AL-QURAN

Risalah dari Prof. Dr. Muhammad Badi’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin (23/9/2010)
Segala puji hanya bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mengikutinya dengan baik sehingga hari Kiamat.
 
Al-Quran adalah perlembagaan yang menyeluruh kepada hukum Islam, sumber yang melimpahkan segala kebaikan dan hikmah ke atas hati para mukmin dan sumber yang paling utama yang mendekatkan hamba kepada Allah SWT.

Dari Ibn Mas’ud r.a dari Nabi saw yang bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya Al-Quran ini adalah “hidangan” dari Allah. Terimalah hidangan ini dengan kamu “memakannya”. Al-Quran ini adalah tali Allah, cahaya yang terang, penyembuhan yang berguna, penjaga kepada orang yang berlindung dengannya dan penyelamat kepada orang yang mengikutinya”. (Al-Hakim)
Al-Quran menghimpunkan usul akidah, perintah-perintah beribadah, asas-asas kemaslahatan masyarakat dan keterangan-keterangan peraturan duniawi. Di dalamnya terkandung perintah dan larangan. Semuanya adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia tanpa membezakan agama, warna kulit, keturunan, bahasa dan kedudukan.

Kewajipan orang Islam terhadap Al-Quran

Imam Al-Banna telah merumuskan kewajipan muslimin terhadap Al-Quran dengan katanya: “Saya menyakini bahawa kewajipan yang paling utama umat Islam terhadap Al-Quran ada tiga perkara:
  1. Memperbanyakkan membacanya kerana hasil dari pembacaan Al-Quran akan menggiatkan lagi ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  2. Menjadikan Al-Quran sebagai sumber hukum agama dan syariatnya. Melalui Al-Quran segala hukum diambil, digunakan, dihirup dan dipelajari.
  3. Menjadikan Al-Quran sebagai asas kepada hukum dunia, kerana melaluinya dikembangkan lagi asasnya dan dari segala hikmahnya diaplikasi dan dipraktikkan dalam kehidupan.
 
Al-Quran pada satu ketika dahulu sebagai perhiasaan solat tetapi kini sebagai perhiasaan majlis. Satu ketika dahulu sebagai timbangan keadilan di mahkamah tetapi kini sebagai hiburan yang sia-sia pada musim tertentu. Satu ketika sebagai bahan utama dalam ceramah dan pengajian tetapi kini sebagai barang perhiasan dan tangkal azimat..
 
Jika anda telah mengetahui hal ini..Ketahuilah bahwa Ikhwan Muslimin sedang berusaha bersungguh-sungguh supaya diri mereka sebagai pihak yang mula-mula sekali kembali kepada Kitab Allah, sentiasa membacanya, mengambil kata-kata para sarjana Islam untuk memahami ayat-ayatnya, meminta manusia melaksanakan hukumnya, mengajak manusia bersama-sama mereka untuk mencapai matlamat ini yang merupakan matlamat yang teragung bagi seorang muslim di dalam hidup..Iaitu meletakkan hak al-Quran sebagai perlembagaan kita dan perlembagaan umat.
 
Imam As-Syahid Hassan al-Banna pernah berpesan kepada Ikhwan Muslimin dengan katanya:  
 
“Wahai Ikhwan, anda bukanlah sebuah badan kebajikan atau parti politik, bukan pertubuhan setempat bagi melaksanakan tujuan yang tertentu dan terbatas. Tetapi anda bagaikan ruh baru yang mengalir di dalam jantung umat ini yang dihidupkan oleh al-Quran, suatu cahaya baru yang menyinari alam yang melenyapkan kegelapan kebendaan dengan mengenali Allah, suatu suara yang kuat dan berulang-ulang yang membawa dakwah Rasul saw. Satu fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa anda kini sedang memikul bebanan ini selepas semua manusia meninggalkan tanggungjawab ini”.

Al-Quran terpelihara di dalam dada, tulisan dan amalan

Firman Allah SWT bermaksud:

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya”. (Al-Hijr: 9)

Allah SWT telah menurunkan Al-Quran sebagai Kitab yang terakhir diturunkan dari langit supaya menjadi petunjuk kepada manusia sehingga hari Kiamat. Kemudian Allah berjanji untuk memeliharanya dan menjaganya kerana Al-Quran tetap terpelihara dan terjamin dari sebarang perubahan. Firman Allah SWT bermaksud:

“Yang tidak datang kepadanya (Al Quran) kebatilan baik dari depan maupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji”. (Fushilat: 42)

Berdasarkan hakikat ini terbukti pemeliharaan Allah  SWT terhadap Al-Quran.
Dari Yahya bin Aktsam berkata: “Semasa Khalifah al-Ma’mun berada dalam satu majlis yang dihadiri ramai orang termasuk sekumpulan lelaki Yahudi. Seorang lelaki Yahudi telah menyampaikan ucapan dengan kata-kata yang baik. Yahya berkata: “Setelah majlis tamat al-Ma’mun memanggilnya sambil bertanya: “Adakah anda seorang seorang Yahudi? Jawabnya: Ya. Al-Ma’mun bertanya lagi: “Adakah anda telah Islam supaya saya melayanimu dan memberi khidmat terbaik untukmu”. Beliau juga menjanjikan sesuatu. Lantas lelaki Yahudi itu berkata: “Agama saya seperti agama nenek moyang saya!”. Kemudian ia beredar.
 
Menurut Yahya; Setelah selang setahun lelaki Yahudi itu datang menemui kami dalam keadaan telah Islam. Beliau tentang berbicara ilmu Fiqh dengan begitu baik sekali. Bila majlis selesai Khalifah al-Ma’mun memanggilnya sambil bertanya: “Adakah kita pernah bersua muka?. Jawab lelaki itu: “Tentu”. Lantas al-Ma’mun bertanya lagi: “Apakah sebab anda memeluk agama Islam?”. Cerita lelaki Yahudi itu: “Selepas saya beredar dari majlis tuan saya ingin menguji agama-agama ini. Tentu tuan akan lihat saya sebagai penulis yang baik. Saya telah ambil Taurat, lalu saya tulis tiga helai di mana ada yang saya tambah dan ada saya kurangi. Kemudian saya masuk ke kuil dan mereka membelinya dari saya. Saya telah ambil Injil, lalu saya tulis tiga helai di mana ada yang saya tambah dan ada yang saya kurangi. Kemudia saya masuk ke tempat jualan dan mereka membelinya dari saya. Kemudian saya ambil al-Quran, lalu saya tulis tiga helai di mana ada yang saya tambah dan ada yang saya kurangi. Saya memasukkan dua kertas ke dalamnya dan menutupnya. Tetapi bila mereka dapati terdapat tambahan dan kekurangan, mereka mencampakkannya dan tidak membeli dari saya. Kini saya tahu bahawa Kitab ini tepelihara. Inilah sebab saya memeluk Islam”.

Al-Quran dipelihara dalam tiga bentuk
  1. Al-Quran dihafaz di dada. Inilah yang asal kerana al-Quran diterima secara talaqqi mushafahah (dari mulut ke mulut). Jibril a.s telah membacakan wahyu kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah pula membacakan kepada para Sahabat r.a, kemudian para Tabien menerimanya dari para Sahabat. Begitulah silsilah yang bersambungan hingga hari ini dan hingga hari Kiamat. 
  2. Al-Quran dipelihara melalui tulisan. Nabi saw pada ketika turun satu atau beberapa ayat menyuruh penulis wahyu supaya menulis ayat di tempatnya dalam surah tertentu. Lembaran-lembaran ini tercerai-cerai hingga dihimpunkan oleh Khalifah Abu Bakar r.a di dalam satu tempat, kemudian datang Khalifah Uthman r.a selepas itu dengan membukukan dan mengedarkan ke beberapa wilayah.
  3. Al-Quran terpelihara kerana diamalkan. Iaitu menjadikan al-Quran sebagai manhaj hidup muslim seperti individu dalam diri dan keluarganya yang mempraktikkan hukumnya dengan menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, beradab dengan adab dan akhlaknya seperti akhlak Nabi saw. Saidatina Aisyah r.a pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah saw. Lantas Aisyah bertanya: “Adakah anda membaca al-Quran?”. Lalu Sahabat menjawab: “Tentu”. Jelas Aisyah lagi: Sesungguhnya akhlak Nabi saw adalah al-Quran”. (Sahih Muslim)
 
Di peringkat Negara yang menjadikan Islam sebagai agamanya hendaklah menjadikan Al-Quran sebagai asas undang-undangnya dan sumber syariat yang utama, sebagai neraca keadilannya di mahkamah dan menjadikan Al-Quran antara asas manhaj pendidikan dalam semua peringkat pembelajaran.
 
Begitu juga wajib bagi sebuah Negara mengetahui bahwa mana-mana fasal dalam perlembagaan yang tidak dicorakkan dari Islam dan menepati hukumnya wajibkah dibuang supaya tiada lagi pertentangan dalam undang-undang bagi sebuah Negara.

Titik tolak yang asasi bagi mencapai perubahan yang diidamkan

Firman Allah SWT bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. (Ar-Ra’d: 11)
Ayat ini adalah titik tolak yang asasi bagi mencapai perubahan yang diidamkan. Melalui ayat ini tercapai kesejahteraan dalam naungan Islam..kerana muslimin generasi awal selama hampir satu perempat kurun telah mengecapi kemenangan ke atas musuh mereka. Sedangkan mereka pada masa itu bukan mempunyai bilangan yang ramai atau kelengkapan yang kuat, tetapi Al-Quran turun melalui Jibril a.s ke dalam lubuk hati yang jujur lagi amanah. Lalu nabi saw membacakannya kepada para Sahabat sehingga mengalir suatu ruh dan semangat baru sehingga menjadikan mereka suatu makhluk yang lain. Mereka sanggup mengorbankan diri kerana bagi mereka tiada tujuan lain melainkan keredhaan Allah SWT.

Firman Allah bermaksud:

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya”. (Al-Baqarah: 207)
Al-Quran telah mengubah jiwa para Sahabat. Lantas mereka telah memusnahkan seluruh berhala yang mereka agungkan selama ini. Kini mereka beriman dengan satu Tuhan. Tidak menyembah selain-Nya, tidak tunduk selain-Nya dan tidak takut selain-Nya.
 
Bagi mereka dunia bukan impian mereka lagi sebaliknya akhirat adalah cita-cita dan harapan mereka dengan berpegang kepada perjanjian ini:

“Sesungguhnya Allah Telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh”. (At-Taubah: 111)
Di Gaza terbukti keteguhan dan kemulian ini. Rahsianya yang utama adalah ruh Al-Quran yang mengalir di dalam jiwa-jiwa mereka kerana memperolehi kekuatan daripada Allah, SWT bersenjatakan dengan sifat sabar dan cekal hati yang dihirup daripada al-quran yang sentiasa memperbaharui iman mereka. Melalui iman dan keyakinan ini mereka sama sekali tidak mengiktiraf Israel, tidak takut Amerika, tidak gentar banyak dan kuatnya seruan supaya menyerah kalah. Mereka tidak mengendahkannya. Bahkan mereka terus menuntut hak mereka sepenuhnya, meminta dikembalikan tanahair mereka seluruhnya. Mereka sedikitpun tidak berasa lemah dan putus asa di atas kesusahan dan keperitan yang menimpa mereka di jalan Allah. Alangkah indahnya pendirian mereka ketika ada orang yang mahu membakar satu naskhah Al-Quran yang dicetak di atas kertas dengan mengatakan bahawa mereka mampu mencetak 60,000 naskhah Al-Quran di dada mereka.

Bagaimana mereka tidak mampu melakukannya!!
Al-Quran adalah rahsia kecekalan dan kesabaran mereka, asas keteguhan mereka, sumber kekuatan menghadapi musuh mereka, satu-satunya jalan yang memenangkan mereka terhadap Yahudi, orang yang mengikuti mereka dan orang yang menolong mereka.
 
Demikianlah kita wajib mengajak orang yang cenderung kepada Al-Quran dan Rasulullah supaya menerima Kitab Allah sebagai hafalan di dada, manhaj di dalam akhlak, payung rumahtangga dan keluarga dan mencontohi Rasulullah dalam ibadah, akhlak, muamalah dan mengikuti jalannya dalam segenap aspek hidup.

Penyakit umat dan penawarnya
Kalau diperhatikan penyakit umat Islam, didapati penyakitnya ialah gemarkan kehidupan dunia, merasa tenang dengannya, selesa dengan suasana yang rosak dan buang masa yang berlebihan dalam hidup. Oleh itu umat tidak merasa gelisah dengan kerosakan, tidak cemas dengan penyimpangan, tidak berani menentang kezaliman yang merebak, tidak mempeduli masalah lain kecuali makanan dan pakaian. Kita perlukan rawatan yang mujarab dan ubat yang berkesan terhadap penyakit ini. Hal ini tidak akan berlaku melainkan dengan pengaruh Al-Quran dan Sirah Nabi sekiranya ada jalan ke dalam hati, kerana kedua-duanya menceritakan pertarungan antara iman dan nifaq, yakin dan ragu, antara yang manfaat yang segera dan negeri akhirat, antara kerehatan tubuh dan kesenangan hati, antara yang hak dan batil, antara keadilan dan kekejaman.
 
Pertarungan ini telah ditempuh oleh semua nabi pada masanya dan dunia tidak akan selamat melainkan dengan Al-Quran. Ketika itu Al-Quran menjadi satu kurniaan besar bagi kurun pertama dan Islam Berjaya melahirkan suatu dunia baru yang tidak pernah berlaku semenjak dunia silam.
 
Kesan yang baik dan berkat ini tidak mungkin dapat dicapai di dalam alam realiti melainkan para muslimin memerhatikan makna-makna al-Quran dan mengambil segala hukumnya, mencontohi tindakan nabi mereka dengan menghayati akhlak al-Quran, terkesan di dalam jiwa dan hidup mereka. Dan supaya muslimin mengetahui bahawa kesan Al-Quran di dalam jiwa para mukminin adalah melalui makna-maknanya bukan lagunya dan orang yang membaca serta mengamalkannya. 
 
Para mukminin menggoncangkan bumi dengan Al-Quran pada hari digegarkan jiwa mereka dengan makna-maknanya, mereka membuka dunia pada hari dibuka hakikat akal mereka, mereka menguasai alam pada hari prinsip-prinsipnya menguasai akhlak dan keinginan mereka. Hanya dengan Al-Quran ini sejarah mampu berulang seperti sirahnya yang pertama. Rasulullah saw menyamakan mukmin yang tidak membaca Al-Quran seumpama tamar yang tiada bau bagi membandingkan mukmin yang membaca Al-Quran mampu memberi kesan kepada orang yang berada di sekitarnya dengan baunya dan bau amalannya yang baik.
 
Menghayati makna-makna Al-Quran di dalam jiwa, mengubahnya ke dalam realiti yang hidup dan bergerak, mendorong generasi akan datang seperti pemuda di dunia Islam supaya berlumba-lumba menghafaz Al-Quran di dada mereka, menzahirkan kesannya di dalam anggota, tingkah laku, akhlak dan dalam segenap aspek hidup mereka, menyatakan berita gembira tentang hari esok yang gemilang dan masa depan yang menyinar. Justeru orang yang memelihara dan menghafaz Al-Quran sejak zaman kanak-kanaknya tentulah Allah  SWT akan memeliharanya, menjadikannya pendokong kebaikan, sumber kebahagiaan kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ketika itu semua orang merasai nikmat keamanan dan kesejahteraan.
 
Marilah kita menyeru seperti yang dinyatakan Imam al-Banna sejak puluhan tahun lalu dan masih berulang-ulang seruannya di serata pelusuk bumi: 
 
“Wahai Kaum kami, kami memanggil kalian sedangkan Al-Quran di tangan kanan kita dan as-Sunnah di tangan kiri kita, amal para salaf as-soleh yang diikuti oleh sebahagian umat sebagai contoh teladan kita. Kami mengajak kalian kepada Islam, ajaran Islam dan hukum Islam. Seandainya kalian merasakan hal ini sebagai politik, maka inilah politik kami, seandainya orang yang mengajak kalian kepada prinsip ini sebagai politik, maka kami adalah manusia yang paling tulin dalam politik. Seandainya kalian mahu menamakan itu sebagai politik, maka katalah apa sahaja yang kalian inginkan, kerana tidak akan menyusahkan kami apa jua nama bila telah nyata nama dan diketahui matlamat".
 
Pesan Imam al-Banna lagi: "Agama ini telah tertegak dengan jihad sebelum kalian di atas asas yang kuat daripada iman kepada Allah, zuhud daripada keseronokan dunia yang sementara dan mengutamakan kehidpan akhirat yang kekal, bekorban dengan darah, nyawa dan harta pada jalan membela kebenaran, cintakan mati pada jalan Allah dan berjalan semua itu di atas petunjuk al-Quran. Di atas asas yang kuat inilah kalian mengasaskan kebangkitan, perbaikilah jiwa kalian, tumpukan dakwah kalian dan pimpinlah umat kepada kebaikan.
 
Firman Allah SWT bermaksud:
 
“Dan Allah pun bersamamu dan dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amalmu”. (Muhammad: 35)
 
Wahai manusia, kita sentiasa bersama Para Sahabat Rasulullah yang pernah mendokong panjinya selepas nabi, kamu angkatlah panjinya sebagaimana para Sahabat mengangkatnya, sebarkanlah sunnahnya sebagaimana para Sahabat menyebarkannya, peliharalah al-Quran sebagaimana para Sahabat memeliharanya, kembangkanlah dakwahnya sebagaimana para Sahabat mengembangkannya dan sebarkanlah rahmat Allah SWT ke seluruh alam. Firman Allah SWT bermaksud:
 
“Dan Sesungguhnya kamu akan mengetahui (kebenaran) berita Al Quran setelah beberapa waktu lagi”. (Shaad: 88)
_________________________________________________________________

Assalamualaikum…

Salam satu perjuangan. Semoga Ikhwah/at berada dalam lindungan Allah….ramai dikalangan kita yg mungkin tidak mengendahkan atau mahu ambil peduli mengenai sesuatu perkara yang berlaku, terutamanya ketika berlaku musibah atau malapetaka.

Jika kita melihat apa yang berlaku terbaru ini seperti ribut taufan, banjir, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya, itu merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah terhadap manusia. Tetapi sebahagian manusia menganggap apa yang berlaku itu hanyalah kitaran alam biasa tanpa mengambil pengajaran dan iktibar walau sedikit.

Bagaimana di dalam al-Quran sendiri menceritakan kepada kita mengenai banyaknya peristiwa-peristiwa kahancuran alam dan umat sebagai iktibar buat umat terkemudian. Hancurnya umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan oleh banjir besar, umat Nabi Luth yang ditenggelamkan bumi, (kaum ‘Aad) umat Nabi Hud dimusnahkan dengan ribut yang berlanjutan selama 8 hari 7 malam, (kaum Tsamud) umat Nabi Salleh dimusnahkan dengan petir yang amat dahsyat, (firaun dan tenteranya) umat Nabi Musa yang ditenggelami laut dan sebagainya. “ (kami lakukan yang demikian) untuk kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran”(al-Haaqqah : 12). * sila hayati surah al-Haaqqah ayat 1 hingga 12 dan surah as-Syu’araa’.

Allah menurunkan bencana ini kepada 3 golongan :
1. Orang-orang yang taat : sebagai ujian untuk meningkatkan darjat mereka
2. Orang-orang yang lalai : sebagai peringatan agar mengingati Allah
3. Orang-orang yang engkar kepada Allah : sebagai azab dan siksa.
Namun bagi kita, tidak sepatutnya menghukum penduduk yang ditimpa musibah itu sebagai kaum yang derhaka lantas ditimpakan bala bencana ke atas mereka oleh Allah. Boleh jadi diantara mereka ada yang taat dan soleh. Ambillah dan jadikanlah ia sebagai pengajaran dan ujian di atas apa yang berlaku itu, agar kita tidak derhaka kepada Allah. Diantara maklumat yang saya perolehi, penduduk di Gunung Tandik, Padang, amat mempercayai amalan kurafat. Ilmu kedukunan menjadi amalan biasa mereka, samada untuk melariskan jualan, sedap makanan dll. Perjudian, minum arak, wanita yang berpakaian mendedahkan aurat, golongan lelaki yang hanya duduk di rumah manakala wanita pula yang keluar bekerja. Penduduk sudah tidak menerima dakwah kerana tanggapan mereka dakwah hanya untuk orang kafir, masjid dan surau kosong dan lengang tidak diimarahkan.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali b. Abi Thalib : telah bersabda Rasulullah s.a.w : “ jika umatku melakukan 15 perkara yang berikut ini, niscaya bala bencana akan menimpa mereka”. Para sahabat lalu bertanya : “ apa itu wahai Rasulullah?”. Jawab Baginda :
1. Jika harta rampasan perang itu bertukar tangan.
2. Jika amanah dikira suatu keuntungan.
3. Jika zakat dianggap sebagai denda (dikeluarkan secara terpaksa).
4. Jika lelaki terlampau tunduk kepada isteri.
5. Jika ramai orang menderhaka kepada ibu.
6. Jika orang terlampau patuh kepada teman.
7. Ayah sendiri dihampakan dan disia-siakan.
8. Jika orang suka bertengkaran di dalam masjid.
9. Apabila orang yang rendah maruahnya menjadi ketua sesuatu kaum.
10. Apabila orang memuliakan orang lain kerana takutkan kejahatannya.
11. Apabila minuman keras tersebar luas.
12. Apabila ramai orang memakai kain sutera.
13. Apabila penyanyi-penyanyi wanita diutama dan diagungkan.
14. Apabila alat-alat muzik banyak digunakan.
15. Apabila umat hari ini mengutuk (mencaci) umat sebelumnya.
Apabila hal-hal serupa ini telah berlaku, maka tunggulah ketika itu akan tibanya angin panas, atau bahaya-bahaya lain umpama gempa bumi dan penukaran corak dan rupa”. Diriwayatkan oleh at-Tarmizi, seraya berkata : hadis ini adalah gharib, yang hanya diriwayatkan dari Saidina Ali b. Abi Thalib semata.

Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran “telah jelas berlakunya kefasadan dan kerosakan di daratan dan di lautan kerana tangan-tangan manusia itu sendiri…..”. Semoga kita yang mengaku beriman kepada Allah ini kembali berpegang dan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Lakukan muhasabah ke atas diri kita, ahli keluarga dan masyarakat. Banyakkan memohon agar Allah memberikan kekuatan untuk melakukan ketaatan.
Sehingga bertemu di lain masa. Wassalam

_________________________________________________________________________

Assalamualaikum.

Buat semua ikhwah dan akhawat, semoga dalam lindungan dan rahmat Ilahi. Dalam pertemuan kali ini ana sangat berminat untuk berkongsi sama ilmu mengenai al-Quran. Perkongsian ini ana utarakan setelah melihat sendiri realiti yang berlaku ke atas masyarakat kita secara khususnya dan ummah umumnya adalah disebabkan mereka meninggalkan al-Quran tersebut. Sebut sahaja apa jenis kerosakan yang tidak berlaku kepada masyarakat kita hari ini. Terkadang itu, kejahatan yang tidak pernah tergambar di dalam benak kepala kita juga telah berlaku. Semuanya berpunca apabila al-Quran itu sudah tidak dijadikan pedoman, ikutan, panduan, perlembagaan dan rujukan. Bahkan pembacaannya juga diabaikan. Manusia semakin jauh tersesat daripada jalan yang sebenarnya. Bertepatan sepertimana hadis nabi s.a.w. yang biasa kita dengari. Sabda Nabi s.a.w., “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Ianya ialah kitabullah (al-Quran) dan sunnah rasulnya”. Di dalam hadis yang lain nabi telah berpesan kepada kita dalam sabdanya : “Ajarkanlah anak-anak kamu tiga perkara: 1) cintakan nabi kamu. 2) cintakan ahli keluarga baginda. 3) membaca al-Quran”. Mudah-mudahan apa yang bakal saya kongsikan kali ini merupakan asas bagi semua ikhwah dan akhawat menyelami ilmu-ilmu berkenaan al-Quran.

Al-Quran beerti : Kalamullah yang berupa mukjizat (bukan hadis Qudsi) yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. di dalam bahasa arab (bukan kitab-kitab terdahulu seperti 1. Taurat kepada nabi Musa dalam bahasa ‘Ibrani. 2. Zabur kepada Nabi Daud dalam bahasa Qibti. 3. Injil kepada Nabi Isa dalam bahasa Siryani). Dan ditulis di dalam mushaf bermula dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas (tidak termasuk ayat-ayat yang dimansukhkan) dan diriwayatkan secara mutawatir( bukan qiraat syaadzah قراءة شاذة) serta membacanya merupakan satu ibadah.

Penurunan al-Quran : para ulama berselisih pendapat mengenainya. Sebahagian ulama antaranya Syeikh Mustafa Murad mengatakan bahawa al-Quran itu diturunkan dalam 3 peringkat :
1) Dari sisi Allah ‘Azza Wa Jalla ke Luh Mahfuz ( لوح محفوظ ) Firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Buruj : ayat 21 – 22
“ Bahkan (yang mereka dustakan itu) ialah al-Quran yang mulia yang tersimpan di Luh Mahfuz”.
2) Dari Luh Mahfuz secara serentak ke Bait al-‘Izzah ( بيت العزة )di langit dunia. Firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Baqarah : ayat 185
“Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil)”
Firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Qadr : ayat 1
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran ) pada malam al-Qadr (Lailatul Qadar)”.
3) Secara beransur-ansur dari Bait al-‘Izzah kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam tempoh 23 tahun (22 tahun, 2 bulan, 22 hari). Firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Furqan : ayat 32
“Dan berkatalah orang-orang kafir, mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadaNya (Muhammad) secara serentak. Yang demikian itu (beransur-ansur) supaya Kami perkuatkan hatimu dengannya dan Kami membacakannya (al-Quran itu) secara tartil”

Al-Quran akan lenyap dari hati dan fikiran seseorang apabila ia tidak membacanya, tidak mewajibkan beberapa bahagian tertentu yang harus dibacanya, tidak kembali menatapnya, tidak memerhatikan baris-barisnya dan tidak hidup bersama ayat-ayatnya. Maka orang tersebut adalah seorang hamba yang sesat dan menyesatkan. Sekalipun ia termasuk orang-orang pintar membaca dan menulis. Ia adalah hamba yang telah dicap hatinya hanya mengikut hawa nafsu sehingga merasa tidak memerlukan lagi terhadap al-Quran. Di antara mereka ada yang mengenal al-Quran itu hanya pada bulan-bulan Ramadhan sahaja.

Semoga dengan sedikit perkongsian yang ana cuba cedok dari beberapa buah kitab ini menjadi sedikit bekalan ilmu mengenai al-Quran. Sehingga bertemu dilain keluaran. Wassalam.

__________________________________________________________________________

Assalamualaikum….
Segala puji kita panjatkan kepada Ilahi, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya, para sahabat, tabi’ – tabi’in dan buat semua pendokong-pendokong dakwah yang berusaha mengembangkan agama Allah di atas muka bumi ini.
InsyaAllah dalam pertemuan kali ini, kita akan cuba menambah sedikit pengetahuan kita mengenai al-Quran. Semoga dengan perkongsian ilmu yang sedikit ini mampu kita fahami dan mengingatinya untuk selamanya. Cubalah berusaha untuk menghafaz maklumat-maklumat asas ini.

a. Berbincang mengenai penurunan al-Quran maka para ulamak berpendapat beberapa hikmah diturunkan al-Quran itu secara beransur-ansur kepada Rasulullah s.a.w antaranya seperti berikut ;
1. Memperkuatkan hati Baginda Nabi dalam menghadapi pelbagai urusan dengan wahyu (mukjizat) berterusan.
2. Beransur-ansur dalam mentarbiyah umat Islam yang semakin bertambah serta dapat menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan mereka.
3. Mudah untuk menghafaz ayat-ayatnya dan senang diamalkan isi kandungannya yang mengandungi pelbagai hukum dan tuntutan.

b. Mengenai ayat yang mula diturunkan pula dikalangan ulama’ juga berbeza pendapat. Adapun pendapat yang paling masyhur ialah firman Allah Ta’ala di dalam surah al-‘Alaq ayat 1 – 5.
“ Bacalah (wahai Muhammad) dengan menyebut nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia dengan perataraan Qalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”

c. Ayat yang terakhir diturunkan juga terdapat pendapat yang berbeza dikalangan ulama’. Ada yang menyatakan ayat ke 3 dari surah al-Maaidah :
3. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Namun pendapat yang sahih mengatakan ayat terakhir ialah ayat 281 dari surah al-Baqarah :
281. Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) Yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa Yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.