Wednesday, April 6, 2011

Melayu Sepakat Islam Berdaulat



http://tv.ismaweb.net/2011/11/sebalik-tabir-melayu-sepakat-islam-berdaulat/

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh

Melayu Sepakat Islam Berdaulat

Melayu….
Suatu takrif yg luas…merangkumi asal usul, budaya dan agama, sebagai komponen di dalam pengenalan indentiti melayu. Ia menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu di dalam mentarifkan orang melayu sebagai seorang yang beragama Islam, mengamalkan adat resam melayu dan bertutur dalam bahasa melayu.
Sejarah lalu melakarkan kisah-kisah kegemilangan, kehebatan dan kekuatan bangsa melayu. Bangsa melayu terkenal dengan kehalusan jiwa, ketinggian adatnya, kelembutan tutur kata, bahkan, melayu juga terkenal dengan kepahlawanan dan keperwiraannya.

Namun kini, kisah-kisah seperti itu sudah tidak kedengaran, cerita tentang peradaban sudah semakin terpadam, hikayat-hikayat kependekaran sudah lenyap dari ingatan. Kini, kisah kedurjanaan memenuhi paparan. Cerita manusia yang runtuh nilai dan pegangan agama, kehancuran dan kelunturan budi bahasa dan adab sopan, lahirnya perpecahan, dan kebaculan.
Hari ini melayu lupa, hari ini melayu alpa. Ramai yg kejarkan dunia sedangkan maruah bangsa dirobek dan dihina. Mereka mementingkan kesenangan diri sendiri, sehingga sangggup menggadai tanah air, maruah bangsa dan agamanya.
Hari ini kita tidak perlu meredah belantara untuk mencari musuh, kerana musuh kini sudah pun berada bersama kita. Mereka juga berbangsa melayu, berbahasa melayu. Tetapi merekalah pengkhianat melayu, pengkhianat bangsa, pengkhianat agama. Akibatnya, jati diri, maruah dan hak umat Islam menjadi semakin hancur

Ingatlah! wahai saudaraku ,… Allah melimpah ruahkan kekayaan di bumi Melayu. Sumber yang sedia ada sudah cukup untuk membangunkan orang Melayu untuk menjadi bangsa hebat. Jangan biarkan Melayu terus layu. Anak-anak muda mesti dibangunkan mindanya, digembeleng tenaganya, diluruskan saffnya dan dibangkitkan semangatnya.

Anak cicak mati tergantung, bicara saya bukan seperti tin kosong.

Hujah saya,

Larangan berpecah belah.

Kita menyahut seruan Ilahi yg bermaksud : "berpegang teguhlah kamu pada tali Allah (agamanya) dan janganlah kamu berpecah belah"…(ali Imran : 103).
Allah juga berfirman di dalam surah al-Anfal : 46 ..yg bermaksud : “ dan taatlah kamu kepada Allah dan rasulnya. Dan janganlah kamu bertelagah sesama sendiri, nescaya kamu akan gagal dan akan hilanglah kekuatan kamu semua. Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar.”

Ikhwah dan akhawat yang saya sayangi,

Islam itu akan kuat dengan penganut yang kuat

Di atas dasar hujah,
Sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w, ….Allah telah memilih bani Israel sebagai kaum yang membawa risalah Islam. Tetapi Bani Israel mengkhianati amanah, Allah memilih pula bangsa arab untuk memikul amanah kepimpinan Islam. Mereka melaksanakan tanggungjawab ini selama 9 kurun. Kemudian arab menjadi lemah dan kepimpinan Islam beralih kepada bangsa Turki/saljuk. Mereka memimpin selama 5 kurun sehingga mereka lemah dan kalah. Bangsa melayu juga pernah memimpin di rantau ini selama 200 tahun sehingga mereka dikalahkan oleh penjajah portugis. Demikianlah kepimpinan berpindah tangan silih berganti dari satu bangsa ke satu bangsa.
Marilah kita renungi firman Ilahi yg bermaksud : “dan jika kamu berpaling, Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, kemudian mereka tidak menjadi seperti kamu.)” Muhammad : 38”

Namun, seringkali jua kedengaran mengatakan asobiyah (perkauman) itu suatu yang bercanggah dengan Islam. Adakah ianya benar?...

Menjawab persoalan ini..Imam as-Syahid Hassan al-Banna menulis di dalam kitabnya (dakwatuna : halaman 138-139) membahagikan kaumiyah itu kepada 3 bahagian. Adapun yg menghidupkan nilai jahiliah, upacara2 yang lapuk atau luput, dan kaumiyah yang menyalakan api permusuhan, satu kaum memandang rendah kepada kaum yg lain, maka itulah konsep yang tercela dan tiada kebaikan untuk manusia.
Ibnu Khaldun juga pernah berkata : “dakwah agama tanpa asobiyah tidak sempurna”. Beliau berhujah dengan sebuah hadis soheh yang bermaksud : Allah swt tidak membangkitkan seorang nabi kecuali didokong oleh kaumnya.

Oleh itu, adalah menjadi gagasan kita untuk membangunkan semula bangsa melayu supaya ia menjadi bangsa yang kuat dan boleh menentukan kata putus dalam hal kepentingan diri dan masa depan mereka. Dengan itu, mereka layak menjadi bangsa memimpin dan menerajui risalah Islam di rantau ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yg saya kasihi….

Biarpun mata ini nanti sudah tidak mampu dibuka, jantung ini sudah tidak mampu berdegup, kaki ini sudah tidak mampu berlari,…akan kupastikan semangat kejantanan dan impian ini akan terus diperjuangkan.
Bangunlah wahai melayu…bangun!…kita hadir di sini bukan untuk menangisi kekalahan…kita juga hadir di sini bukan untuk dibuai sejarah kegemilangan….Ya memang!…500 ratus tahun dahulu kita tersungkur di bumi ini…tetapi, adakah kita memerlukan 500 ratus tahun lagi untuk bangun? Usah berjalan di atas bumi sendiri.. seperti lembu dicucuk hidung….hidup bak berlukut di tepi gantang…..kita dilahirkan mulia…hidup mulia…maka mati juga sebagai mulia….
Kita perlu bangkit bersama.
Berjuang bersama,
Gunung sama kita daki, lurah sama kita turuni, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing…..hati kuman sama kita cicah, hati gajah sama kita lapah…biar seribu musuh dihadapan , kita serbu bak badai menggila…..kita genggam bara api sampai jadi arang,…alang2 menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan…
Bangun wahai melayu bangun!….. jangan dipersiakan perjuangan nenek moyang mu…..jangan dimalukan asal keturunan mu…
Bangun melayu bangun!….gayung sudah di tangan, perahu sudah di air, apa kita tunggu lagi wahai melayu?,…ayuh kita mati sebagai pejuang, jangan hidup bernafas sebagai petualang…

Ya Allah…pinjamkan kami keberanian Umar al-Khattab…ketangkasan Khalid al-Walid , kecekalan Thoriq b. Ziad, kekentalan Solahuddin al-Ayubi, dan ketajaman Sultan Muhammad Al-Fatih….bantu umat melayu Islam ya Allah……………………
Melayu sepakat Islam berdaulat (slogan ISMA)…….
takkan melayu hilang didunia (ucapan Hang Tuah)….……….

sekian….
wabillahi taufiq wal hidayah…assalamualaikum…..

Sunday, February 20, 2011

Langit Kembali Cerah

Pada Sabtu lepas 19 Februari 2011 saya sempat menghadiri “KONVENSYEN NASIONAL PENGUPAYAAN BANGSA” anjuran PAS di Wisma MBSA, Shah Alam. Hampir kesemua pimpinan pusat PAS hadir dalam konvensyen ini yang bagi saya ia menunjukkan keseriusan pihak PAS untuk menegaskan sokongan mereka pada bangsa Melayu.

Jelas, keputusan PRK Tenang telah memberikan satu impak besar kepada pemikiran pimpinan terhadap sokongan orang Melayu terhadap parti itu. Ini dinyatakan oleh salah seorang pimpinan yang menyatakan bahawa sokongan orang Melayu terhadap PAS menunjukkan trend yang menurun. Beliau terus menyarankan supaya PAS melihat balik strategi mereka untuk mendekati orang Melayu kerana mereka adalah kaum majoriti.

Lebih menarik apabila seorang peserta kaum Cina mengemukakan soalan; “jika PAS parti orang Melayu dan islam & UMNO juga parti Melayu dan islam; kenapa PAS gagal mendapat sokongan orang Melayu?”.

Juga di tegaskan bahawa Melayu dan islam itu adalah sesuatu yang sinonim yang tidak boleh di pisahkan. Walaupun hak dakwah adalah untuk semua kaum tetapi dari strategi politiknya maka parti tidak boleh mengenyampingkan orang Melayu. Orang Melayu di istilah kan sebagai “Power Base” politik.

Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira terhadap perubahan pemikiran pimpinan PAS ini kerana inilah yang cuba saya sarankan saban hari. Walaupun mungkin ada kenyataan pimpinan parti yang menyangkal bahawa mereka tidak pernah ubah sikap terhadap orang Melayu, atau mendakwa ini hanya mainan politik media UMNO, namun bagi saya dengan mengadakan konvensyen ini sudah cukup membuktikan bahawa PAS mula sedar bahawa mereka perlu ubah strategi.

Dalam ucapannya, Presiden PAS ada menyatakan bahawa “PAS tetap akan bertegas dan komited untuk seterusnya melaksanakan strategi serampang dua mata :-

i) memantapkan sokongan pengundi tradisi Melayu-islam; dan

ii) melebarkan pengundi barunya,

bagi merealisasikan cita-cita perjuangannya.:”

Apakah saranan-saranan ini akan menjadi kenyataan? Itu saya tidak dapat pastikan. Cuma yang jelas di sana sudah ada pemikiran yang melihat akan pentingnya memberi keutamaan kepada orang Melayu.

Paling tidak apabila saya keluar dari dewan MBSA, saya membawa pulang dengan hati yang tenang dan gembira bahawa kini langit kembali cerah

suara dari gunung

Saturday, January 15, 2011

Ayuh ke KEMM1511



Daftar segera dan layari : http://kemm1511.net/melaka/ 29 januari 2011 / 08.00 - 17.00

Friday, November 26, 2010

Korban di Acheh

Ust. Mohammad Ismail sedang melaksanakan Ibadah Korban.

Rombongan ISMA yang diketuai oleh Ust. Wan Hisham.

(Dari kiri : Ust. Rizal, Ust Wan Hisham, Ust. Mohd, Akh Othman, Abdillah dan Hamdan)

ACHEH 20 Nov : Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sekali lagi telah berjaya melaksanakan program ibadah qurban dan tautan kasih bersama anak-anak yatim di Pondok Yatim Ar-Raudhah,Blang Weu Panjou,Lhokseumawe,Acheh.

Pondok tersebut merupakan sebuah madrasah penempatan dan pembangunan untuk anak-anak yatim Aceh yang dibangunkan atas usahasama Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) Indonesia, ISMA dan juga Yayasan Ar-Raudhah Malaysia.

Rombongan seramai 7 orang wakil ISMA dihantar untuk menjayakan projek qurban tersebut yang bermula pada 18 hingga 22 Nov 2010.

Menurut wakil Media ISMA Pusat, “Inisiatif dan usaha ini memberi mesej bahawa ISMA menekankan amal bersama masyarakat Muslim bukan sahaja di Malaysia tetapi diluar negara dan ISMA berpendapat sempadan kita bukan sempadan negara, tapi sempadan akidah. Itulah batas nasionalism Islami yg ISMA pegang.

Inisiatif ini juga memberi mesej bahawa ISMA sangat terbuka untuk menjalankan program kerjasama dengan semua pihak yang mempunyai niat yang selari dengan ISMA.”ujar beliau lagi.

Program yang telah dirancang 3 bulan lebih awal tersebut , telah berjaya menarik penglibatan para belia dan orang-orang kampung di kawasan sekitar Pondok Yatim untuk turut serta.

Sebanyak 13 ekor lembu dan beberapa ekor kambing aqiqah berjaya disumbangkan dan dagingnya telah diagihkan kepada pondok anak yatim yang mempunyai lebih kurang 60 orang anak yatim lelaki dan perempuan,serta 240 keluarga dalam 6 buah kampung di dalam daerah Lhokseumawe yang rata-ratanya terdiri dari keluarga yang miskin dan berpendapatan rendah.

Selain itu,pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan antaranya bacaan tilawah quran, hafazan, slot motivasi, aktiviti dalam kumpulan yang menekankan aspek kepentingan belajar dan juga sesi persembahan kesenian dari anak-anak yatim dan juga wakil dari ISMA.

Encik Hamdan bin Abdullah, Pegawai Pos Keadilan Peduli Ummat Indonesia mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua penyumbang pada tahun ini dan berharap lebih ramai lagi yang sudi untuk melaksanakan ibadah korban di sini pada tahun hadapan.

Tambah beliau lagi, ini adalah sangat penting bagi memenuhi keperluan fakir miskin yang masih belum berkesempatan untuk menerima agihan daging korban tahun ini.

Program ini adalah program pertama yang telah berjalan lebih 5 tahun, hasil kerjasama ISMA dengan Yayasan Raudhah dan PKPU Indonesia.



oleh : Mohd Hamdan Mohd Sharif, Wartawan Program Qorban Aceh 2010

Tuesday, November 16, 2010

ISMA mendekati pekerja Industri

Ust. Mohammad Rizal menerima cenderahati daripada pengerusi Badan Kebajikan PEDMA En. Aminuddin

peserta sedang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ust Mohammad Rizal

Sabak Bernam - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah membuka peluang kepada ISMA untuk mendekati warga industri dengan jalinan kerjasama dalam program Khemah Ibadah yang dijalankan pada 13-14 Nov 2010 di ILDAS. Program ini telah dijalankan bersama warga Panasonic Electronic Devices Malaysia Sdn Bhd (PEDMA), dengan disertai seramai 42 orang pekerja.
Khemah ibadah ini lebih menekankan tentang Tahsinul Solat melalui slot pengisian serta bengkel secara teori dan praktikal bagi memperbaiki serta mengindahkan solat. ISMA dengan diwakili oleh Ustaz Rizal Sabran, Saudara Kamarul Azizan, Ustazah Noraishah, Ustazah Zaleha dan Ustazah Elyah daripada ISMA cawangan Shah Alam Klang telah diberikan amanah untuk menjadi fasilitator sepanjang program tersebut.
Program dimulakan dengan pengisian tajuk tahsinul solat oleh Ustaz Kamal bin Sahlan, Imam Besar masjid Hishamuddin, Pekan Sabak Bernam. Pengisian ilmiah oleh Ustaz Kamal diteruskan dengan penerangan teori secara interaktif oleh Ustaz Rizal di dalam aktiviti pertama. Peserta kemudian dibahagi-bahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan dibimbing oleh para fasilitator secara praktikal berkenaan rukun perbuatan di dalam solat.
Dalam aktiviti yang seterusnya, peserta juga diberi penerangan tentang bagaimana memperbaiki bacaan-bacaan di dalam solat. Peserta kemudiannya diuji serta diperbaiki bacaan-bacaaan rukun solat secara individu oleh fasilitator. Selain daripada aktiviti-aktiviti tahsinul solat, program tersebut juga dihiasi dengan qiamulail dan senamrobik. Pada slot yang terakhir peserta mengeluarkan resolusi yang akan mereka laksanakan selepas khemah ibadah tersebut.
Program ini akhirnya disempurnakan dengan sesi penerangan daripada pihak JAIS yang diwakili oleh Ustazah Sabariah Bt Hj Salleh iaitu Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS. Pengerusi Badan Kebajikan Islam PEDMA, Hj Aminuddin Bin Abdul Rahim mewakili para peserta di dalam ucapan penutupnya memuji perlaksanaan program ini yang dianggap paling baik pernah disertai mereka sepanjang kerjasama yang dijalankan bersama JAIS. Beliau juga berharap untuk meneruskan kerjasama dengan pihak ISMA di masa akan datang.

Kamarul Azizan bin Abd Raman

Sunday, November 14, 2010

Kem Pemantapan Sahsiah di SMK Seksyen 27 Shah Alam

Cikgu Asmadi mewakili KRIM menyampaikan cenderahati kepada Tn. Hj. Baharuddin
Ust. Mohammad Rizal sedang memberikan nasihat di majlis penutup
Ust. Mohd Pathan menyampaikan pengisian pertama
Peserta begitu tekun dan memberikan perhatian dalam kursus ini.
Abg. Fendi sedang mengendalikan bengkel untuk pelajar lelaki

SHAH ALAM, 10 NOVEMBER – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia ( KRIM ) cawangan Shah Alam Klang telah meneruskan langkah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27 bagi menunaikan amanah oleh pihak sekolah untuk melakasanakan Kem Pemantapan Sahsiah 2010.

Selari dengan usaha KRIM dalam merealisasikan agenda melahirkan remaja yang bermotivasi dan beriltizam seterusnya membina jatidiri remaja hebat, pemangku pengarah Kelab Remaja ISMA Shah Alam dan beberapa orang ahli jawatankuasa KRIM Shah Alam Klang telah turun bagi menjayakan program ini.

Tepat pukul 8.30 pagi, program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Kaunselor Rozilah Binti Damiri merangkap guru di bahagian unit Kaunseling dan kerjaya sekolah. Seusai ucapan aluan ringkas, sesi pengenalan KRIM telah disampaikan oleh pemangku Pengarah KRIM Shah Alam Klang. Taklimat tersebut dikaitkan dengan matlamat KRIM yang berusaha membantu memperbaiki peribadi dan akhlak khusus buat remaja masa kini.

Aktiviti pertama yang dijalankan setelah para pelajar diserahkan kepada pihak KRIM ialah ice breaking yang dikendalikan oleh barisan fasilitator daripada penggerak KRIM Shah Alam Klang. Para pelajar kelihatan seronok dan bersemangat untuk memecahkan tembok jurang antara mereka dengan aktiviti-aktiviti yang mempunyai objektif bermanfaat. Selesai slot “ice breaking” dan minum pagi, program diteruskan lagi dengan slot ceramah bertajuk “Hakikat Kehidupan” oleh Ustaz Pathan b. Hussin.

Melalui slot ini, para pelajar dapat mengenali diri, mengetahui tujuan hidup dan destinasi yang mereka akan tuju. Objektif slot Hakikat Kehidupan ini telah dikukuhkan lagi dengan perlaksanaan Latihan Dalam Kumpulan 1 ( LDK ) yang dikendalikan oleh fasilitator dengan aktiviti dan permainan yang berkait rapat dengan mengenal erti kehidupan.

Pada sebelah petangnya, program diteruskan lagi dengan slot ceramah ke 2 bertajuk “Selamat Tinggal Jahiliyyah” oleh Cikgu Asmadi b. Abd Samad. Slot yang dilaksanakan selepas menjalankan Latihan Dalam Kumpulan 2 ( LDK ) ini telah menyemarakkan lagi semangat para pelajar untuk mengetahui helah anasir-anasir jahiliyyah yang membelenggu remaja hari ini seterusnya membuka ruang pemikiran para pelajar langkah terbaik untuk dilakukan setelah mendapat penjelasan di dalam slot terakhir ini.

Dengan berakhirnya slot tersebut, maka berakhirlah Kem Pemantapan Sahsiah 2010 ini. Ucapan Perasmian telah disampaikan oleh Tuan Hj Baharudin Bin Hassan selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SMK 27. Beliau mengucapkan terima kash kepada Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Shah Alam/Klang atas kesudian melaksanakan program tersebut di samping menekankan kepada para pelajar mengenai peri pentingnya sahsiah peribadi muslim yang perlu dipraktikkan oleh para pelajar. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada pihak penganjur dan para peserta.

Monday, November 8, 2010

6 Alasan mengapa mendekati zina



MEMANDANG seseorang terutama yang saya sayang, sangat sukar ditahan. Daripada pandangan itulah akan menimbulkan suatu perasaan yang akhirnya meruntun keinginan saya. Jarang nikmat penglihatan ini saya gunakan sebaiknya.

SENTUHAN bagi saya adalah untuk melahirkan rasa cinta dan kasih sayang . Tetapi, apabila saya mula menyentuh tangan pasangan yang bukan muhrim, terasakan sesuatu bergelora dalam jiwa.

BERSOLEK dan berhias menyerlahkan seri dan kecantikan saya. Ramai yang memuji wajah, rambut dan susuk tubuh saya yang menarik. Suruhan Allah agar saya menutup aurat tidak mampu saya tunaikan.

HARUMAN yang saya gunakan sering membuat orang lelaki berasa senang bersama saya. Alangkah bangganya apabila mereka terpesona dan tergoda.

DUDUK berdua-duaan apa salahnya. Sesekali saya perlukan privacy. Lagi pun kami bukannya apa-apa. Tetapi, bila berdua-duaan begini, dorongan syaitan sukar saya tepis.

HIBURAN menjadi pengubat kesunyiaan saya. Tanpanya terasa kosong dunia ini. Saya selalu bersama kawan-kawan lelaki dan perempuan ke pesta atau konsert. Masa saya banyak dihabiskan begitu daripada melakukan ibadat dan kadang-kadang saya sukar mengawal batas-batas pergaulan.

Firman Allah: (Al-Israa’:32)
”Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”