Friday, January 15, 2010

perkongsian dari seorang saudara




Just nak kongsi pengalaman sepanjang lebih 5 tahun tinggal dan belajar di Indonesia. Saya tidak berniat memburukkan Indonesia.. They have my respect, dan saya tahu orang2 Indonesia tidak seburuk yang disangkakan di sini.. (orang Indonesia baik dan ramah, pintar dan rajin.. that's a fact!)

Pengalaman ini saya kongsi supaya orang ramai boleh tahu dan membayangkan implikasinya jika penggunaan nama Allah oleh non-muslim dibiarkan. Di satu sisi memang agak lucu, tapi di sisi lain terdapat keseriusan di dalamnya

Aku ingat satu hari aku bukak TV perdana dia pastu tengok satu program.. Aku ingat ceramah agama lah.. dia punya penceramah punya semangat berkobar2.. "Kita semua sudah berdosa! Allah Maha Kuasa! Allah Maha Penyayang! Kembalilah kita semua ke jalan Allah! (aku dalam hati, Alhamdulillah.. bagus!) pastu tak pasal2 dia sambung "Kembalilah ke Yesus Kristus dan Bunda Maryam!" aku langsung tergolek... astaghfirullah! ceramah Kristian rupanya..

Satu lagi kenangan aku kat Indonesia, kalo baca surat khabar sana nanti ada slot obituaries: "Telah Kembali ke Rahmat Allah, Sdr. XXX pada XXX Semoga ruh beliau dicucuri rahmat Allah" Bila tengok balik nama yang mati Eduardus, Kristus, Paulus, etc. (nama org Kristian) pastu ada salib diikuti tulisan kecik "ash to ash, dust to dust, fade to black"... tergolek lagi aku.. wakakaka..

Satu lagi cerita aku kat Indonesia, satu hari aku 'bermusafir' lah ke daerah Jawa Barat naik motor, pastu nak berhentilah solat.. aku toleh ke kiri kanan jalan cari masjid.. Pastu aku nampak ada signboard kalimah Allah (dlm arab!) pastu ada banner "Ayuh kerjakan kewajipan kita kepada Allah dan agamanya!" aku pun pergilah dekat.. tup2 aik, awat lain macam tempat ni, siap ada patung jesus kena salib??!! Tergolek lagi aku.. lah.. gereja Kristian rupenye..

Satu lagi kat sana nak beli buku-buku agama kena hati-hati.. Aku dulu pernah 'usha' buku kat kedai buku.. Ada satu buku aku tak ingat persis tapi tajuk buku dia lebih kurang camni: "Memantapkan Iman Anda Kepada Allah" bila bukak2 browsing per helai aku start confuse, amacam lain macam aje ayat2 dan hadis dia.. Aku tengok balik lah.. ayat2 kutipan dari Bible.. tergolek aku lagi.. lah, buku dakwah Kristian rupanya..

risau gak klu jadi camni kat M’sia


di tengah tengah bandar bandung juga terdapat sebuah geraja yg dinamakan "rumah allah"...mcm mcm lagi isu akan timbul lepas ni selagi malaysia mengamalkan demokrasi-sekular

Saturday, January 9, 2010

ISMA Kutuk Pembinaan Tembok Pemisah di Sempadan Mesir-Palestin

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengikuti perkembangan mutakhir di Palestin dengan penuh keprihatinan, kebimbangan dan harapan, dengan memanjatkan doa kepada Allah SWT semoga umat Islam di Palestin sentiasa dibekalkan dengan kekuatan dan ketabahan. Pembinaan tembok pemisah bawah tanah di sempadan Gaza-Mesir oleh kerajaan Mesir merupakan episod terbaru dalam siri-siri penindasan terhadap umat yang mempertaruhkan nyawa mereka bagi mempertahankan tanah suci umat Islam yang ketiga itu.

Rakyat Palestin adalah umat yang dikepung di setiap sudut sempadan negara mereka dan hidup dalam serba kekurangan kerana sekatan yang dikenakan sejak mereka memilih HAMAS sebagai pemerintah yang sah dalam pilihanraya yang lalu. Sumber makanan, air, ubat-ubatan dan senjata adalah melalui terowong-terowong rahsia yang merupakan saluran hayat mereka. Berbekalkan sumber hidup yang terhad ini, rakyat Palestin masih mampu menggagalkan hasrat Yahudi dan musuh-musuh Islam yang lain daripada terus menjajah bumi Al-Aqsa.

Kini musuh-musuh Islam berusaha untuk meningkatkan penindasan terhadap umat Palestin dengan menyekat dan memusnahkan terowong-terowong rahsia bawah tanah yang menghubungkan Gaza dengan dunia luar. Kerajaan Mesir tunduk dengan arahan Zionis dan musuh-musuh Islam supaya membina tembok bawah tanah sedalam 18-30 meter di sempadan Gaza-Mesir bagi mengukuhkan lagi sekatan ke atas Palestin.

Tidak cukup Tebing Barat di timur Palestin diasingkan daripada dunia luar melalui pembinaan Tembok Apartheid oleh kerajaan Israel, kini Semenanjung Gaza di barat Palestin pula akan diasingkan daripada dunia luar melalui pembinaan tembok pemisah bawah tanah oleh kerajaan Mesir sendiri. Tindakan-tindakan ini tidak lain bertujuan untuk melemahkan tekad umat Islam di Palestin dengan menghalang sebarang bantuan dan bekalan daripada sampai ke sana, supaya mereka akhirnya tunduk kepada kehendak Zionis dan musuh-musuh Islam.

Sehubungan dengan itu, ISMA menegaskan bahawa:

1) Tindakan kerajaan Mesir membina tembok pemisah di sempadan Gaza-Mesir adalah haram dari segi hukum kerana membantu pengepungan dan sekatan ke atas saudara-saudara muslim yang akhirnya akan membawa kepada kesengsaraan dan kematian. Sebaliknya Mesir sebagai sebuah negara bersaudara Arab dan Islam sepatutnya membuka laluan Rafah dan menunaikan kewajiban membantu umat Islam yang tertindas.

2) Pembinaan tembok pemisah tersebut adalah suatu yang zalim, tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan pendirian dunia yang mengutuk sekatan ke atas Gaza. Penindasan ini hanya akan memburukkan lagi situasi di Gaza di mana penduduknya terpaksa hidup dalam kesengsaraan akibat kekurangan sumber asas kehidupan.

3) Sekatan ke atas bekalan sumber hidup melalui terowong-terowong bawah tanah ini seolah-olah melakukan pembunuhan secara perlahan-lahan dan selari dengan polisi perang dan ceroboh yang dilaksanakan oleh regim Zionis. Tindakan ini jelas bersekongkol dengan musuh-musuh Islam yang ditegah oleh Allah SWT.

4) Menyeru umat Islam di seluruh dunia, terutamanya rakyat Mesir agar bangkit mengadakan bantahan besar-besaran terhadap tindakan kerajaan mereka yang memalukan ini. Pemimpin-pemimpin Islam yang terlibat dalam konspirasi ini juga digesa supaya menarik balik keputusan membina tembok pemisah yang zalim dan tidak berperikemanusiaan ini.

5) Menyeru pemimpin-pemimpin umat Islam dari kalangan negara-negara OIC supaya mengadakan persidangan segera bagi membantah usaha dan tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini. Malahan OIC sendiri seharusnya bertindak sebagai jaguh bagi mempertahankan kedaulatan negara Palestin yang diberkati ini.

Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada umat Palestin dalam menghadapi sekatan dan penindasan yang berterusan ini. Semoga Allah SWT segera memenangkan umat Islam ke atas musuh-musuhNya dan sekutu-sekutu mereka.

Friday, January 8, 2010

Hijrah dan Tahun Baru


Alhamdulillah.. pada 1 Muharram yang lalu maka genaplah umurku 31 tahun mengikut kalender hijrah. Dan jika dikira dalam kalender masihi umurku masih 30 tahun. Usia semakin meningkat, tenaga ini pula semakin lemah terasa. Jika dulu tiada masalah untuk beriadhah 1 hingga 2 jam, tetapi kini 10 minit sahaja sudah pancit. Namun semangat masih membara untuk terus berjuang mengembangkan agama Allah..
Tahun baru ini terasa macam-macam yang baru....
1. Dikurniakan anak perempuan (Amna Az-Zahra') pada 31 Dis 2009
2. Berpindah kerumah sewa baru : bersebelahan Surau Al-Munawwarah, Seksyen 13 Shah Alam
3. Penubuhan Akademi Al-Munawwarah : Pusat Pengajian Al-Quran dan Pembangunan Insan.

Daku mengharapkan bersempena hijrah tahun ini berjaya mengubah diri agar dapat melonjakkan lagi prestasi dan mutu penyampaian dakwah. Doa dan sokongan dari ikhwah dan akhawat amat diharapkan agar diri ini terus thabat (tetap) di "jalan yang indah ini"

Tuesday, January 5, 2010

Kenyataan rasmi ISMA mengenai isu penggunaan kalimah Allah

Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merasa kesal dan memandang berat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah “ALLAH” di dalam terbitan mereka. Keputusan ini dilihat akan memberikan implikasi yang besar kepada perkembangan pengaruh agama Kristian di kalangan umat Islam terutama generasi muda negara ini.

Keputusan mahkamah itu juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. ISMA melihat keputusan mahkamah ini akan memberi laluan yang lebih luas ke arah kedudukan samarata agama, sedangkan perlembagaan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi negara (agama persekutuan) .

Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang ke-82 pada bulan Mei 2008 yang lepas telah membuat keputusan bahawa kalimah “ALLAH” ini khusus bagi agama dan umat Islam. Allah pada sisi agama Islam adalah tunggal dan esa sifat-Nya. Keputusan majlis muzakarah tersebut membayangkan kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa isu ini sangat sensitif kepada rakyat yang beragama Islam. Namun ada pihak yang memandang ringan dan mahu mencabar keputusan majlis tersebut dengan bertindak membawanya ke mahkamah.

ISMA menyokong pihak JAKIM dan KDN yang akan membuat rayuan dan berpendapat bahawa langkah itu menepati kehendak “Siasah Syariyyah”. Walaupun larangan menggunakan nama Allah itu tidak terdapat dalam kitab fikah terdahulu, pihak berwajib boleh berijtihad atas dasar “Masolih Mursalah” dan menepati tuntutan tujuan syarak (Maqasid Syarak) iaitu menjaga agama (Hifzu ad-Din).

Sehubungan dengan itu, ISMA menyeru agar:

1) Parti-parti politik yang mewakili suara umat Islam supaya mengetepikan kepentingan politik masing-masing dengan memberikan sokongan padu di belakang Jabatan Perdana Menteri yang akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut. Sesungguhnya perbezaan fahaman politik di kalangan umat Islam di negara ini seharusnya ada batas sempadan, dan isu ini menuntut bukti kesetiaan pada agama dan bangsa daripada semua pihak tanpa terkecuali. Masa depan agama Islam tidak seharusnya dikompromikan demi menjaga hati dan sokongan pihak-pihak tertentu.

2) Para ulamak dan agamawan agar dapat menghentikan perbalahan pendapat dalam soal cabang dan seterusnya tampil memperhebatkan kempen penerangan kepada masyarakat akan hakikat perbezaan antara Allah yang Maha Esa dan konsep “Trinity” di sisi agama Kristian. Penggunaan kalimah Allah dalam media agama Kristian sudah tentu akan melahirkan ancaman kekeliruan di kalangan umat Islam yang cetek ilmu agamanya.

3) Seluruh anak watan Melayu agar bangkit segera dari lena yang panjang dan menyedari betapa status quo dan keistimewaan agama Islam di negara ini sudah mula dicabar sedikit demi sedikit. Fenomena ini hanya dapat disekat jika mereka membuang sifat toleransi melampau dan terlalu berlembut dalam hal-hal yang mengancam identiti mereka sendiri, serta membina kembali jati diri selaku umat yang pernah menerajui tamadun Islam serantau.

Friday, January 1, 2010

AKADEMI AL-MUNAWWARAH



5 orang pelajar generasi pertama Akademi Al-Munawwarah. Dari kiri : Mohd Erfan, Syed Luqman, Mohd Fidak, Mohd Syamil dan Syed Umar.

ALAMAT

Surau Al-Munawwarah, Jalan Polo Air 13/58B, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor D.E.

VISI

Menjadi sebuah pusat pembangunan modal insan Islamik yang efektif & inovatif.

MISI

Melahirkan generasi muda yang memahami al-Quran, berilmu, berketerampilan dan berkepimpinan dalam membina ummah dan negara di masa hadapan dengan aktiviti-aktiviti yang lengkap.

MOTO

“Generasi hebat pemangkin ummat”


Sebagai sebuah NGO Islam, ISMA merasa amat terpanggil untuk mengemukakan pandangan dan kerangka fikrah dari perspektif yang bebas dan berasaskan kepentingan survival Islam dan umat Melayu. Oleh itu satu konvensyen pemikiran As-Syahid Imam Hasan Al-Banna akan diadakan pada bulan Januari 2010. Semua orang dijemput hadir.

TARIKH : 30 JANUARI 2010
TEMPAT : Dewan Seri Sarjana, Universii Teknologi Nasional (UNITEN), Kampus Putrajaya.
ANJURAN : IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA
BAYARAN : Pelajar (RM20). Perseorangan (RM50)
OBJEKTIF

i. Memberikan kefahaman tentang manhaj perubahan Islam.
ii. Memberi kesedaran tentang kepentingan aspek Maqasid Syarak dalam menilai situasi politik semasa.
iii. Memberikan tasawur agenda perubahan yang jelas, praktikal dan berkesan.
iv. Mengukuhkan kesedaran dan keyakinan mengenai pilihan penyelesaian Islam terhadap kemelut umat.

PEMBENTANG KERTAS KERJA

Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni
Naib Presiden II
Ikatan Muslimin Malaysia

Ustaz Hj Mohd Hazizi bin Hj Ab. Rahman
Timbalan Setiausaha Agung
Ikatan Muslimin Malaysia

Ustaz Hj Mohd Rusdi bin Hj Alias
Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia
Ikatan Muslimin Malaysia


Maklumat lanjut layari www.ismashahalam.net
Dijemput semua untuk hadir dalam seminar yang ulung ini.

Kelahiran Mujahidah Baru


Alhamdulillah..dengan izin Allah seorang lagi cahayamata baruku (perempuan)selamat dilahirkan pada Khamis (31 Disember 09) jam 11.50am di Klinik Bersalin An-Nur Sek.6 Shah Alam, berat 2.81kg. Semoga kelahiran baru ini bakal menyambung perjuangan ibu dan ayahnya dan menjadi anak solehah.