Friday, November 26, 2010

Korban di Acheh

Ust. Mohammad Ismail sedang melaksanakan Ibadah Korban.

Rombongan ISMA yang diketuai oleh Ust. Wan Hisham.

(Dari kiri : Ust. Rizal, Ust Wan Hisham, Ust. Mohd, Akh Othman, Abdillah dan Hamdan)

ACHEH 20 Nov : Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sekali lagi telah berjaya melaksanakan program ibadah qurban dan tautan kasih bersama anak-anak yatim di Pondok Yatim Ar-Raudhah,Blang Weu Panjou,Lhokseumawe,Acheh.

Pondok tersebut merupakan sebuah madrasah penempatan dan pembangunan untuk anak-anak yatim Aceh yang dibangunkan atas usahasama Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) Indonesia, ISMA dan juga Yayasan Ar-Raudhah Malaysia.

Rombongan seramai 7 orang wakil ISMA dihantar untuk menjayakan projek qurban tersebut yang bermula pada 18 hingga 22 Nov 2010.

Menurut wakil Media ISMA Pusat, “Inisiatif dan usaha ini memberi mesej bahawa ISMA menekankan amal bersama masyarakat Muslim bukan sahaja di Malaysia tetapi diluar negara dan ISMA berpendapat sempadan kita bukan sempadan negara, tapi sempadan akidah. Itulah batas nasionalism Islami yg ISMA pegang.

Inisiatif ini juga memberi mesej bahawa ISMA sangat terbuka untuk menjalankan program kerjasama dengan semua pihak yang mempunyai niat yang selari dengan ISMA.”ujar beliau lagi.

Program yang telah dirancang 3 bulan lebih awal tersebut , telah berjaya menarik penglibatan para belia dan orang-orang kampung di kawasan sekitar Pondok Yatim untuk turut serta.

Sebanyak 13 ekor lembu dan beberapa ekor kambing aqiqah berjaya disumbangkan dan dagingnya telah diagihkan kepada pondok anak yatim yang mempunyai lebih kurang 60 orang anak yatim lelaki dan perempuan,serta 240 keluarga dalam 6 buah kampung di dalam daerah Lhokseumawe yang rata-ratanya terdiri dari keluarga yang miskin dan berpendapatan rendah.

Selain itu,pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan antaranya bacaan tilawah quran, hafazan, slot motivasi, aktiviti dalam kumpulan yang menekankan aspek kepentingan belajar dan juga sesi persembahan kesenian dari anak-anak yatim dan juga wakil dari ISMA.

Encik Hamdan bin Abdullah, Pegawai Pos Keadilan Peduli Ummat Indonesia mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua penyumbang pada tahun ini dan berharap lebih ramai lagi yang sudi untuk melaksanakan ibadah korban di sini pada tahun hadapan.

Tambah beliau lagi, ini adalah sangat penting bagi memenuhi keperluan fakir miskin yang masih belum berkesempatan untuk menerima agihan daging korban tahun ini.

Program ini adalah program pertama yang telah berjalan lebih 5 tahun, hasil kerjasama ISMA dengan Yayasan Raudhah dan PKPU Indonesia.



oleh : Mohd Hamdan Mohd Sharif, Wartawan Program Qorban Aceh 2010

Tuesday, November 16, 2010

ISMA mendekati pekerja Industri

Ust. Mohammad Rizal menerima cenderahati daripada pengerusi Badan Kebajikan PEDMA En. Aminuddin

peserta sedang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ust Mohammad Rizal

Sabak Bernam - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah membuka peluang kepada ISMA untuk mendekati warga industri dengan jalinan kerjasama dalam program Khemah Ibadah yang dijalankan pada 13-14 Nov 2010 di ILDAS. Program ini telah dijalankan bersama warga Panasonic Electronic Devices Malaysia Sdn Bhd (PEDMA), dengan disertai seramai 42 orang pekerja.
Khemah ibadah ini lebih menekankan tentang Tahsinul Solat melalui slot pengisian serta bengkel secara teori dan praktikal bagi memperbaiki serta mengindahkan solat. ISMA dengan diwakili oleh Ustaz Rizal Sabran, Saudara Kamarul Azizan, Ustazah Noraishah, Ustazah Zaleha dan Ustazah Elyah daripada ISMA cawangan Shah Alam Klang telah diberikan amanah untuk menjadi fasilitator sepanjang program tersebut.
Program dimulakan dengan pengisian tajuk tahsinul solat oleh Ustaz Kamal bin Sahlan, Imam Besar masjid Hishamuddin, Pekan Sabak Bernam. Pengisian ilmiah oleh Ustaz Kamal diteruskan dengan penerangan teori secara interaktif oleh Ustaz Rizal di dalam aktiviti pertama. Peserta kemudian dibahagi-bahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan dibimbing oleh para fasilitator secara praktikal berkenaan rukun perbuatan di dalam solat.
Dalam aktiviti yang seterusnya, peserta juga diberi penerangan tentang bagaimana memperbaiki bacaan-bacaan di dalam solat. Peserta kemudiannya diuji serta diperbaiki bacaan-bacaaan rukun solat secara individu oleh fasilitator. Selain daripada aktiviti-aktiviti tahsinul solat, program tersebut juga dihiasi dengan qiamulail dan senamrobik. Pada slot yang terakhir peserta mengeluarkan resolusi yang akan mereka laksanakan selepas khemah ibadah tersebut.
Program ini akhirnya disempurnakan dengan sesi penerangan daripada pihak JAIS yang diwakili oleh Ustazah Sabariah Bt Hj Salleh iaitu Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS. Pengerusi Badan Kebajikan Islam PEDMA, Hj Aminuddin Bin Abdul Rahim mewakili para peserta di dalam ucapan penutupnya memuji perlaksanaan program ini yang dianggap paling baik pernah disertai mereka sepanjang kerjasama yang dijalankan bersama JAIS. Beliau juga berharap untuk meneruskan kerjasama dengan pihak ISMA di masa akan datang.

Kamarul Azizan bin Abd Raman

Sunday, November 14, 2010

Kem Pemantapan Sahsiah di SMK Seksyen 27 Shah Alam

Cikgu Asmadi mewakili KRIM menyampaikan cenderahati kepada Tn. Hj. Baharuddin
Ust. Mohammad Rizal sedang memberikan nasihat di majlis penutup
Ust. Mohd Pathan menyampaikan pengisian pertama
Peserta begitu tekun dan memberikan perhatian dalam kursus ini.
Abg. Fendi sedang mengendalikan bengkel untuk pelajar lelaki

SHAH ALAM, 10 NOVEMBER – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia ( KRIM ) cawangan Shah Alam Klang telah meneruskan langkah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27 bagi menunaikan amanah oleh pihak sekolah untuk melakasanakan Kem Pemantapan Sahsiah 2010.

Selari dengan usaha KRIM dalam merealisasikan agenda melahirkan remaja yang bermotivasi dan beriltizam seterusnya membina jatidiri remaja hebat, pemangku pengarah Kelab Remaja ISMA Shah Alam dan beberapa orang ahli jawatankuasa KRIM Shah Alam Klang telah turun bagi menjayakan program ini.

Tepat pukul 8.30 pagi, program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Kaunselor Rozilah Binti Damiri merangkap guru di bahagian unit Kaunseling dan kerjaya sekolah. Seusai ucapan aluan ringkas, sesi pengenalan KRIM telah disampaikan oleh pemangku Pengarah KRIM Shah Alam Klang. Taklimat tersebut dikaitkan dengan matlamat KRIM yang berusaha membantu memperbaiki peribadi dan akhlak khusus buat remaja masa kini.

Aktiviti pertama yang dijalankan setelah para pelajar diserahkan kepada pihak KRIM ialah ice breaking yang dikendalikan oleh barisan fasilitator daripada penggerak KRIM Shah Alam Klang. Para pelajar kelihatan seronok dan bersemangat untuk memecahkan tembok jurang antara mereka dengan aktiviti-aktiviti yang mempunyai objektif bermanfaat. Selesai slot “ice breaking” dan minum pagi, program diteruskan lagi dengan slot ceramah bertajuk “Hakikat Kehidupan” oleh Ustaz Pathan b. Hussin.

Melalui slot ini, para pelajar dapat mengenali diri, mengetahui tujuan hidup dan destinasi yang mereka akan tuju. Objektif slot Hakikat Kehidupan ini telah dikukuhkan lagi dengan perlaksanaan Latihan Dalam Kumpulan 1 ( LDK ) yang dikendalikan oleh fasilitator dengan aktiviti dan permainan yang berkait rapat dengan mengenal erti kehidupan.

Pada sebelah petangnya, program diteruskan lagi dengan slot ceramah ke 2 bertajuk “Selamat Tinggal Jahiliyyah” oleh Cikgu Asmadi b. Abd Samad. Slot yang dilaksanakan selepas menjalankan Latihan Dalam Kumpulan 2 ( LDK ) ini telah menyemarakkan lagi semangat para pelajar untuk mengetahui helah anasir-anasir jahiliyyah yang membelenggu remaja hari ini seterusnya membuka ruang pemikiran para pelajar langkah terbaik untuk dilakukan setelah mendapat penjelasan di dalam slot terakhir ini.

Dengan berakhirnya slot tersebut, maka berakhirlah Kem Pemantapan Sahsiah 2010 ini. Ucapan Perasmian telah disampaikan oleh Tuan Hj Baharudin Bin Hassan selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SMK 27. Beliau mengucapkan terima kash kepada Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Shah Alam/Klang atas kesudian melaksanakan program tersebut di samping menekankan kepada para pelajar mengenai peri pentingnya sahsiah peribadi muslim yang perlu dipraktikkan oleh para pelajar. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada pihak penganjur dan para peserta.

Monday, November 8, 2010

6 Alasan mengapa mendekati zina



MEMANDANG seseorang terutama yang saya sayang, sangat sukar ditahan. Daripada pandangan itulah akan menimbulkan suatu perasaan yang akhirnya meruntun keinginan saya. Jarang nikmat penglihatan ini saya gunakan sebaiknya.

SENTUHAN bagi saya adalah untuk melahirkan rasa cinta dan kasih sayang . Tetapi, apabila saya mula menyentuh tangan pasangan yang bukan muhrim, terasakan sesuatu bergelora dalam jiwa.

BERSOLEK dan berhias menyerlahkan seri dan kecantikan saya. Ramai yang memuji wajah, rambut dan susuk tubuh saya yang menarik. Suruhan Allah agar saya menutup aurat tidak mampu saya tunaikan.

HARUMAN yang saya gunakan sering membuat orang lelaki berasa senang bersama saya. Alangkah bangganya apabila mereka terpesona dan tergoda.

DUDUK berdua-duaan apa salahnya. Sesekali saya perlukan privacy. Lagi pun kami bukannya apa-apa. Tetapi, bila berdua-duaan begini, dorongan syaitan sukar saya tepis.

HIBURAN menjadi pengubat kesunyiaan saya. Tanpanya terasa kosong dunia ini. Saya selalu bersama kawan-kawan lelaki dan perempuan ke pesta atau konsert. Masa saya banyak dihabiskan begitu daripada melakukan ibadat dan kadang-kadang saya sukar mengawal batas-batas pergaulan.

Firman Allah: (Al-Israa’:32)
”Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”

Sunday, November 7, 2010

Zulhijjah



Zulhijjah merupakan bulan yang terakhir dalam kalendar Hijrah. Ia termasuk antara bulan-bulan haram yang dimuliakan Allah SWT. Justeru sebagaimana bulan-bulan haram lain, bulan Zulhijjah ini seharusnya diisi dengan amalan-amalan soleh yang selari dengan sunnah Rasulullah SAW. Pada bulan tersebut terdapat hari-hari yang lebih diutamakan berbanding hari-hari lain pada bulan itu.

Keutamaan 10 hari pertama

Sepuluh hari pertama pada bulan ini merupakan hari yang diberkati Allah SWT dan bagi mereka yang mengerjakan amal-amal soleh pada hari ini ia akan mendapat keutamaan dan ganjaran lebih berbanding dengan hari-hari lain pada sepanjang tahun. Daripada Ibn ‘Abbas r.a, beliau berkata Rasulullah SAW. bersabda: Tiada hari-hari yang amalan soleh dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari-hari (ayyam) ini (iaitu 10 hari pertama Zulhijjah). Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan Allah?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 969

Jelas menerusi hadis ini amalan pada 10 hari pertama Zulhijjah begitu besar. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar: “Jika seseorang melakukan hal seperti itu (iaitu berjihad sehingga mengorbankan diri dan harta), maka dia lebih baik atau sedarjat dengan mereka yang melakukan ibadat pada 10 hari pertama pada Zulhijjah.” - Ibn Hajar al-‘Asqolani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 307, ketika mensyarah hadis no: 969.

Selanjutnya al-Hafiz Ibn Hajar memperjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat (secara serentak) pada bulan-bulan lain.

Justeru hendaklah setiap umat Islam memperbanyakkan solat-solat sunat, terutama solat tahajud, berzikir, berdoa, membaca al-Quran, melaksanakan ibadat korban dan mengerjakan ibadat haji bagi yang mampu. Hendaklah berusaha untuk berpuasa pada sembilan hari pertama bulan tersebut. Ummul Mukminun Hafshah berkata: Adalah Nabi SAW berpuasa pada hari puasa Asyura dan sembilan hari pertama pada Zulhijjah dan tiga hari dalam setiap bulan. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, no: 2332

Hari Arafah

Hari Arafah atau hari yang ke-9 dalam Zulhijjah merupakan hari di mana para jemaah haji berwuquf di padang Arafah. Hari Arafah ini merupakan hari paling ramai umat manusia beriman diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan diselamatkan dari seksa api neraka oleh Allah SWT serta diperkenankan permohonan hamba-hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda: Tiada suatu hari yang di dalamnya Allah menyelamatkan hamba-Nya dari neraka yang lebih ramai daripada hari Arafah, iaitu tatkala Allah mendekat dan berbangga di hadapan para malaikat-Nya seraya berfirman: Apa yang mereka inginkan?” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 2402

Justeru bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadat haji disunatkan untuk berpuasa dan fadilatnya adalah dosa-dosa tahun lepas serta yang akan datang akan diampunkan. Sabda Rasulullah SAW.: Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 1162.

Majoriti (jumhur) ulama berpendapat tidak dianjurkan bagi jemaah haji yang sedang berwuquf untuk berpuasa pada hari Arafah. Pandangan ini dikuatkan dengan sebuah riwayat daripada Kuraib daripada Maimunah r.a yang menceritakan: Bahawasanya orang ramai merasa ragu-ragu tentang puasa Rasulullah SAW pada hari Arafah. Maka aku (yakni Maimunah) membawakan air susu kepadanya. Pada saat itu Baginda sedang wuquf di tempat wuquf. Baginda meminumnya dan manusia melihatnya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 1989

Motif Rasulullah SAW menganjurkan para sahabat untuk tidak berpuasa ketika wuquf di Arafah adalah bertujuan agar para sahabat yang sedang mengerjakan ibadah haji itu memiliki tubuh badan yang segar dan kuat supaya mereka dapat melipat gandakan amal ibadat pada hari itu yang terdapat banyak fadilatnya. At-Thobari r.h berkata: “Rasulullah SAW tidak berpuasa di Arafah dengan maksud memberi petunjuk bahawa yang terbaik dilakukan oleh mereka yang mengerjakan haji di Makkah ialah tidak berpuasa supaya tidak lemah untuk berdoa dan berzikir pada hari Arafah.” – Rujuk Fathul Baari, jilid 11, ms. 437, syarah hadis no: 1989.

Hari Raya Aidiladha

Pada tarikh 10 Zulhijjah umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha yang merupakan hari kebesaran bagi umat Nabi Muhammad SAW Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasa’i, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.

Walaupun di Malaysia sambutan Hari Raya Aidilfitri jauh lebih meriah berbanding Aidiladha, namun hakikatnya di sisi Allah SWT Aidiladha adalah lebih utama berbanding Aidilfitri. Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya hari yang paling agung di sisi Allah SWT ialah Hari Raya Aidiladha, setelah itu ada hari al-Qurr (iaitu hari kedua Aidiladha yakni pada 11 Zulhijjah). – Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, no: 1502

Hari-Hari Tasyriq

Hari Tasyriq merupakan hari-hari yang jatuh pada tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ia di namakan Tasyriq kerana pada hari tersebut daging korban dibahagikan. Hari-hari Tasyriq ini merupakan hari yang dimuliakan oleh Allah SWT dan memiliki keutamaan. Firmannya: Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang terbilang. – al-Baqarah (2) :203

Dalam Tafseer Ibn Kathir telah dibawa sebuah riwayat Daripada Ibn ‘Abbas r.a yang berkata: Beberapa hari yang terbilang (dalam hadis di atas) adalah hari-hari Tasyriq. Dalam kitab tersebut Ibn Kathir r.h telah membawa sebuah riwayat daripada Nubayshah Al-Hudzali, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: Hari Tasyriq ialah hari untuk makan, minum dan berzikir. – Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no: 19797

Menerusi hadis ini dapat kita fahami dua perkara tentang Hari Tasyriq, iaitu:

Pertama: Ia termasuk hari perayaan Aidiladha yang mana ia adalah hari untuk makan dan minum serta hari untuk bergembira. Oleh itu digalakkan untuk berkumpul bersama keluarga serta sahabat handai dengan menyediakan jamuan makan asalkan segala adab-adab yang dituntut oleh syarak dijaga serta tiada pembaziran. Justeru pada hari Tasyriq termasuk dalam hari-hari yang diharamkan untuk berpuasa. Ketika Abdullah bin Amru r.a bertemu dengan dengan ayahnya (‘Amru bin al-‘Ash r.a), ‘Amru bin al-’Ash sedang makan. Ayahnya menjemput Abdullah bin Amru untuk makan bersama tetapi beliau menolak dengan alasan sedang berpuasa. Lalu Amru bin al-Ash berkata: Ini adalah hari-hari (iaitu hari Tasyrik) yang dilarang oleh Rasulullah SAW untuk berpuasa dan menyuruh kita untuk menjadikannya (hari-hari) suci. – Diriwayatkan oleh Imam Imam Malik di dalam al-Muwatha’, hadis no: 137

Kedua: Ia merupakan hari untuk memperbanyakkan zikir kepada Allah terutamanya takbir dalam rangka memperbesarkan serta mengagungkan Allah SWT. Dalam Sahih al-Bukhari telah diriwayatkan: Ketika di Mina (pada hari-hari Tasyriq), Umar r.a mengumandangkan takbir di dalam khemahnya sehingga orang ramai yang berada di dalam masjid mendengarnya, maka mereka dan orang ramai yang sedang berada di pasar turut ikut mengumandangkan takbir sehingga kota Mina bergemuruh dengan takbir. Ibn Umar mengumandangkan takbir di Mina pada hari-hari itu (iaitu Tasyriq) setiap kali selesai melaksanakan solat, di tempat tidurnya, di khemah, di dalam masjid dan ketika dia sedang berjalan pada hari-hari itu. – Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di bab Takbir Pada Hari-Hari Mina Dan Ketika Berangkat Menuju Arafah dalam Sahihnya

Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah (al-Rahmah) lagi Maha Penyayang (al-Rahman) telah menetapkan sesetengah bulan itu memiliki keutamaan yang lebih berbanding bulan-bulan lain agar Dia dapat memberi ganjaran yang lebih kepada hamba-hamba-Nya pada kadar-kadar masa yang tertentu itu. Di antara bulan yang dianggap istimewa itu ialah Zulhijjah yang merupakan salah satu dari empat bulan-bulan haram penuh berkat.

Saturday, October 23, 2010

JIRIM 2





Assalamualaikum

Buat semua yang layak, mari ajak kawan dan kenalan bersama mendaftar ke JIRIM2. Hubungi Ust Rizal : 019-3079306 (mr_jeff79@yahoo.com)

atau layari : http://www.jirim.net/

Friday, September 24, 2010

Wahai perokok..

Wahai saudara/i. Janganlah anda menyiksa diri anda dan orang lain di dunia dan akhirat. Jauhilah ia untuk keselamatan/kebaikan diri anda dan orang lain.


Ia pembunuh yang sangat bahaya








SHANGHAI, ISLAM, MELAYU DAN 1 MALAYSIA

Dr Mohd Asri Zainul Abidin)

Ketika saya menulis rencana ini, saya sedang berada di Shanghai dan menuju ke Xian dan Beijing. Beberapa hari lepas, pada 21hb September 2010, saya menyertai satu rombongan VVIP melawat Shanghai World Expo 2010. Satu expo yang teramat besar bermula dari Mei sehingga Oktober 2010. Hampir 200 negara menyertainya. Kos keseluruhan expo ini mungkin puluhan billion ringgit. Setiap negara membina astaka atau pavilion mereka sendiri untuk memperkenalkan negara mereka kepada dunia. Setiap negara membelanjakan puluhan, bahkan ratusan juta untuk itu. Saya difahamkan, Malaysia sendiri membelanjakan tidak kurang dari RM 20 juta untuk membina Malaysia Pavilion di expo tersebut. Di sebabkan terlalu luas kawasan expo ini, jika anda melawatnya, dalam sehari anda mungkin hanya dapat melawat sekitar belasan astaka sahaja. Terlalu luas dan terlalu ramai pengunjungnya. Target 70 juta pelawat ke expo tersebut mungkin tercapai dengan mudahnya. Bayangkan 70 juta pengunjung, melebihi dua kali penduduk Malaysia.

Tinjauan
Terlebih dahulu, walaupun saya datang menyertai rombongan VVIP, tulisan saya ini hanya mewakili pemerhatian saya secara peribadi. Secara umumnya, saya rasa rakyat Malaysia tahu bahawa pandangan-pandangan sebelum –insya Allah- bebas dari unsur perkauman dan fanatik. Saya berusaha bersikap adil, itulah titah agama yang luhur. Maka saya harap rencana ini dibaca dengan semangat kenegaraan dan hakikat sebuah negara bernama Malaysia.
Pertamanya, saya mengucapkan jutaan terima kasih yang teramat sangat kepada pihak Kementerian Pelancongan Malaysia yang menyambut kedatangan rombongan kami dengan penuh layanan mesra. Budi baik amat dikenang. Saya juga rasa patut berterima kasih atas usaha kementerian berkenaan memperkenalkan Malaysia di expo berprestij tersebut.
Atas usaha pihak kosulat Malaysia di Shanghai dan Kementerian Pelancongan, kami mendapat layanan istimewa di setiap pavilion negara-negara yang kami lawati. Alhamdulillah, dan terima kasih!
Islam
Namun, atas hak sebagai seorang rakyat Malaysia, saya sedikit ingin memberikan pandangan peribadi di sini. Ada beberapa gambaran yang saya rasa kurang kemas dalam expo tersebut. Saya tidak pasti ia berlaku secara sengaja, atau tidak sengaja. Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia kita wajar mengakui beberapa hakikat negara kita. Antaranya, kita berbilang agama dan bangsa. Islam adalah agama rasmi dan mempunyai penganut yang paling besar. Agama-agama lain juga wujud secara aman. Orang melayu adalah majoriti terbesar. Kaum-kaum lain juga hidup secara aman. Kita semua sepatutnya berusaha ke arah kedamaian dan keharmonian. Jika kita ingin menceritakan negara kita ini kepada dunia, inilah hakikatnya. Ia bukan soal perkauman atau fanatik agama, tetapi itulah realiti negara kita. Tiada cacatnya menceritakan realiti itu kepada dunia.
Namun saya rasa, jika saya tidak tahu tentang Malaysia, saya datang ke Malaysia Pavilion di Shanghai World Expo 2010, saya mungkin akan mengagak bahawa agama Kristian adalah agama majoriti rakyat Malaysia. Tempat-tempat ibadat yang di paparkan hanyalah dua buah gereja. Itu pun bangunan binaan tinggalan penjajah Portugis, bukan binaan rakyat Malaysia. Ini seperti gambar yang saya sertakan. Entah berapa banyak masjid dan seni binanya yang cantik, namun tidak ditonjolkan. Lojiknya, tonjollah secara seimbang dengan menggambarkan kepelbagaian agama. Sudah pasti Islam sebagai agama rasmi, tidak boleh dinafikan kedudukannya, kerana itulah realiti kita.



Hanya inilah dua pusat ibadat yang tertonjol di Malaysia Pavilion di Shanghai. Penulis berdiri di hadapan dua gambar tersebut yang terpapar ketika memasuki ke Malaysia Pavilion.


Mungkin ada pihak berfikir, menggambarkan Islam sebagai agama yang terbesar di Malaysia kurang menarik bagi masyarakat antarabangsa. Jika itulah fikiran mereka, bererti kita cuba menafikan realiti nagara kita, dan amat tidak adil untuk penganut Islam di Malaysia. Negara-negara Islam lain tidak menafikan pun hakikat mereka. Bahkan di China sendiri, ada province (wilayah) yang majoriti penganutnya beragama Islam, iaitu Wilayah Ningxia. Dalam expo Shanghai ini, China Pavilion menonjolkan wilayah tersebut dan kehidupan penduduknya. Agama dan budaya mereka. Saya merakam beberapa gambar yang saya ambil ketika melawat pameran Wilayah Ningxia di China Pavilion. China menggambarkan kepelbagaian mereka atas konsep ‘hidup di bawah satu bumbung’.


Penulis bersama dengan lelaki Ningxia yang berpakaian menunjukkan kesan Islam dalam kehidupan mereka.


Pakaian wanita Ningxia juga menggambarkan kesan Islam dalam masyarakat mereka. Gadis ini sedang menuang teh khas kepada tetamu kepada penulis ketika disambut sebagai rombongan VIP.
Bahkan lebih daripada itu, pavilion yang paling mewah dan mendapat sambutan besar adalah Arab Saudi Pavilion. Dikatakan mereka membelanjakan lebih US 200 juta untuk expo tersebut. Arab Saudi cuba menonjolkan kehebatan Islam yang menjadi teras kehidupan rakyat mereka, bahkan umat Islam keseluruhannya. Kecanggihan teknologi digunakan. Mereka mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Orang ramai sanggup beratur berjam-jam untuk memasuki pavilion mereka.
Begitu juga kebanyakan negara-negara Arab Teluk yang lain, tetap mengakui Islam mempunyai akar umbi dalam kehidupan mereka. Iran yang sering dituduh dengan keganasan itupun, tetap menonjolkan unsur Islam dalam kehidupan rakyat mereka. Maka, di expo yang berprestij ini, saya tidak rasa rendah diri dengan unsur Islam.
Maka bagi saya, ketidak tonjolan Islam sebagai sebuah agama besar di Malaysia, amatlah tidak adil kepada penduduk majoriti sebuah negara bernama Malaysia. Jika tidak banyak, sedikit pun tetap perlu dinyatakan.
Seni
Begitu juga di sudut seni. Kita tidak boleh menafikan bahawa orang melayu juga mempunyai pelbagai karya seni. Sepatutnya, wajar sedikit sebanyak ditonjolkan. Ini seperti yang ditunjukkan Morocco pavilion yang menggambarkan kehalusan seni tempatan mereka. Bahkan, jika saya tidak tahu apa-apa tentang Malaysia, gambar seni lukisan yang paling besar di pavilion kita menggambarkan kaum India dan agama Hindu. Ini seperti gambar yang saya sertakan. Tidak adakah sedikit untuk kaum majoriti dan agama majoriti? Gambar-gambar lain amatlah abstrak, di samping kecil, ia boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud.


Gambar seni yang terbesar yang dipaparkan di Astaka Malaysia, Shanghai World Expo 2010.
Putrajaya

Saya rasa kita patut berbangga dengan keindahan Bandar Putrajaya. Di sudut seni bina dan keindahan, ia adalah salah satu kejayaan. Patut ditonjolkan kepada dunia. Demikian juga binaan-binaan canggih lain dalam negara kita. Cumanya, saya gagal menemui gambaran keindahan Putrajaya di Malaysia Pavilion, Shanghai World Expo. Lebih mengejutkan, gambar pusat perjudian dan peranginan Genting terpapar di sana. Sebagai seorang muslim, saya tentu rasa rendah diri jika saya ditanya oleh pelawat asing mengenai hal perjudian itu kepada saya. Memang kita tidak nafikan ia wujud, dan saya sebagai muslim tidak pernah meredhai perkara itu. Tetapi, untuk tatapan dunia, tidakkah kita mempunyai banyak pilihan yang lain. Saya makin bingung dengan konsep 1 Malaysia ini!


Gambar Genting yang ditonjolkan di Pavilion Malaysia.


Kaum
Negara kita mempunyai pelbagai kaum. Inilah salah satu keunikan kita. Orang melayu adalah majoriti, seterusnya diikuti kaum lain. Jika kita ingin menceritakan kepada dunia, maka ceritalah sedemikian rupa. Namun, jika saya tidak tahu apa-apa tentang Malaysia dan mengunjungi Malaysia Pavilion di Shanghai, saya akan kata kaum utama adalah kaum peranakan baba dan nyonya. Itulah gambar utama yang tertonjol. Kaum-kaum lain tidak ditonjolkan. Jika adapun, pakaian para penari yang mewakili pelbagai kaum. Itupun, hanya orang tahu dan pernah ke Malaysia mungkin akan faham. Orang luar, mereka memahami apa yang terpapar sahaja.


Salah satu gambar utama semasa pintu masuk ke Malaysia Pavilion di Shanghai.


Sebuah Catatan
Banyak persoalan berligar di kepala saya selepas mengunjungi Shanghai World Expo ini. Di mana saya sebagai seorang muslim melayu Malaysia. Saya tidak perkauman. Sama sekali tidak. Para pembaca dapat membaca pandangan-pandangan saya sebelum yang amat anti sikap fanatik kaum atau agama. Namun, saya rakyat Malaysia yang pasti enggan haknya dinafikan. Saya tidak ingin bertanya kepada pihak yang menguruskan, tetapi saya ingin bertanya Kerajaan Malaysia yang membelanja wang rakyat melebihi RM 20 juta untuk expo ini. Di Shanghai World Expo 2010, di manakah saya sebagai rakyat muslim di bawah konsep 1 Malaysia?

Monday, September 13, 2010

Tazkirah Syawal


Assalamualaikum..
Alhamdulillah….segala puji dirafa’kan kehadrat Ilahi, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan buat semua yang berjuang unuk menegakkan kalimah Allah di serata ceruk muka bumi daripada kalangan sahabat, tabi’in hinggalah mereka yang berjuang kehari ini.
Telah berlalu ramadhan, bulan yang dipenuhi dengan fadhilat dan kelebihan, yang mana sungguh rugilah mereka yang telah mensia-siakan dan membiarkannya berlalu tanpa diisi dengan amal-amal ibadah. Ramadhan yang mana belum tentu lagi kita akan menemuinya pada tahun hadapan. Berapa ramai insan yang saya temui telah kembali menemui Ilahi ketika dibulan ramadhan, dan ada juga yang sesudah berakhirnya ramadhan.
Namun rahmat Allah itu maha luas. Kasih sayangNya tidak putus-putus buat hamba-hambaNya yang beriman. Diberikan peluang kepada kita sesudah ramadhan yang lalu, dengan amalan berpuasa enam di bulan Syawal yang mana ganjaran pahalanya menyamai berpuasa sepanjang tahun sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud “Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari dibulan syawal, ia adalah seperti berpuasa setahun.”. Berdasarkan perkiraan setiap amalan kebajikan itu diganjari dengan sepuluh kali ganda maka 30 hari dibulan ramadan bersamaan dengan 300 hari iaitu sepuluh bulan dan puasa enam hari diganjari dengan 60 hari bersamaan 2 bulan. Maka genaplah perkiraan satu tahun setelah ditambah 300 hari (bulan ramadhan) dan 60 hari (syawal).
Ikhwah/at yang disayangi…… marilah sama-sama kita bermuhasabah mengenai puasa kita yang lalu. Adakah ianya benar-benar memberi kesan kepada ibadah-ibadah kita untuk seterusnya?......adakah ramadhan kali ini benar-benar menjadi madrasah untuk mentarbiyah diri kita agar lebih kuat untuk beramal ibadah pada bulan seterusnya?....ataukah kita hanya menjadi hamba kepada ramadhan, tidak kepada Allah tuhan dan pemilik kepada bulan-bulan tersebut?...marilah kita meneruskan amalan-amalan dibulan ramadhan seperti tilawah al-Quran, berpuasa, iktikaf, qiamullail, bersedekah dan lain-lain.
Semoga kita bakal bertemu dengan ramadhan akan datang bersama-sama semangat dan keinginan yang tinggi untuk mengecapi redha Ilahi.
Wassalaamu ‘alaikum warahmatullah.

Rehlah Masyi Badar Al-Kubro



SHAH ALAM 31 Ogos - Dalam meraikan Nuzul al-Quran pada17 Ramadhan yang lepas seramai 110 orang ahli ISMA cawangan Shah Alam & Klang sama-sama menjayakan program Rehlah Masyi Badar al-Kubro 2010 di Taman Tasik Shah Alam anjuran Biro Pembangunan Sumber Manusia Cawangan.

Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini terdiri daripada para peserta daripada segenap lapisan umur menyajikan pelbagai aktiviti berupa kerohanian dan fizikal antaranya perlu memenuhi beberapa kewajipan seperti hafalan beberapa ayat surah al-Anfal, istigfar, solat sunat Dhuha, soalan kuiz sirah Islam serta simulasi peperangan Badar.

Pengarah program, Ustaz Mohammad Rizal Sabran berkata, perjalanan rehlah pada tahun ini sangat mencabar ditambah pula dengan beberapa ujian dan dugaan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh perjalanan ini.

Selain itu, aktiviti yang telah ditetapkan tersebut juga dapat membina dan menguatkan hubungan kita dengan Allah Taala melalui wajibat yang telah ditetapkan, tambah beliau lagi.

Menariknya program kali ini, 2 pasukan tertinggi telah dianugerahkan lencana Badar di mana ahli-ahli pasukan tersebut diberi amanah sekiranya suatu hari nanti mendapat panggilan jihad maka merekalah yang akan berada di barisan hadapan berbanding lain dalam menyahut seruan itu.

Dengan adanya penganugerahan sebegini, sedikit sebanyak dapat memberi motivasi kepada sebilangan peserta lain yang tidak dapat memenuhi kewajipan yang telah ditetapkan penganjur dengan amal yang dapat melayakkan mereka menjadi tentera sehebat tentera Badar tersebut.

Turut sama hadir ke program ini ialah Yang Dipertua ISMA Shah Alam & Klang, Dr Amirudin Wahab dan Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia Pusat, Ustaz Muhd Rusdi Alias.

Monday, August 30, 2010

Rebut kelebihan 10 Ramadhan terakhir

Taktik Menculik kanak2 di Shopping Complex

SILA AMBIL IKHTIBAR ATAS APA YANG BERLAKU...Tajuk : Helah MenculikKanak-Kanak Di Carrefour JBSubject : Child Kidnap Trick in Carrefour, JBJika anda tiada anak kecil pun, tolong sebarkan maklumat ini kepada sesiapasahaja... Kita tidak tahu entah siapa yang dapat diselamatkan denganmenghantar e-mel ini. Tolong beri sedikit masa dan hantar kepada kawan yangada anak-anak dan cucu-cucu... Terima Kasih.

Kita mahu berkongsi apa yang berlaku hari ini semasa berbelanja di CarrefourJB. Seorang ibu sedang membongkok untuk membelek-belek daging, dan apabilaberpusing mendapati anak perempuannya berusia 4 tahun telah hilang. Sayaberdiri betul-betul bersebelahan dengan si ibu, sementara si ibu tadi terusmemanggil-manggil anak perempuannya tapi hampa.

Saya meminta seorang pekerja lelaki Carrefour untuk umumkan kehilangantersebut melalui sistem pembesar suara. Beliau terus melakukannya apabiladiminta berbuat demikian, dan kemudian terus meninggalkan saya untuk membuatpanggilan telefon. Panggilan itu untuk memaklumkan supaya semua pintu danpagar dikunci menggunakan kata kod atau seumpamanya. Jadi mereka telahmengunci semua pintu dengan serta-merta.

Hanya 3 minit diperlukan untuk melakukannya selepas diminta.. Merekamenjumpai kanak-kanak perempuan itu 5 minit kemudian di dalam bilik airdalam keadaan masih khayal. Kepala budak perempuan itu sudah separuhdicukur, dan hanya berpakaian dalam. Ada sebuah beg mengandungi baju, pisaucukur, dan rambut palsu terletak di lantai bersebelahannya untuk menukarwajahnya.

Siapa pun yang melakukannya - iaitu mengambil lalu membawa budak perempuanini ke dalam bilik air, cukur rambut dan tukar pakaiannya - melakukannyakurang daripada 10 minit. Ini bikin saya menggigil tak sudah-sudah. Tolongperhatikan anak-anak anda apabila berada di tempat luas di mana adalahsenang untuk kita terpisah dengan mereka seperti di gedung beli-belah. Hanyabeberapa minit diperlukan untuk melakukan semuanya. 5 minit lagi maka anakperempuan itu tentu sudah berjaya dibawa keluar.

Saya masih amat terkejut ada manusia yang sanggup melakukannya, apa lagidalam masa hanya beberapa minit. Masa anak-anak kecil boleh berlari tanpahirau telah berlalu. Budak perempuan itu kini selamat. Syukur ke hadratAllah SWT, dan tahniah kepada pekerja Carrefour yang bertindak pantas.

SEBARKAN BERITA INI SELUAS-LUASNYA SUPAYA PERINGATAN DAPAT DIBUAT BAHAWA ADAMANUSIA GILA LAGI GANAS DI KALANGAN KITA SEMUA !BE SURE TO FORWARD THIS TOEVERYONE, SO THEY REMEMBER JUST HOW SICK PEOPLE ARE OUT THERE !

Tuesday, August 24, 2010

Sediakan payung sebelum hujan

FAKTA TERKINI – KEMALANGAN261 Terbunuh, merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi (peningkatan 25.4%) kematian akibat jalan raya semasa musim perayaan (Ops Sikap ke-20). Statistik lain adalah kadar kemalangan 17,335 dalam tempoh 2 minggu. (UMalaysia- 29 Sept.2009)
FAKTA PENYAKIT KRITIKAL !!!Kanser payudara pembunuh utama (Utusan Malaysia, 10 Jun 2008)PUTRAJAYA 9 Jun – Sebanyak 31 % pesakit kanser wanita di negara ini terdiri daripada pesakit kanser payu dara yang menjadikan kanser itu kekal sebagai pembunuh utama wanita. Pembunuh No 1 Wanita (Utusan Malaysia, 16 April 2008)- SALAH satu penyakit yang amat digeruni di kalangan kaum wanita di dunia, termasuk Malaysia, ialah kanser payudara.
Lelaki lebih mudah kena barah ginjal (Berita Harian, 17 April 2008)- Lebih 90 peratus pesakit berusia 45 tahun ke atas, SECARA umum lelaki lebih kerap berhadapan dengan penyakit barah ginjal berbanding wanita.
Penyakit kronik ancaman baru (Berita Harian , 17 April 2008)-Diramalkan dalam tempoh 10 tahun, 72 % kematian akan disebabkan penyakit kritikal seperti kegagalan buah pinggang, kardiovaskular dan diabetes
‘SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN’ – PRUBSN TAKAFUL MENAWARKAN POLISIPERCUMA-FOC JIKA DIAGNOSIS MENGIDAP SALAH SATU 36 PENYAKIT KRITIKAL.

Thursday, August 19, 2010

Delegasi Aman Palestin kunjungi PM Palestin, Ismail Haneeya

Ustaz Abdullah Zaik bersama PM Palestin, Ismail Haneeya

Gaza, 13 Ogos – Delegasi misi kemanusiaan Aman Palestin yang diketuai oleh Pengerusi Eksekutif Aman Palestin yang juga Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman telah mengadakan kunjungan ke atas Perdana Menteri Palestin, Ismael Haneeya di Gaza semalam, menurut laporan terkini yang diperolehi daripada sana.
Kunjungan ini diadakan sempena kedatangan delegasi Aman Palestin untuk menghantar bantuan kemanusiaan bernilai USD 150,000 yang berupa ubat-ubatan, susu bayi serta persediaan untuk menyambut Ramadhan bagi seluruh muslimin yang berada di bumi Gaza.
Semoga hubungan yang terjalin ini akan mengeratkan lagi ikatan persaudaraan di antara umat Islam di Malaysia dengan saudara seaqidahnya di Palestin.

Sumber : ISMAWeb

Wednesday, August 18, 2010

Zionis tidak jemu rancang misi lenyapkan Al-Aqsa






Tarikh 21 Ogos adalah detik hitam bagi umat Islam di seluruh dunia. Genap 41 tahun lalu (21 Ogos 1969), maruah umat Islam tercalar dengan penghinaan apabila Masjid Al-Aqsa dibakar pelampau Yahudi yang disokong kuat Kristian Zionis.
Usaha terkutuk ini dilakukan penjenayah dari Australia, Michael Dennis Rohan.
Rohan menyalakan api di dalam Masjid Al-Aqsa untuk membakar dan sekali gus memusnahkannya. Api marak hampir saja memusnahkan keseluruhan Masjid al-Aqsa. Namun tindakan tangkas umat Islam di Baitulmaqdis selama sehari suntuk mengizinkan mereka memadamkan api berkenaan.
Rohan sebenarnya tidak bersendirian dalam melakukan jenayah keji ini. Dia mendapat sokongan rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid Al-Aqsa lenyap daripada muka bumi bagi meneruskan projek membina Yahudi, Solomon Temple atau Haikal Sulaiman di dataran Baitulmaqdis.
Penjenayah yang bertanggungjawab terhadap pembakaran itu ditangkap, namun dibebaskan tanpa hukuman. Mahkamah Israel sentiasa bersandiwara apabila memutuskan Rohan, seorang doktor perubatan sebagai tidak siuman dan hanya dihantar pulang ke Australia. Rohan pula dengan bongkaknya berkata, apa yang dilakukannya adalah tanggungjawab agama seperti dalam ajaran Talmud. Dia turut mendakwa berjaya melaksanakan misi diperintahkan tuhan.
Pihak Zionis memulakan perancangan dengan menutup saluran paip ke Masjid Al-Aqsa agar agenda jahat itu berjaya membuahkan hasil maksimum. Tentera Israel juga menghalang pasukan bomba dan warga Arab memasuki kawasan masjid pada hari berkenaan.
Tindakan biadab ini menyebabkan sebahagian besar Masjid Al-Aqsa rosak dan menjadi arang. Kemusnahan itu melebihi sepertiga kawasan iaitu kira-kira 1,500 meter persegi daripada 4,400 meter persegi keluasan masjid. Mimbar Salahuddin al-Ayyubi yang bersejarah, Mihrab Zakaria, Masjid Umar al-Khattab dan sebahagian besar serambi masjid juga hangus. Turut musnah atap masjid serta tiang indah dihiasi ayat al-Quran.
Pembakaran Al-Aqsa mengundang protes seluruh dunia Islam bermula dari Maghribi di Barat hingga ke Indonesia di Timur. Banyak pertemuan dan perundingan peringkat serantau dan antarabangsa diadakan bagi menghentikan kemarahan umat Islam. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga terpaksa mengadakan sidang tergempar dan mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk Israel dan menyeru agar menghentikan segala usaha yang bertujuan merubah status Baitulmaqdis dan pengyahudian Masjid Al-Aqsa.
Pemimpin negara Islam pula bergabung dan bersetuju menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berikutan pembakaran Masjid Al-Aqsa. Mereka mengadakan pertemuan tergempar di Rabat, ibu negara Maghribi serta menghasilkan resolusi mencegah apa jua usaha penodaan Masjid Al-Aqsa. Namun sedihnya resolusi itu hanya tinggal resolusi yang tidak berjaya dilaksanakan. OIC sebenarnya terbukti gagal dalam mewakili umat Islam bagi menangani keselamatan dan kesucian Masjid Al-Aqsa.
Kesan pahit daripada pembakaran Masjid Al-Aqsa pada 1969 terus dirasai dunia Islam hingga ke saat ini. Banyak lagi jenayah yang dilakukan terhadap Al-Aqsa.
Kini, selepas 41 tahun pembakaran Masjid Al-Aqsa, masih ada ribuan lagi pengganas Zionis dan Yahudi radikal yang terus menanti kelalaian umat Islam untuk memusnahkannya. Zionis sebenarnya bertungkus-lumus untuk mengyahudikan Masjid Al-Aqsa sejak peristiwa An Naksah (malapetaka yang berulang) iaitu peristiwa penjajahan Baitulmaqdis Timur dan Masjid Al-Aqsa pada 1967. Banyak lagi jenayah projek pengyahudian Al-Aqsa dilakukan, termasuk menghalang umat Islam menziarahi masjid ini dan memakmurkannya, menghalang usaha membaik pulih Masjid Al-Aqsa yang rosak, merampas Tembok Buraq yang menjadi sebahagian Al-Aqsa, mengadakan upacara agama Yahudi di dalam Masjid Al-Aqsa, siri pengeboman secara terancang ke atas masjid, siri pembunuhan umat Islam di Masjid Al-Aqsa, penggalian terowong besar dan panjang di bawah masjid ini, mengubah identiti Islam dan Arab kepada Yahudi di Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa serta pembinaan Sinagog Hover bersebelahan Al-Aqsa.
Terlalu banyak jenayah dilakukan Zionis terhadap Masjid Al-Aqsa yang menjadi jantung hati umat Islam. Al-Aqsa adalah kiblat pertama, masjid ketiga suci serta bumi Israk dan Mikraj. Masjid Al-Aqsa mesti diselamatkan daripada kemusnahan Zionis. Apa yang sudah dan sedang berlaku terhadap Al-Aqsa patut menyedarkan umat Islam daripada terus lena di buaian mimpi. - Dr. Zainur Rashid Zainuddin (Perunding Aman Palestin)

Friday, August 13, 2010

NUR RAMADHAN

WAKIL THAIF DATANG BERJUMPA RASUL SAW UNTUK MENYATAKAN KEISLAMAN MEREKA



Dakwah Rasul SAW ke Thaif mendapat tentangan hebat. Namun akhirnya mereka menerima dakwah Baginda SAW
Mereka datang berjumpa Rasul SAW sekembalinya Baginda SAW daripada Tabuk 9 hijrah
Awalnya, ketua mereka ‘Urwah bin Mas’ud al-Thaqafi datang menemui Baginda SAW sekembalinya Baginda dari peperangan al-Thaif (Zulqaedah 8 hijrah). Sekembalinya daripada Madinah, beliau terus menemui kaumnya dan mengajak mereka kepada islam. Malangnya dakwah beliau telah ditolak. Malah beliau turut di bunuh.
Setelah itu mereka bermesyuarat & hasilnya mereka mendapati bahawa mereka lemah utk memerangi seluruh masyarakat arab yang telah memeluk islam ataupun yang telah berbai’ah dengan Rasul SAW.
Mereka bersetuju utk melantik Abdul Yalil Ibn Amr sebagai wakil mereka menemui Rasul SAW. Awalnya beliau menolak kerana khuatir beliau hanyalah umpan & akan diperlakukan seperti ‘Urwah bin Mas’ud. Lalu, Abdul Lalil meminta utk dihantarkan bersamanya beberapa sahabat yang lain. Mereka bertolak ke Madinah untuk menemui Rasul SAW seramai 6 orang. Antaranya ialah Abdul Yalil & Uthman bin al-‘As (wakil termuda).
Mereka di sambut baik oleh Rasul SAW. Rasul SAW mendirikan khemah khusus untuk mereka di tepi masjid, supaya mereka berpeluang mendengar bacaan al-Quran & melihat muslimin sembahyang.
Uthman bin al-‘As adalah utusan yang paling berpotensi & paling bersemangat dalam mempelajari & mendalami islam. Walaupun beliau paling muda. Ketika utusan2 lain ber’qailulah, Uthman telah keluar bersendirian berjumpa Rasul SAW atau sahabat2 yang lain untuk membaca al-Quran dan bertanya hal-hal agama. Beliaulah juga yang telah menjadi penasihat kepada kaum Thaqif ketika kemelut murtad berlaku.
*Diterjemahkan daripada Risalah Ramadhan Mujamma’ Abu Qurah, Amman Jordan

Wednesday, August 11, 2010

Memperoleh kelebihan Ramadhan



Ramadhan hadir hari ini dan telah berlalu sehari daripada hari-hari di bulan Ramadhan. Ikhwah akhawat yang dikasihi, seringkali diperingatkan kepada kita mengenai sepotong hadis Nabi s.a.w yang bermaksud :" awalnya (Ramadhan itu) rahmat, dipertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka".

sebagai muhasabah kita sebelum bertemu Ramadhan dan rasanya masih belum terlambat untuk saya memperingati diri saya dan ikhwah/at agar kita mendaftar diri untuk mendapat semua yang dijanjikan oleh Allah untuk hamba-hambaNya sepanjang bulan Ramadhan ini. Diantara syarat-syarat untuk mendapat perhatian dan kasih sayang Allah beserta kelebihan Ramadhan ialah :
1. Membersihkan diri dari dosa/maksiat (bertaubat)."sungguh beruntunglah mereka yang menyucikan jiwanya (dari dosa)".(as-Syams:9)
2. Saling bermaaf-maafan : suami-isteri, adik-beradik, anak-beranak, rakan-taulan dan sesama muslim.
3. Menyelesaikan hutang piutang atau mohon maaf/tangguh.
4. Memperbanyak melakukan amal solih bagi meraih perhatian Allah dan rahmatNya.
5. Meninggalkan segala larangan dan perkara-perkara yang dibenciNya.
6. Memperbanyakkan doa, zikir dan istighfar(mohon ampun).
7. Dan lain-lain lagi amal soleh dengan penuh keikhlasan.

"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu".(al-Hadith)

semoga Allah temukan kita dengan Ramadhan dan kurniakan Ramadhan (kelebihannya) kepada kita dan menerima segala amal kita.

Wassalam.

Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan Al-Mubarak




Assalamualaikum

Selamat Menyambut Ketibaan Ramadhan Al-Mubarak. Semoga diberi kekuatan untuk memperbanyakkan amalan dan kekuatan untuk meninggalkan segala larangan dan yang dibenci Allah

Doakan kami agar terus tabah menghadapi ujian-ujian seterusnya yang mungkin lebih hebat dari ini. Sungguh Tuhan tidak akan membiarkan hambanya berkata "aku beriman" tanpa ditimpakan kepada mereka ujian-ujian.

Salam Ramadhan Al-Mubarak dari Kami : Ust. Mohammad Rizal, Faizah, Amna Syuhada' dan Amna Az-Zahra'. Selamat berpuasa....

Tuesday, July 20, 2010

motivasi remaja di SMK Sek.18, Shah Alam.










Alhmadulillah, pada hari Jumaat lepas bersamaan 16 Julai 2010, KRIM SAK berjaya melakar satu kejayaan baru apabila berjaya menembusi sebuah lagi sekolah di Shah Alam, iaitu SMK Seksyen 18, dengan slot ceramah motivasinya kepada lebih 300 orang pelajar. Walaupun slot ceramah motivasi ini hanya melibatkan pelajar-pelajar asrama dari tingkatan 1 hingga 5, namun peluang yang diberikan ini oleh pihak sekolah dipergunakan sebaiknya untuk membantu dan membimbing para remaja di sekolah ini. Slot ceramah motivasi telah diisi oleh Ustaz Mohammad Rizal Sabran yang juga merupakan Setiausaha KRIM SAK selama hampir 2 jam dan diakhiri program ini dengan alunan nasyid pelajar tingkatan 3 sekolah ini. Mudah-mudahan lebih banyak lagi peluang dan ruang untuk KRIM SAK berkembang dan memperluaskan misi kami di sekolah-sekolah lain. Nantikan laporan-laporan seterusnya mengenai program-program dan slot-slot kendalian KRIM SAK di sekolah-sekolah lain.

Monday, July 19, 2010

Dilema Melayu

Dilema Melayu: Perspektif Dr. Burhannuddin al-Helmy

Minggu ini, banyak dari masa dihabiskan mencari bahan di Arkib Negara. Berada di sini tidak sedar masa berlalu dengan cepat kerana keghairahan mencari maklumat yang diperlukan. Sememangnya Arkib Negara adalah 'lubuk maklumat' masa silam bagi pengkaji sejarah kerana ia membekalkan berbagai maklumat Sumber Pertama yang tidak didapati di mana-mana perpustakaan. Apa yang diperlukan adalah ketekunan dan kesabaran pengkaji mencari dan terus mencari maklumat tersebut, seterusnya menganalisis dan menstruktur kembali sumber tersebut berdasarkan tajuk dan skop kajian.

Apa yang hendak saya kongsikan kepada pembaca ialah ucapan yang dibuat oleh Dr. Buhannuddin al-Helmy yang pernah mengetuai PKMM@MNP seterusnya memimpin PAS dalam tahun 1956. Ucapan ini dibuat pada 8 April 1955, iaitu semasa membuka Kongres Pemuda Melayu yang diadakan pada awal April 1955. Kongres Pemuda Melayu ini dianjurkan oleh Golongan Kiri, walaupun demikian ia turut dihadiri oleh ahli-ahli UMNO yang mengingkari arahan Tunku Abdul Rahman supaya memboikot Kongres tersebut. Kongres ini kemudiannya telah mengeluarkan usul, antaranya membantah penggunaan prinsip jus soli dalam soal kerakyatan dan pembentukan barisan kebangsaan Melayu yang berdasarkan konsep satu negara, bahasa dan bangsa.

Dalam ucapan awalnya, Dr. Burhannuddin telah mengimbau kedudukan orang Melayu sejak tahun 1931 sehingga 1941, menurutnya tidak banyak bezanya, walaupun telah mengalami beberapa peristiwa sejarah termasuk penjajahan Jepun. Dr. Burhanunddin telah memperihalkan sikap orang Melayu ketika itu dengan kata-kata "memadai saya katakan bahawa pada masa-masa itu kita jual menjual, sakit menyakiti, balas membalas dendam di antara satu sama lain, di antara satu golongan dengan golongan lain yang bertinggi rendah dan hina menghina dalam masyarakat kaum kita". Keadaan ini terus menerus berlaku sehingga darurat diperkenalkan pada tahun 1948. Keadaan yang berlaku tersebut menurut Dr. Burhannuddin disebabkan tidak wujudnya keinsafan dan penyatuan di kalangan orang Melayu yang menyebabkan bukan sahaja beribu-ribu orang kita telah ditangkap dan ditahan tetapi telah lebih dahsyat lagi ialah perbuatan saling menganiaya, fitnah memfitnah, tekanan dan ugutan yang hanya menguntungkan penjajah British. Perbuatan tersebut pada umumnya dilakukan oleh orang Melayu sendiri yang tidak kuat agamanya, tidak mempunyai rasa kemanusiaan, tidak mempunyai rasa kebangsaan dan cinta kepada bangsa dan tanahairnya.

Keadaan tersebut adalah gambaran sikap bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, persoalannya apakah sikap bangsa Melayu selepas Perang Dunia Kedua telah banyak berubah? Dr. Burhannuddin dengan nada kecewa menjawab bahawa keadaan bangsa Melayu tidak banyak berubah. Namun rasa keinsafan, perasaan ingin mahu memelihara hak dan faedah bersama, menjaga kebajikan dan kemajuan tanah air sudah mula timbul di kalangan orang Melayu pada zahirnya. Tetapi pada batinnya belum dapat diduga, belum boleh diketahui berapa dalam, tebal dan betapa kuatnya perasaan tersebut.

Dr. Burhannuddin melahirkan rasa bimbang dan ragu akan kekukuhan persatuan dan keinsafan yang telah disebutkan itu. Orang Melayu menurutnya, masih terlalu suka bertengkar atas perkara-perkara kecil yang boleh menjatuhkan budi dan akhlak. Memanjang-manjangka n soal yang boleh selesai dengan sepatah dua kata saja dan sekali dua berunding atau bermesyuarat sahaja. Orang Melayu lebih suka berpolitik sesama sendiri lebih dari berpolitik menentang penjajah. Dr. Burhannuddin mengemukakan persoalan kenapa orang Melayu tidak suka membicarakan soal-soal yang lebih besar dan lebih mementingkan soal yang kecil-kecil (remeh temeh). Soal besar yang dimaksudkan oleh Dr. Burhannuddin ialah menentukan arah dan ada matlamat yang hendak dituju. Maka "soal kecil menurun lurah dan mendaki gunung cita-cita itu adalah akan jadi kerja biasa jua dalam perjuangan".

Bagi memutuskan soal besar yang mempunyai kepentingan kepada survival masa depan bangsa Melayu menurut Dr. Burhannuddin, ialah melalui persatuan atau perpaduan bangsa Melayu yang kukuh dan juga berpegang kepada kebenaran-berani kerana benar-sebab soal tersebut menjadi hak orang Melayu sebagai satu bangsa yang berhak menentukan nasib baik dan buruk bangsanya sendiri. Tetapi untuk mewujudkan persatuan dan kesefahaman yang kuat sangat payah jika tidak ada pengertian, kesedaran dan keinsafan yang sebenarnya.

Di akhir ucapannya itu, Dr. Burhannuddin memberi nasihatnya kepada generasi pemuda Melayu ketika itu yang perlu dihayati sehingga kini. Katanya:

"Jiwa pemuda selalu gembira dan meluap-luap lebih-lebih lagi mana-mana yang lama terpendam, geram terkongkong, tertekan dan sebagainya, datang hadir ke sini dengan niat yang ikhlas dan cita-cita yang suci sebagai seorang pemuda pemudi bangsa Melayu yang bebas yang betul-betul mendukung hasrat pusaka bangsa Melayu dan meletakkan dahulu soal-soal perseorangan, parti dan sentimennya. Berpendirian sebagai seorang pemuda Melayu yang bertanggungjawab terhadap bangsa, nusa dan agama. Menebus dan membela hak-hak keadilan pusaka Melayu...".

(Sumber: Majalah Belia, 1955, Arkib Negara Malaysia)

Sunday, July 18, 2010

Bolehkah mereka dipercayai lagi?



Ini bukan kali pertama dan bukan juga kali kedua. Tetapi sudah beberapa kali Pengerusi DAP, YB Karpal Singh secara tegas, terang dan lantang mengatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam dan DAP tidak akan sekali-kali berganjak dengan pendirian mereka untuk tidak membenarkan negara Islam terbentuk di Malaysia jika PR berjaya menawan Putrajaya.
Inilah sedutan dari kenyataan beliau yang dilaporkan dalam The Malaysian Insider:
“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.
“Ia sebuah negara sekular. Saya percaya Allahyarham Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama) pernah menyebut sebelum ini mengenai Malaysia,” kata ahli politik veteran ini kepada The Malaysian Insider.
Karpal menyalahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengubah realiti sebuah negara sekular menerusi kenyataan-kenyataan politiknya yang dibuat oleh beliau pada masa-masa lalu, yang telah “mengelirukan orang ramai” berkenaan identiti Malaysia.
“Perlembagaan menyediakan peruntukan mengenai perkara ini. Tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan Malaysia sebuah negara Islam.
“Agama rasmi Malaysia ialah Islam tetapi tidak bermakna ia sebuah negara Islam,” kata beliau lagi.
Karpal kelihatan terkejut apabila disebutkan bahawa PAS dalam ceramah-ceramahnya memaklumkan bahawa DAP sudah menerima konsep negara Islam secara perlahan-lahan dan menghormati pendirian PAS dalam hal itu.
“Pada 1988, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular,” katanya. “Pada 1990, ketika satu ceramah di Sungai Pinang, akhbar-akhbar memetik saya mengatakan (bina) ‘negara Islam dengan melangkah mayat saya’,” katanya.
Jelas sekali bahawa mereka ingin merampas tampuk pemerintahan negara bukan untuk memartabatkan agama seperti kata beliau.
“Kita pernah menjalin pakatan pada masa lalu tetapi kita gagal. Apa yang membezakan sekarang ialah kami bersatu dalam mengetepikan musuh bersama iaitu Barisan Nasional. Buat masa sekarang, yang paling utama ialah mengambil alih Putrajaya daripada BN,” katanya.
Apa akan berlaku selepas PR mengambil alih kerajaan persekutuan nanti?
Karpal mengakui bahawa beliau belum dapat melihat bagaimana PAS atau DAP boleh berkompromi dalam isu ini.
“Akan tiba masa nanti apabila kita perlu menghadapi hakikat ini. Bagaimana kita akan berkompromi? Jika DAP berkompromi, ia bermakna ia menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan jika PAS berkompromi, bermakna ia menerima negara sekular dan ini akan bertentangan dengan prinsip mereka sendiri.”
“Apa yang menyatukan Pakatan ialah PKR. Tanpa PKR ia akan kelihatan seperti yang sama sebelum ini,” kata Karpal.
Pemimpin-pemimpin DAP masih meletakkan harapan bahawa PAS akan mengubah pendiriannya dalam isu negara Islam. “Pemimpin-pemimpin PAS yang liberal, progresif merupakan kunci dalam mencapai persefahaman ke arah kompromi yang baik,” katanya lagi.
Kenyataan ini benar-benar telah mencabar umat islam di negara yang tercinta ini. Keberanian mereka dalam menyatakan hak dan pandangan mereka semakin hari semakin lantang dan diulang secara jelas dan terang. Saya amat yakin ini bukan hanya kenyataan individu tetapi adalah pendirian parti dan juga mereka yang sentiasa melaungkan kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan berpolitik, kebebasan wanita dan bermacam kebebasan lagi. Semua ini mereka selindung dalam istilah “Human Rights”. Tidak dinafikan sebahagian dari seruan mereka itu ada kebenarannya terutama yang melibatkan undang-undang ISA dan yang seumpamanya tetapi yang ramai umat islam tidak sedar ialah mereka juga menuntut hak sama rata dalam beragama. Ertinya jika orang Islam boleh berdakwah kepada orang kafir maka mereka juga boleh berdakwah kepada orang Islam.
Saya tidak nampak ini isu politik atau isu untuk mendapat dokongan majoriti rakyat tetapi ini adalah isu kemuliaan agama Islam yang jelas diperkecilkan oleh mereka. Apapun alasan yang diberikan ia jelas merupakan satu tamparan hebat kepada pejuang Islam. Mereka bukan saja mencabar malah men”dictate”kan kepada kita. Ini satu suasana yang sangat membimbangkan apabila pihak musuh Islam berani meletakkan syarat dalam negara yang majoritinya adalah umat Islam.
Di mana izzahnya pejuang Islam? Adakah mereka ini boleh kita bawa berbincang? Bolehkah mereka dipercayai?
Saya sangat hairan, dalam keadaan mereka begitu tegas dengan pendirian terhadap Islam, masih ada lagi umat Islam yang “thiqah” dengan mereka. Tidak kurang juga ada yang kagum dengan “keikhlasan” mereka ini sehingga sanggup berkompromi dalam banyak perkara.

Aminuddin Yahaya,
Setiausaha Agung,Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Suara Dari Gunung

Tuesday, July 13, 2010

Haiya 'alas Solah


Penyatuan Suatu Harapan

Golongan agama komited satukan UMNO-Pas

KUALA LUMPUR 12 Julai - Golongan agama hari ini melahirkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus berusaha menyatukan UMNO dan Pas demi kepentingan Islam dan umatnya walaupun terpaksa berdepan cemuhan daripada penyokong kedua-dua parti.

Penyatuan dua parti orang Melayu itu jika benar-benar berlaku dianggap kemenangan paling besar bagi umat Islam negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebagai golongan agama, segala cabaran harus dihadapi dengan tenang kerana tanggungjawab menyatukan umat Islam termasuk membabitkan parti-parti politik orang Melayu merupakan tuntutan agama.

"Tidak boleh tidak, kita terpaksa mengakui masa depan Islam di negara ini terletak di tangan orang Melayu. Atas sebab itu saya dalam usia lebih 70 tahun ini tidak pernah berhenti berusaha selain berdoa untuk melihat orang Melayu benar-benar bersatu.

"Perpecahan antara kedua-dua parti ini sebenarnya cukup memberi kesan kepada kedudukan Islam sekali gus kedudukan orang Melayu di negara kita. Malaysia adalah negara kita dan sekiranya berlaku sesuatu yang buruk ke mana harus kita pergi?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan UMNO bersatu dan bekerjasama.

Lokman berkata, jika UMNO dan Pas bekerjasama banyak perkara boleh dilaksanakan termasuk hukum hudud berbanding tindakan bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza.

Harussani menambah, dalam keadaan umat Islam masih berpecah, pemimpin UMNO dan Pas sepatutnya mengetepikan fahaman politik masing-masing dengan menjadikan Islam sebagai asas penyatuan.

"Ini bukan soal perkauman tetapi ini menyentuh mengenai masa depan Islam. Apabila kita menyentuh tentang Islam ia bersangkut paut dengan orang Melayu kerana Islam di Malaysia didukung oleh orang Melayu.

"Sebab itu saya mahu UMNO dan Pas kembali bersatu. Mereka boleh duduk dan berbincang atas konsep syura demi Islam dan demi orang Melayu. Bukankah syura merupakan amalan Rasulullah?" katanya lagi.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi berkata, penyatuan UMNO dan Pas akan membolehkan Islam dan kedudukan umat Islam bertambah kuat.

"Saya tidak akan berhenti melakukan kerja ini. Kerja ini tiada noktahnya kerana ia membabitkan kedudukan Islam serta umat Islam pada masa akan datang.

"Saya tidak rela melihat Islam dipermain-mainkan mana-mana pihak. Saya juga tidak mahu melihat kedudukan umat Islam terus menerus berada pada persimpangan jalan yang amat kritikal ekoran wujudnya perpecahan," katanya.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya semua pemimpin UMNO dan Pas menginsafi nasib menimpa Islam dan umat Islam ekoran ketiadaan perpaduan yang jitu di kalangan umatnya.

Dalam pada itu beliau berkata, dalam konteks politik semasa, Pas harus bekerjasama dengan UMNO dan bukannya parti lain seperti DAP sekiranya parti itu mahu meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi.

"Butalah mata mana-mana pemimpin (Pas) sekiranya ada antara mereka mahu bekerjasama dengan DAP kerana terlalu mementingkan politik," katanya lagi.

Mengulas isu sama, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussein berkata, penyatuan UMNO dan Pas bukan sahaja menjadi hasrat kepada golongan agama malah bagi semua umat Islam.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan percaya jauh di sudut hati umat Islam ingin melihat kedua-dua parti itu bersatu dan bekerjasama khususnya berkaitan dengan Islam dan kepentingan Melayu.

"Saya sendiri sentiasa berdoa agar apa yang dihasratkan ini dimakbulkan oleh Allah," katanya lagi.

http://www.utusan. com.my/utusan/ info.asp? y=2010&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Monday, July 5, 2010

Program Motivasi SMK Seksyen 27 Shah Alam



Shah Alam (23 Jun 2010) :
Alhamdulillah, dengan izin Allah, Sebuah program motivasi pelajar telah berjaya diadakan bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27 Shah Alam yang dikendalikan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam/Klang. Antara objektif program ini ialah

1) Membantu pelajar membuat persediaan dari segala aspek agar dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan bersedia dari aspek mental dan fizikal.
2) Membantu pelajar menguruskan rutin harian agar tersusun dan pelajar dapat melakukannya dengan sistematik.
3)Membantu pelajar menangani tekanan yang akan dihadapi semasa menjelangnya peperiksaan.

Program bermula seawal jam 8.30pagi dengan pengisian ceramah oleh saudara Mohd Azmir b. Mohd Razli dari Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA). Program Motivasi ini khusus buat pelajar tingkatan 3 seramai 126 orang yang bakal menduduki peperiksaan PMR tahun ini. Selepas rehat, pelajar sekali lagi diberikan tip-tip tambahan oleh Ust. Mohammad Rizal Sabran (setiausaha KRIMSAK) yang menuntut agar pelajar lebih bersemangat dan tidak mudah berputus asa untuk terus belajar dan mencapai kejayaan yang diidamkan. Slot latihan dalam kumpulan (LDK) dipimpin oleh Saudara Mohd Azmir dan dibantu oleh beberapa orang ikhwah alumni sekolah tersebut.


Majlis penutup diserikan dengan kehadiran dan ucapan penutup oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mewakili guru besar sekolah tersebut. Pelajar kemudiannya dipimpin untuk bersama menunaikan solat zohor berjemaah di surau sekolah. Semoga program ini dapat membuka pintu kerjasama antara KRIM dan pihak sekolah untuk mengadakan program-program di masa hadapan.

Malaysian aid convoy arrives in Gaza Strip




Bantuan kemanusiaan daripada Aman Palestin yang bernilai kira-kira USD100,000 dilaporkan telah selamat tiba di Gaza melalui sempadan Rafah pada pagi Ahad yang lepas, menurut perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh Ikhwanweb.

Walau bagaimanapun, delegasi konvoi kemanusiaan Aman Palestin yang diketuai oleh Pengerusi Eksekutifnya yang juga Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman belum memperolehi kebenaran untuk menyeberangi sempadan Gaza-Mesir berikutan masalah komunikasi.

Ketibaan bantuan kemanusiaan yang merangkumi keperluan-keperluan asas dan ubat-ubatan tersebut diharap sedikit sebanyak dapat mengurangkan keperitan yang dialami oleh penduduk Palestin khususnya di Gaza.

Berikut merupakan laporan penuh yang dikeluarkan oleh Ikhwanweb:

Malaysian aid convoy arrives in Gaza Strip

Relief aid and medicines from the Aman Palestine Institute in Malaysia with an estimated worth of $100,000US arrived in Gaza on Sunday morning via the Egyptian Rafah crossing.

The relief aid was accompanied by a delegation including 12 Malaysian notable personalities, consisting of representatives of Malaysian NGOs and television journalists, who were not granted permission to pass the crossing as a result of failure of coordination, according to the Egyptian crossing administration.

Head of the Aman Palestine Institute in Malaysia, Abdullah Zeek, who is still waiting on clearance from the Egyptian government to enter the Gaza Strip, stated that the aid is reassurance to the Palestinian people that they are not isolated from the Islamic world, adding that the Malaysian people have a strong interest in the Palestinian cause and provide ongoing support for the people under siege in the Gaza Strip.

For his part, Omar Siam, Executive Director of the Bureau of Aman Palestine in Gaza, confirmed that the aid arrived in Gaza, noting that it will be distributed to the needy and to medical institutions in the Strip.

Wednesday, June 16, 2010

Wahai Bangsaku

1. Melayu menentang Malayan Union kerana rancangan British ini akan memberi hak kepada sesiapa sahaja menjadi rakyatnya.

2. Melayu pada masa itu takut jumlah rakyat bukan Melayu yang rata-rata lebih kaya dan lebih terpelajar akan menguasai bukan sahaja ekonomi tetapi juga politik Malayan Union. Dengan ini akan terlucutlah kuasa Melayu ke atas negeri-negeri Melayu.

3. Sebab itu apabila mereka tewaskan Malayan Union, persekutuan yang menggantinya secara rasmi dinamakan Pesekutuan Tanah Melayu. Dalam Persekutuan ini 80 peratus lebih rakyatnya terdiri daripada orang Melayu. Kelebihan yang tinggi ini meyakinkan mereka yang nasib mereka akan ditentukan oleh mereka.


4. Dalam Pilihanraya 1955 mereka bersedia untuk memberi kawasan-kawasan yang majoriti pengundinya Melayu kepada calon kaum-kaum lain daripada parti-parti rakan dalam Perikatan. Dengan undi yang ada pada mereka, mereka tentukan calon-calon bukan Melayu ini mendapat kemenangan. Tujuan korban ini ialah untuk meyakinkan penjajah British yang orang Melayu tidak akan menindas kaum lain apabila berkuasa.

5. Dengan ini British pun memberi kemerdekaan pada tahun 1957, iaitu hanya dua tahun selepas korban yang dibuat oleh orang Melayu.

6. Atas tuntutan Sir Tan Cheng Lok supaya ditambah rakyat bukan Melayu, Kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman bersetuju untuk mengurangkan peratusan rakyat Melayu daripada 80 peratus kepada 60 peratus dengan memberi kerakyatan tanpa syarat kepada penduduk bukan Melayu. Satu kontrak sosial dibuat supaya pengurangan ini diimbangkan dengan agihan kekayaan yang lebih saksama kepada orang Melayu. Bagaimana ini hendak dicapai tidak pula dijelaskan.

7. Pemimpin Melayu berpendapat dengan 60 peratus daripada warga negara terdiri daripada Melayu, mereka masih menjadi majoriti dan masa depan mereka terjamin. Angka ini tidak banyak berubah apabila terbentuknya Malaysia.

8. Dalam sistem demokrasi memanglah majoriti akan berkuasa. Tetapi yang tidak diambilkira oleh kepimpinan Melayu ialah Melayu akan berpecah dan bermusuh sesama sendiri. Apabila ini berlaku kelebihan jumlah mereka tidak lagi akan menjadi mereka kaum majoriti dalam negara.

9. Perpecahan bermula apabila ulama-ulama UMNO memisahkan diri mereka untuk menubuh Parti PMIP (Pan-Malayan Islamic Party). Pada mulanya PMIP tidak berjaya menghakiskan sokongan kepada pertubuhan utama orang melayu iaitu UMNO.

10. Kemudian kerana rebutan kepimpinan dalam UMNO, parti serpihan Semangat 46 ditubuh.

11. Walaupun Semangat 46 dibubar dan diserap semula kedalam UMNO tetapi ramai yang tidak dapat terima percantuman semula ini. Dengan itu sedikit sebanyak UMNO Kehilangan penyokong.

12. Kemudian Timbalan Presiden UMNO terpaksa disingkir daripada UMNO dan ianya berjaya dengan cara-cara tertentu mengheret keluar ahli UMNO untuk menyertai satu lagi parti Melayu. Perbuatan ini berjaya membahagikan orang Melayu kepada tiga buah parti, iaitu UMNO, PAS dan PKR.

13. Dengan adanya tiga buah parti, orang Melayu yang dahulu menjadi majoriti warga negara dengan jumlah 60 peratus daripada seluruh rakyat Malaysia sudah berpecah dan terbahagi kepada tiga kumpulan. Tidak ada satu pun daripada kumpulan ini yang disokong oleh majoriti rakyat. Ketiga-tiga mendapat sokongan tidak lebih daripada 30 peratus rakyat negara. Dengan perkataan lain orang Melayu sudah jadi puak minoriti dalam negara.

14. Sebagai puak minoriti mereka tidak mungkin lagi menjadi kuasa utama dalam parti-parti campuran yang disertai oleh mereka.

15. Mungkin mereka diletak sebagai pemimpin tertinggi dalam Kerajaan-Kerajaan Pusat dan Negeri. Tetapi mereka terpaksa mengikut telunjuk rakan-rakan mereka.

16. Kita lihat di Perak umpamanya apabila Kerajaan yang diketuai oleh Melayu dijatuhkan, kaum tertentu menganggap bahawa sebuah Kerajaan milik kaum itu yang dijatuhkan.

17. Mungkin di peringkat pusat juga akan ada ketua kepimpinan yang terdiri daripada Melayu tetapi duduk dibawah telunjuk orang lain.

18. Dengan ini besar kemungkinan Melayu secara sebenar sudah menjadi puak minoriti yang tidak berkuasa di negara sendiri. Kalau mereka berpendapat mereka akan diberi layanan yang baik apabila sudah tidak sebenar berkuasa, lihatlah sahaja nasib kaum mereka yang sudah menjadi kaum minoriti di negara jiran.

19. Masa sudah tiba untuk orang Melayu memikir dengan mendalam akan nasib masa depan mereka. Bersatu teguh, bercerai roboh. Pilihlah yang mana satu.

20. Saya akan dituduh "chanuvinist" dan "racist" kerana menyuarakan pendapat saya ini. Saya sanggup dilabel dengan apa sahaja label. Niat saya ialah untuk memperingati kita semua sebelum nasi jadi bubur. Berpecah dan berebutlah. Akhirnya yang dikendong akan berciciran dan yang dikejar tidak tercapai.

Wahai Melayu,

Kemana kamu?


(hasil tulisan Che Det)

Monday, June 14, 2010

KENYATAAN RASMI MAJLIS ULAMA ISMA (MUIS) BERKAITAN HASRAT KERAJAAN MENGELUARKAN LESEN JUDI SEMPENA BOLASEPAK PIALA DUNIA 2010



Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) memandang serius mengenai hasrat kerajaan mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena berlangsungnya perlawanan Bolasepak Piala Dunia 2010 bagi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram. Pada hemat MUIS, hasrat tersebut tidak wajar diteruskan kerana ianya bukan sahaja bertentangan dengan ajaran mana-mana agama, bahkan ianya juga bercanggah dengan lunas dan tatacara berfikir yang betul serta tidak menepati etika dan budaya masyarakat ketimuran. Malah MUIS berpendapat dengan pemberian lesen judi berkenaan akan mengundang pelbagai impak negatif kepada negara, masyarakat dan individu. Dengan itu, MUIS menyarankan agar pihak kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut bersandarkan kepada beberapa pertimbangan berikut;

1. Menjatuhkan nama baik Malaysia sebagai sebuah negara yang memartabatkan Islam sebagai agama rasmi di persada dunia. Sedangkan amalan judi merupakan salah satu tegahan Allah SWT yang sangat jelas. FirmanNya;

يَاأَيُّهَاالَّذِينَ آمَنُواإِنَّمَاالْخَمْرُوَالْمَيْسِرُوَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُون

Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib merupakan amalan yang kotor (keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Al-Maidah : 90)

Dengan pemberian lesen tersebut secara tidak langsung telah melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara yang membenarkan amalan judi. Hal ini amat bercanggah dengan roh dan inspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam dari sudut perundangan, budaya dan sosio masyarakat.

2. Menghormati sensitiviti umat Islam yang berpendapat judi sebagai aktiviti haram dari sudut syara` dan majoriti rakyat Malaysia yang memandang judi sebagai aktiviti jijik dan yang tidak bermoral. Manusia yang berfikir secara waras dan bijaksana akan menolak amalan judi biar sekali pun mereka bukan terdiri daripada orang yang kuat berpegang kepada agama atau sebaliknya. Malah mereka yang tidak beragama sekalipun tetap berpendapat judi akan merosakkan individu dan masyarakat. Berjudi merupakan pembaziran tanpa sebab, membuang masa dan melalaikan, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, melatih sifat malas berusaha dan membiasakan tabiat suka berhutang, menimbulkan kepincangan ekonomi individu secara tiba-tiba dan akhirnya memporak-perandakan keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Sepatutnya pihak kerajaan perlulah lebih prihatin dalam memberi pertimbangan mengenai perkara-perkara sebegini demi menjaga keharmonian dan kemaslahatan rakyat jelata.

3. Tidak dapat dinafikan hasrat kerajaan mengawal aktiviti judi tidak berlesen adalah satu langkah yang amat positif namun penyelesaiaannya bukanlah dengan cara memberi lesen. Justifikasi kerajaan bahawa pemberian judi berlesen akan memudahkan pengawalan adalah tidak tepat sama sekali. Pemberian judi berlesen tidak akan sama sekali membawa kepada pengawalan aktiviti judi tidak berlesen. Tidak ada sebarang jaminan bahawa para penjudi akan hanya berjudi melalui judi berlesen. Begitu juga justifikasi pihak kerajaan bahawa pemberian lesen judi akan meningkatkan kutipan hasil yang akan dapat dimanfaat untuk faedah rakyat dan kepentingan Negara adalah terlalu lemah. Kenapa kita hanya melihat kepada faedah jangka pendek dan melupakan segala bentuk masalah yang lebih besar dan segala macam kepincangan yang akan dihasilkan daripada pemberian judi berlesen ini. Firman Allah:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِوَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَاإِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَاأَكْبَرُمِن نَّفْعِهِمَا ۗ

Maksudnya: “ mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” (al-Baqarah : 219)

Secara umumnya, untuk menimbang tara kemaslahatan dan kemudhratan, Imam al-Syatibi mengemukakan beberapa asas utama yang boleh dijadikan rujukan dan panduan seperti;

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya: “Menolak kerosakan hendaklah didahulukan daripada mengambil
kemanfaatan”

تصرف الإمام منوط بالمصلحة

Maksudnya: “Tindak tanduk pemerintah hendaklah bersandarkan maslahat”.



Persoalannya, apakah dengan memberikan lesen judi itu akan memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum untuk rakyat (maslahat)? Pada hal, pemerintah juga hendaklah bertanggungjawab mengawal, membasmi, mencegah dan menghindari kemungkaran, kefasadan yang berlaku. MUIS berpendapat, cadangan tersebut tidak mendatangkan sebarang kebaikan atau kemaslahatan kepada kepentingan umum rakyat kecuali hanyalah kepada individu-individu tertentu yang bergelar taukeh judi semata-mata. Malah cadangan tersebut turut membelakangkan kepentingan umum yang kerap disarankan oleh pihak kerajaan supaya rakyat tekun bekerja, giat bertani dan berniaga, membina kecerdasan intelektual dan matang, mempunyai daya saing yang tinggi di samping keluhuran peribadi dan pegangan yang utuh kepada nilai dan agama.

Justeru itu, MUIS membantah sekeras-kerasnya hasrat pihak kerajaan untuk mengeluarkan lesen judi tersebut sempena perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010 demi menjaga kemaslahatan rakyat jelata dan memartabatkan negara, bangsa dan agama.

نسأل الله أن يوفق المسلمين لاختيار الطريق القويم ، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang benar,

Majlis Ulama ISMA

Friday, June 11, 2010

Jalan-jalan Remaja 2



Rabu (16 Jun 2010), Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam Klang telah mengadakan sebuah program bagi remaja berumur lingkungan umur 11 tahun – 14 tahun. Program ini terbuka hanya kepada remaja lelaki. Seramai 16 orang peserta dan dipimpin oleh 8 orang fasi serta 3 orang ahli jawatankuasa. Syukur ke hadrat Ilahi kerana membenarkan program ini berjalan dengan baik.



Aktiviti utama program ini adalah aktiviti Islamic Explorace. Lokasi bagi aktiviti exploce tersebut ialah seluruh kawasan Taman Tasik Shah Alam. Objektif utama program ini ialah bagi memberi keyakinan dan mengenal potensi diri masing-masing. Selepas pendaftaran, peserta meneruskan dengan aktiviti ‘ice-breaking’ yang disertakan dengan aktiviti-aktiviti menarik lain. Kemudiannya aktiviti explorace menyusul selepas itu. Selesai explorace, Ustaz Mohd Rizal bin Sabran memberi sedikit pengisian serta tayangan kepada semua peserta.





Sebelum berakhirnya program, sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh En. Sanusi, AJK Surau At-Taqwa, Seksyen 7. Program pada hari tersebut telah berjalan dengan baik. Diharap para remaja akan terus bersama kami untuk menjalani pelbagai aktiviti menarik akan datang

Sunday, May 30, 2010

dosa-dosa & facebook

Zaharuddin.net on Facebook

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang
kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara
penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada
haram, malah berganda-ganda haramnya.


Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa
terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam
perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook .


Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau
tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa,
benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak
suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status
tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka.
Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli
rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya
melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.





Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang
rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan
perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang
ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan
suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk
mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan
di dalam diri.





Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat
yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak
boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka
secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di
pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat
diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada
seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan
adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan
berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara
tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama
ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.





Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri)
TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia
dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.


Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan
pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat 'membaca' dan mengetahui
secara tersirat bahawa si pemilik sedang 'perang dingin' dengan
pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi
apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya.
Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya
melalui facebook.


Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda,
agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada
anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (
delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa
pertimbangan aqal yang wajar.


2) Terlebih gambar


Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin
sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan
pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang
memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat , sangat dekat (
sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau
seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang
pelbagai.





Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan
kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan
gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan
prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya,
sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau
senda, dan membuat 'lamaran' nafsu .





Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan
memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja
lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah
bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa
bersalah.





Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan
wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket
kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah
jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH
di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah
'janganlah kamu menghampiri zina'.





Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar
isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang
sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .





3) Penyamaran


Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya
mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki
berang kerana tidak diluluskan menjadi 'friend' seseorang wanita .
Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada
gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses,
terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar
mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di
interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini
berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit
dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.





Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya
telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada
yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya
membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua
gambar tersebut masih terhad dan terjaga.





4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.


Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu
'bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat
turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya.
Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai
'rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan.
Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada
mereka yang lain.





Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar
mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan
sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan
suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali
anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.





Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti,
terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda
mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita
lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan
wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik
gambar mendapat saham dosa.





5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.



Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu
fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri
sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi
sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis
oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir.
Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.





Ini adalah kerana, terdapat 'trend' menyebarkan gambar-gambar lama,
dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar.
Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh
dilihat oleh semua friend , dan rakan kepada friend tersebut juga
boleh menontonnya .





Ini boleh menjadi dosa, kerana :-




a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin
dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat .
Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah
haram.


b- Individu terbabit berada di dalam rumah , bersama
keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna
kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan 'candid' ,
tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga
terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar.
Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete
'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak
mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh
dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun
malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka
boleh 'untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh
untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah
dan berDOSA di dalam Islam.


c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan
itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan.
Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana
dia dalam keadaan baik dan bagus . Namun rakannya berada dalam
situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan
'seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata
masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar
nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya
secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau
tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar
anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi
terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.






6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan





Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup
solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman
universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan
dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up
cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal
dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam
lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari
jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.





Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian
extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana
lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk
dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Lahirlah kata-kata, 'zaman aku ekstrem', 'zaman solehah', 'waktu
innocent ', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa
duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.





Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila
berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi
solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah
mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika
tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah
sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang
sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.








KESIMPULAN



Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul,
boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi.
Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.


Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya
tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di
antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga.
Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.


Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada
Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah
al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di
kalangan mukmin.


Sekian