Wednesday, June 16, 2010

Wahai Bangsaku

1. Melayu menentang Malayan Union kerana rancangan British ini akan memberi hak kepada sesiapa sahaja menjadi rakyatnya.

2. Melayu pada masa itu takut jumlah rakyat bukan Melayu yang rata-rata lebih kaya dan lebih terpelajar akan menguasai bukan sahaja ekonomi tetapi juga politik Malayan Union. Dengan ini akan terlucutlah kuasa Melayu ke atas negeri-negeri Melayu.

3. Sebab itu apabila mereka tewaskan Malayan Union, persekutuan yang menggantinya secara rasmi dinamakan Pesekutuan Tanah Melayu. Dalam Persekutuan ini 80 peratus lebih rakyatnya terdiri daripada orang Melayu. Kelebihan yang tinggi ini meyakinkan mereka yang nasib mereka akan ditentukan oleh mereka.


4. Dalam Pilihanraya 1955 mereka bersedia untuk memberi kawasan-kawasan yang majoriti pengundinya Melayu kepada calon kaum-kaum lain daripada parti-parti rakan dalam Perikatan. Dengan undi yang ada pada mereka, mereka tentukan calon-calon bukan Melayu ini mendapat kemenangan. Tujuan korban ini ialah untuk meyakinkan penjajah British yang orang Melayu tidak akan menindas kaum lain apabila berkuasa.

5. Dengan ini British pun memberi kemerdekaan pada tahun 1957, iaitu hanya dua tahun selepas korban yang dibuat oleh orang Melayu.

6. Atas tuntutan Sir Tan Cheng Lok supaya ditambah rakyat bukan Melayu, Kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman bersetuju untuk mengurangkan peratusan rakyat Melayu daripada 80 peratus kepada 60 peratus dengan memberi kerakyatan tanpa syarat kepada penduduk bukan Melayu. Satu kontrak sosial dibuat supaya pengurangan ini diimbangkan dengan agihan kekayaan yang lebih saksama kepada orang Melayu. Bagaimana ini hendak dicapai tidak pula dijelaskan.

7. Pemimpin Melayu berpendapat dengan 60 peratus daripada warga negara terdiri daripada Melayu, mereka masih menjadi majoriti dan masa depan mereka terjamin. Angka ini tidak banyak berubah apabila terbentuknya Malaysia.

8. Dalam sistem demokrasi memanglah majoriti akan berkuasa. Tetapi yang tidak diambilkira oleh kepimpinan Melayu ialah Melayu akan berpecah dan bermusuh sesama sendiri. Apabila ini berlaku kelebihan jumlah mereka tidak lagi akan menjadi mereka kaum majoriti dalam negara.

9. Perpecahan bermula apabila ulama-ulama UMNO memisahkan diri mereka untuk menubuh Parti PMIP (Pan-Malayan Islamic Party). Pada mulanya PMIP tidak berjaya menghakiskan sokongan kepada pertubuhan utama orang melayu iaitu UMNO.

10. Kemudian kerana rebutan kepimpinan dalam UMNO, parti serpihan Semangat 46 ditubuh.

11. Walaupun Semangat 46 dibubar dan diserap semula kedalam UMNO tetapi ramai yang tidak dapat terima percantuman semula ini. Dengan itu sedikit sebanyak UMNO Kehilangan penyokong.

12. Kemudian Timbalan Presiden UMNO terpaksa disingkir daripada UMNO dan ianya berjaya dengan cara-cara tertentu mengheret keluar ahli UMNO untuk menyertai satu lagi parti Melayu. Perbuatan ini berjaya membahagikan orang Melayu kepada tiga buah parti, iaitu UMNO, PAS dan PKR.

13. Dengan adanya tiga buah parti, orang Melayu yang dahulu menjadi majoriti warga negara dengan jumlah 60 peratus daripada seluruh rakyat Malaysia sudah berpecah dan terbahagi kepada tiga kumpulan. Tidak ada satu pun daripada kumpulan ini yang disokong oleh majoriti rakyat. Ketiga-tiga mendapat sokongan tidak lebih daripada 30 peratus rakyat negara. Dengan perkataan lain orang Melayu sudah jadi puak minoriti dalam negara.

14. Sebagai puak minoriti mereka tidak mungkin lagi menjadi kuasa utama dalam parti-parti campuran yang disertai oleh mereka.

15. Mungkin mereka diletak sebagai pemimpin tertinggi dalam Kerajaan-Kerajaan Pusat dan Negeri. Tetapi mereka terpaksa mengikut telunjuk rakan-rakan mereka.

16. Kita lihat di Perak umpamanya apabila Kerajaan yang diketuai oleh Melayu dijatuhkan, kaum tertentu menganggap bahawa sebuah Kerajaan milik kaum itu yang dijatuhkan.

17. Mungkin di peringkat pusat juga akan ada ketua kepimpinan yang terdiri daripada Melayu tetapi duduk dibawah telunjuk orang lain.

18. Dengan ini besar kemungkinan Melayu secara sebenar sudah menjadi puak minoriti yang tidak berkuasa di negara sendiri. Kalau mereka berpendapat mereka akan diberi layanan yang baik apabila sudah tidak sebenar berkuasa, lihatlah sahaja nasib kaum mereka yang sudah menjadi kaum minoriti di negara jiran.

19. Masa sudah tiba untuk orang Melayu memikir dengan mendalam akan nasib masa depan mereka. Bersatu teguh, bercerai roboh. Pilihlah yang mana satu.

20. Saya akan dituduh "chanuvinist" dan "racist" kerana menyuarakan pendapat saya ini. Saya sanggup dilabel dengan apa sahaja label. Niat saya ialah untuk memperingati kita semua sebelum nasi jadi bubur. Berpecah dan berebutlah. Akhirnya yang dikendong akan berciciran dan yang dikejar tidak tercapai.

Wahai Melayu,

Kemana kamu?


(hasil tulisan Che Det)

Monday, June 14, 2010

KENYATAAN RASMI MAJLIS ULAMA ISMA (MUIS) BERKAITAN HASRAT KERAJAAN MENGELUARKAN LESEN JUDI SEMPENA BOLASEPAK PIALA DUNIA 2010



Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) memandang serius mengenai hasrat kerajaan mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena berlangsungnya perlawanan Bolasepak Piala Dunia 2010 bagi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram. Pada hemat MUIS, hasrat tersebut tidak wajar diteruskan kerana ianya bukan sahaja bertentangan dengan ajaran mana-mana agama, bahkan ianya juga bercanggah dengan lunas dan tatacara berfikir yang betul serta tidak menepati etika dan budaya masyarakat ketimuran. Malah MUIS berpendapat dengan pemberian lesen judi berkenaan akan mengundang pelbagai impak negatif kepada negara, masyarakat dan individu. Dengan itu, MUIS menyarankan agar pihak kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut bersandarkan kepada beberapa pertimbangan berikut;

1. Menjatuhkan nama baik Malaysia sebagai sebuah negara yang memartabatkan Islam sebagai agama rasmi di persada dunia. Sedangkan amalan judi merupakan salah satu tegahan Allah SWT yang sangat jelas. FirmanNya;

يَاأَيُّهَاالَّذِينَ آمَنُواإِنَّمَاالْخَمْرُوَالْمَيْسِرُوَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُون

Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib merupakan amalan yang kotor (keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Al-Maidah : 90)

Dengan pemberian lesen tersebut secara tidak langsung telah melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara yang membenarkan amalan judi. Hal ini amat bercanggah dengan roh dan inspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam dari sudut perundangan, budaya dan sosio masyarakat.

2. Menghormati sensitiviti umat Islam yang berpendapat judi sebagai aktiviti haram dari sudut syara` dan majoriti rakyat Malaysia yang memandang judi sebagai aktiviti jijik dan yang tidak bermoral. Manusia yang berfikir secara waras dan bijaksana akan menolak amalan judi biar sekali pun mereka bukan terdiri daripada orang yang kuat berpegang kepada agama atau sebaliknya. Malah mereka yang tidak beragama sekalipun tetap berpendapat judi akan merosakkan individu dan masyarakat. Berjudi merupakan pembaziran tanpa sebab, membuang masa dan melalaikan, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, melatih sifat malas berusaha dan membiasakan tabiat suka berhutang, menimbulkan kepincangan ekonomi individu secara tiba-tiba dan akhirnya memporak-perandakan keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Sepatutnya pihak kerajaan perlulah lebih prihatin dalam memberi pertimbangan mengenai perkara-perkara sebegini demi menjaga keharmonian dan kemaslahatan rakyat jelata.

3. Tidak dapat dinafikan hasrat kerajaan mengawal aktiviti judi tidak berlesen adalah satu langkah yang amat positif namun penyelesaiaannya bukanlah dengan cara memberi lesen. Justifikasi kerajaan bahawa pemberian judi berlesen akan memudahkan pengawalan adalah tidak tepat sama sekali. Pemberian judi berlesen tidak akan sama sekali membawa kepada pengawalan aktiviti judi tidak berlesen. Tidak ada sebarang jaminan bahawa para penjudi akan hanya berjudi melalui judi berlesen. Begitu juga justifikasi pihak kerajaan bahawa pemberian lesen judi akan meningkatkan kutipan hasil yang akan dapat dimanfaat untuk faedah rakyat dan kepentingan Negara adalah terlalu lemah. Kenapa kita hanya melihat kepada faedah jangka pendek dan melupakan segala bentuk masalah yang lebih besar dan segala macam kepincangan yang akan dihasilkan daripada pemberian judi berlesen ini. Firman Allah:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِوَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَاإِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَاأَكْبَرُمِن نَّفْعِهِمَا ۗ

Maksudnya: “ mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” (al-Baqarah : 219)

Secara umumnya, untuk menimbang tara kemaslahatan dan kemudhratan, Imam al-Syatibi mengemukakan beberapa asas utama yang boleh dijadikan rujukan dan panduan seperti;

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya: “Menolak kerosakan hendaklah didahulukan daripada mengambil
kemanfaatan”

تصرف الإمام منوط بالمصلحة

Maksudnya: “Tindak tanduk pemerintah hendaklah bersandarkan maslahat”.



Persoalannya, apakah dengan memberikan lesen judi itu akan memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum untuk rakyat (maslahat)? Pada hal, pemerintah juga hendaklah bertanggungjawab mengawal, membasmi, mencegah dan menghindari kemungkaran, kefasadan yang berlaku. MUIS berpendapat, cadangan tersebut tidak mendatangkan sebarang kebaikan atau kemaslahatan kepada kepentingan umum rakyat kecuali hanyalah kepada individu-individu tertentu yang bergelar taukeh judi semata-mata. Malah cadangan tersebut turut membelakangkan kepentingan umum yang kerap disarankan oleh pihak kerajaan supaya rakyat tekun bekerja, giat bertani dan berniaga, membina kecerdasan intelektual dan matang, mempunyai daya saing yang tinggi di samping keluhuran peribadi dan pegangan yang utuh kepada nilai dan agama.

Justeru itu, MUIS membantah sekeras-kerasnya hasrat pihak kerajaan untuk mengeluarkan lesen judi tersebut sempena perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010 demi menjaga kemaslahatan rakyat jelata dan memartabatkan negara, bangsa dan agama.

نسأل الله أن يوفق المسلمين لاختيار الطريق القويم ، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang benar,

Majlis Ulama ISMA

Friday, June 11, 2010

Jalan-jalan Remaja 2



Rabu (16 Jun 2010), Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam Klang telah mengadakan sebuah program bagi remaja berumur lingkungan umur 11 tahun – 14 tahun. Program ini terbuka hanya kepada remaja lelaki. Seramai 16 orang peserta dan dipimpin oleh 8 orang fasi serta 3 orang ahli jawatankuasa. Syukur ke hadrat Ilahi kerana membenarkan program ini berjalan dengan baik.



Aktiviti utama program ini adalah aktiviti Islamic Explorace. Lokasi bagi aktiviti exploce tersebut ialah seluruh kawasan Taman Tasik Shah Alam. Objektif utama program ini ialah bagi memberi keyakinan dan mengenal potensi diri masing-masing. Selepas pendaftaran, peserta meneruskan dengan aktiviti ‘ice-breaking’ yang disertakan dengan aktiviti-aktiviti menarik lain. Kemudiannya aktiviti explorace menyusul selepas itu. Selesai explorace, Ustaz Mohd Rizal bin Sabran memberi sedikit pengisian serta tayangan kepada semua peserta.





Sebelum berakhirnya program, sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh En. Sanusi, AJK Surau At-Taqwa, Seksyen 7. Program pada hari tersebut telah berjalan dengan baik. Diharap para remaja akan terus bersama kami untuk menjalani pelbagai aktiviti menarik akan datang