Thursday, October 1, 2009

Tazkeerah syawal

Assalamualaikum..
Alhamdulillah….segala puji dirafa’kan kehadrat Ilahi, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan buat semua yang berjuang unuk menegakkan kalimah Allah di serata ceruk muka bumi daripada kalangan sahabat, tabi’in hinggalah mereka yang berjuang kehari ini.
Telah berlalu ramadhan, bulan yang dipenuhi dengan fadhilat dan kelebihan, yang mana sungguh rugilah mereka yang telah mensia-siakan dan membiarkannya berlalu tanpa diisi dengan amal-amal ibadah. Ramadhan yang mana belum tentu lagi kita akan menemuinya pada tahun hadapan. Berapa ramai insan yang saya temui telah kembali menemui Ilahi ketika dibulan ramadhan, dan ada juga yang sesudah berakhirnya ramadhan.
Namun rahmat Allah itu maha luas. Kasih sayangNya tidak putus-putus buat hamba-hambaNya yang beriman. Diberikan peluang kepada kita sesudah ramadhan yang lalu, dengan amalan berpuasa enam di bulan Syawal yang mana ganjaran pahalanya menyamai berpuasa sepanjang tahun sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud “Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari dibulan syawal, ia adalah seperti berpuasa setahun.”. Berdasarkan perkiraan setiap amalan kebajikan itu diganjari dengan sepuluh kali ganda maka 30 hari dibulan ramadan bersamaan dengan 300 hari iaitu sepuluh bulan dan puasa enam hari diganjari dengan 60 hari bersamaan 2 bulan. Maka genaplah perkiraan satu tahun setelah ditambah 300 hari (bulan ramadhan) dan 60 hari (syawal).
Ikhwah/at yang disayangi…… marilah sama-sama kita bermuhasabah mengenai puasa kita yang lalu. Adakah ianya benar-benar memberi kesan kepada ibadah-ibadah kita untuk seterusnya?......adakah ramadhan kali ini benar-benar menjadi madrasah untuk mentarbiyah diri kita agar lebih kuat untuk beramal ibadah pada bulan seterusnya?....ataukah kita hanya menjadi hamba kepada ramadhan, tidak kepada Allah tuhan dan pemilik kepada bulan-bulan tersebut?...marilah kita meneruskan amalan-amalan dibulan ramadhan seperti tilawah al-Quran, berpuasa, iktikaf, qiamullail, bersedekah dan lain-lain.
Semoga kita bakal bertemu dengan ramadhan akan datang bersama-sama semangat dan keinginan yang tinggi untuk mengecapi redha Ilahi.
Wassalaamu ‘alaikum warahmatullah.