Daraghma kepada AFP, menyatakan sebahagian besar masjid itu hangus terbakar.

Bandar itu terletak berhampiran tiga penempatan Yahudi: Eli, Maaleh Levona dan Shiloh.

Radio Israel berkata tentera Israel sebagai kuasa penceroboh Tebing Barat, membuka satu siasatan terhadap punca kebakaran.

Pada 14 April lalu, sebuah masjid di Huwara berhampiran Nablus dicemari penduduk haram Yahudi yang menconteng patung Yahudi dan Star of David pada dindingnya, kata sumber keselamatan Palestin.
Dua kereta juga dibakar ketika insiden itu, menyebabkan tentera Israel membuka satu siasatan.

Disember lalu, penduduk haram Yahudi merosakkan satu lagi masjid di utara perkampungan Tebing Barat di Yasuf, membakar Al-Quran dan menyembur mesej kebencian dalam tulisan Yahudi. Insiden itu mencetuskan pertempuran di antara penduduk dan tentera Israel. Seorang budak lelaki 17 tahun di penempatan Yahudi berhampiran kemudian ditahan.