Tuesday, July 20, 2010

motivasi remaja di SMK Sek.18, Shah Alam.










Alhmadulillah, pada hari Jumaat lepas bersamaan 16 Julai 2010, KRIM SAK berjaya melakar satu kejayaan baru apabila berjaya menembusi sebuah lagi sekolah di Shah Alam, iaitu SMK Seksyen 18, dengan slot ceramah motivasinya kepada lebih 300 orang pelajar. Walaupun slot ceramah motivasi ini hanya melibatkan pelajar-pelajar asrama dari tingkatan 1 hingga 5, namun peluang yang diberikan ini oleh pihak sekolah dipergunakan sebaiknya untuk membantu dan membimbing para remaja di sekolah ini. Slot ceramah motivasi telah diisi oleh Ustaz Mohammad Rizal Sabran yang juga merupakan Setiausaha KRIM SAK selama hampir 2 jam dan diakhiri program ini dengan alunan nasyid pelajar tingkatan 3 sekolah ini. Mudah-mudahan lebih banyak lagi peluang dan ruang untuk KRIM SAK berkembang dan memperluaskan misi kami di sekolah-sekolah lain. Nantikan laporan-laporan seterusnya mengenai program-program dan slot-slot kendalian KRIM SAK di sekolah-sekolah lain.

Monday, July 19, 2010

Dilema Melayu

Dilema Melayu: Perspektif Dr. Burhannuddin al-Helmy

Minggu ini, banyak dari masa dihabiskan mencari bahan di Arkib Negara. Berada di sini tidak sedar masa berlalu dengan cepat kerana keghairahan mencari maklumat yang diperlukan. Sememangnya Arkib Negara adalah 'lubuk maklumat' masa silam bagi pengkaji sejarah kerana ia membekalkan berbagai maklumat Sumber Pertama yang tidak didapati di mana-mana perpustakaan. Apa yang diperlukan adalah ketekunan dan kesabaran pengkaji mencari dan terus mencari maklumat tersebut, seterusnya menganalisis dan menstruktur kembali sumber tersebut berdasarkan tajuk dan skop kajian.

Apa yang hendak saya kongsikan kepada pembaca ialah ucapan yang dibuat oleh Dr. Buhannuddin al-Helmy yang pernah mengetuai PKMM@MNP seterusnya memimpin PAS dalam tahun 1956. Ucapan ini dibuat pada 8 April 1955, iaitu semasa membuka Kongres Pemuda Melayu yang diadakan pada awal April 1955. Kongres Pemuda Melayu ini dianjurkan oleh Golongan Kiri, walaupun demikian ia turut dihadiri oleh ahli-ahli UMNO yang mengingkari arahan Tunku Abdul Rahman supaya memboikot Kongres tersebut. Kongres ini kemudiannya telah mengeluarkan usul, antaranya membantah penggunaan prinsip jus soli dalam soal kerakyatan dan pembentukan barisan kebangsaan Melayu yang berdasarkan konsep satu negara, bahasa dan bangsa.

Dalam ucapan awalnya, Dr. Burhannuddin telah mengimbau kedudukan orang Melayu sejak tahun 1931 sehingga 1941, menurutnya tidak banyak bezanya, walaupun telah mengalami beberapa peristiwa sejarah termasuk penjajahan Jepun. Dr. Burhanunddin telah memperihalkan sikap orang Melayu ketika itu dengan kata-kata "memadai saya katakan bahawa pada masa-masa itu kita jual menjual, sakit menyakiti, balas membalas dendam di antara satu sama lain, di antara satu golongan dengan golongan lain yang bertinggi rendah dan hina menghina dalam masyarakat kaum kita". Keadaan ini terus menerus berlaku sehingga darurat diperkenalkan pada tahun 1948. Keadaan yang berlaku tersebut menurut Dr. Burhannuddin disebabkan tidak wujudnya keinsafan dan penyatuan di kalangan orang Melayu yang menyebabkan bukan sahaja beribu-ribu orang kita telah ditangkap dan ditahan tetapi telah lebih dahsyat lagi ialah perbuatan saling menganiaya, fitnah memfitnah, tekanan dan ugutan yang hanya menguntungkan penjajah British. Perbuatan tersebut pada umumnya dilakukan oleh orang Melayu sendiri yang tidak kuat agamanya, tidak mempunyai rasa kemanusiaan, tidak mempunyai rasa kebangsaan dan cinta kepada bangsa dan tanahairnya.

Keadaan tersebut adalah gambaran sikap bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, persoalannya apakah sikap bangsa Melayu selepas Perang Dunia Kedua telah banyak berubah? Dr. Burhannuddin dengan nada kecewa menjawab bahawa keadaan bangsa Melayu tidak banyak berubah. Namun rasa keinsafan, perasaan ingin mahu memelihara hak dan faedah bersama, menjaga kebajikan dan kemajuan tanah air sudah mula timbul di kalangan orang Melayu pada zahirnya. Tetapi pada batinnya belum dapat diduga, belum boleh diketahui berapa dalam, tebal dan betapa kuatnya perasaan tersebut.

Dr. Burhannuddin melahirkan rasa bimbang dan ragu akan kekukuhan persatuan dan keinsafan yang telah disebutkan itu. Orang Melayu menurutnya, masih terlalu suka bertengkar atas perkara-perkara kecil yang boleh menjatuhkan budi dan akhlak. Memanjang-manjangka n soal yang boleh selesai dengan sepatah dua kata saja dan sekali dua berunding atau bermesyuarat sahaja. Orang Melayu lebih suka berpolitik sesama sendiri lebih dari berpolitik menentang penjajah. Dr. Burhannuddin mengemukakan persoalan kenapa orang Melayu tidak suka membicarakan soal-soal yang lebih besar dan lebih mementingkan soal yang kecil-kecil (remeh temeh). Soal besar yang dimaksudkan oleh Dr. Burhannuddin ialah menentukan arah dan ada matlamat yang hendak dituju. Maka "soal kecil menurun lurah dan mendaki gunung cita-cita itu adalah akan jadi kerja biasa jua dalam perjuangan".

Bagi memutuskan soal besar yang mempunyai kepentingan kepada survival masa depan bangsa Melayu menurut Dr. Burhannuddin, ialah melalui persatuan atau perpaduan bangsa Melayu yang kukuh dan juga berpegang kepada kebenaran-berani kerana benar-sebab soal tersebut menjadi hak orang Melayu sebagai satu bangsa yang berhak menentukan nasib baik dan buruk bangsanya sendiri. Tetapi untuk mewujudkan persatuan dan kesefahaman yang kuat sangat payah jika tidak ada pengertian, kesedaran dan keinsafan yang sebenarnya.

Di akhir ucapannya itu, Dr. Burhannuddin memberi nasihatnya kepada generasi pemuda Melayu ketika itu yang perlu dihayati sehingga kini. Katanya:

"Jiwa pemuda selalu gembira dan meluap-luap lebih-lebih lagi mana-mana yang lama terpendam, geram terkongkong, tertekan dan sebagainya, datang hadir ke sini dengan niat yang ikhlas dan cita-cita yang suci sebagai seorang pemuda pemudi bangsa Melayu yang bebas yang betul-betul mendukung hasrat pusaka bangsa Melayu dan meletakkan dahulu soal-soal perseorangan, parti dan sentimennya. Berpendirian sebagai seorang pemuda Melayu yang bertanggungjawab terhadap bangsa, nusa dan agama. Menebus dan membela hak-hak keadilan pusaka Melayu...".

(Sumber: Majalah Belia, 1955, Arkib Negara Malaysia)

Sunday, July 18, 2010

Bolehkah mereka dipercayai lagi?



Ini bukan kali pertama dan bukan juga kali kedua. Tetapi sudah beberapa kali Pengerusi DAP, YB Karpal Singh secara tegas, terang dan lantang mengatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam dan DAP tidak akan sekali-kali berganjak dengan pendirian mereka untuk tidak membenarkan negara Islam terbentuk di Malaysia jika PR berjaya menawan Putrajaya.
Inilah sedutan dari kenyataan beliau yang dilaporkan dalam The Malaysian Insider:
“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.
“Ia sebuah negara sekular. Saya percaya Allahyarham Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama) pernah menyebut sebelum ini mengenai Malaysia,” kata ahli politik veteran ini kepada The Malaysian Insider.
Karpal menyalahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengubah realiti sebuah negara sekular menerusi kenyataan-kenyataan politiknya yang dibuat oleh beliau pada masa-masa lalu, yang telah “mengelirukan orang ramai” berkenaan identiti Malaysia.
“Perlembagaan menyediakan peruntukan mengenai perkara ini. Tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan Malaysia sebuah negara Islam.
“Agama rasmi Malaysia ialah Islam tetapi tidak bermakna ia sebuah negara Islam,” kata beliau lagi.
Karpal kelihatan terkejut apabila disebutkan bahawa PAS dalam ceramah-ceramahnya memaklumkan bahawa DAP sudah menerima konsep negara Islam secara perlahan-lahan dan menghormati pendirian PAS dalam hal itu.
“Pada 1988, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular,” katanya. “Pada 1990, ketika satu ceramah di Sungai Pinang, akhbar-akhbar memetik saya mengatakan (bina) ‘negara Islam dengan melangkah mayat saya’,” katanya.
Jelas sekali bahawa mereka ingin merampas tampuk pemerintahan negara bukan untuk memartabatkan agama seperti kata beliau.
“Kita pernah menjalin pakatan pada masa lalu tetapi kita gagal. Apa yang membezakan sekarang ialah kami bersatu dalam mengetepikan musuh bersama iaitu Barisan Nasional. Buat masa sekarang, yang paling utama ialah mengambil alih Putrajaya daripada BN,” katanya.
Apa akan berlaku selepas PR mengambil alih kerajaan persekutuan nanti?
Karpal mengakui bahawa beliau belum dapat melihat bagaimana PAS atau DAP boleh berkompromi dalam isu ini.
“Akan tiba masa nanti apabila kita perlu menghadapi hakikat ini. Bagaimana kita akan berkompromi? Jika DAP berkompromi, ia bermakna ia menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan jika PAS berkompromi, bermakna ia menerima negara sekular dan ini akan bertentangan dengan prinsip mereka sendiri.”
“Apa yang menyatukan Pakatan ialah PKR. Tanpa PKR ia akan kelihatan seperti yang sama sebelum ini,” kata Karpal.
Pemimpin-pemimpin DAP masih meletakkan harapan bahawa PAS akan mengubah pendiriannya dalam isu negara Islam. “Pemimpin-pemimpin PAS yang liberal, progresif merupakan kunci dalam mencapai persefahaman ke arah kompromi yang baik,” katanya lagi.
Kenyataan ini benar-benar telah mencabar umat islam di negara yang tercinta ini. Keberanian mereka dalam menyatakan hak dan pandangan mereka semakin hari semakin lantang dan diulang secara jelas dan terang. Saya amat yakin ini bukan hanya kenyataan individu tetapi adalah pendirian parti dan juga mereka yang sentiasa melaungkan kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan berpolitik, kebebasan wanita dan bermacam kebebasan lagi. Semua ini mereka selindung dalam istilah “Human Rights”. Tidak dinafikan sebahagian dari seruan mereka itu ada kebenarannya terutama yang melibatkan undang-undang ISA dan yang seumpamanya tetapi yang ramai umat islam tidak sedar ialah mereka juga menuntut hak sama rata dalam beragama. Ertinya jika orang Islam boleh berdakwah kepada orang kafir maka mereka juga boleh berdakwah kepada orang Islam.
Saya tidak nampak ini isu politik atau isu untuk mendapat dokongan majoriti rakyat tetapi ini adalah isu kemuliaan agama Islam yang jelas diperkecilkan oleh mereka. Apapun alasan yang diberikan ia jelas merupakan satu tamparan hebat kepada pejuang Islam. Mereka bukan saja mencabar malah men”dictate”kan kepada kita. Ini satu suasana yang sangat membimbangkan apabila pihak musuh Islam berani meletakkan syarat dalam negara yang majoritinya adalah umat Islam.
Di mana izzahnya pejuang Islam? Adakah mereka ini boleh kita bawa berbincang? Bolehkah mereka dipercayai?
Saya sangat hairan, dalam keadaan mereka begitu tegas dengan pendirian terhadap Islam, masih ada lagi umat Islam yang “thiqah” dengan mereka. Tidak kurang juga ada yang kagum dengan “keikhlasan” mereka ini sehingga sanggup berkompromi dalam banyak perkara.

Aminuddin Yahaya,
Setiausaha Agung,Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Suara Dari Gunung

Tuesday, July 13, 2010

Haiya 'alas Solah


Penyatuan Suatu Harapan

Golongan agama komited satukan UMNO-Pas

KUALA LUMPUR 12 Julai - Golongan agama hari ini melahirkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus berusaha menyatukan UMNO dan Pas demi kepentingan Islam dan umatnya walaupun terpaksa berdepan cemuhan daripada penyokong kedua-dua parti.

Penyatuan dua parti orang Melayu itu jika benar-benar berlaku dianggap kemenangan paling besar bagi umat Islam negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebagai golongan agama, segala cabaran harus dihadapi dengan tenang kerana tanggungjawab menyatukan umat Islam termasuk membabitkan parti-parti politik orang Melayu merupakan tuntutan agama.

"Tidak boleh tidak, kita terpaksa mengakui masa depan Islam di negara ini terletak di tangan orang Melayu. Atas sebab itu saya dalam usia lebih 70 tahun ini tidak pernah berhenti berusaha selain berdoa untuk melihat orang Melayu benar-benar bersatu.

"Perpecahan antara kedua-dua parti ini sebenarnya cukup memberi kesan kepada kedudukan Islam sekali gus kedudukan orang Melayu di negara kita. Malaysia adalah negara kita dan sekiranya berlaku sesuatu yang buruk ke mana harus kita pergi?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan UMNO bersatu dan bekerjasama.

Lokman berkata, jika UMNO dan Pas bekerjasama banyak perkara boleh dilaksanakan termasuk hukum hudud berbanding tindakan bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza.

Harussani menambah, dalam keadaan umat Islam masih berpecah, pemimpin UMNO dan Pas sepatutnya mengetepikan fahaman politik masing-masing dengan menjadikan Islam sebagai asas penyatuan.

"Ini bukan soal perkauman tetapi ini menyentuh mengenai masa depan Islam. Apabila kita menyentuh tentang Islam ia bersangkut paut dengan orang Melayu kerana Islam di Malaysia didukung oleh orang Melayu.

"Sebab itu saya mahu UMNO dan Pas kembali bersatu. Mereka boleh duduk dan berbincang atas konsep syura demi Islam dan demi orang Melayu. Bukankah syura merupakan amalan Rasulullah?" katanya lagi.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi berkata, penyatuan UMNO dan Pas akan membolehkan Islam dan kedudukan umat Islam bertambah kuat.

"Saya tidak akan berhenti melakukan kerja ini. Kerja ini tiada noktahnya kerana ia membabitkan kedudukan Islam serta umat Islam pada masa akan datang.

"Saya tidak rela melihat Islam dipermain-mainkan mana-mana pihak. Saya juga tidak mahu melihat kedudukan umat Islam terus menerus berada pada persimpangan jalan yang amat kritikal ekoran wujudnya perpecahan," katanya.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya semua pemimpin UMNO dan Pas menginsafi nasib menimpa Islam dan umat Islam ekoran ketiadaan perpaduan yang jitu di kalangan umatnya.

Dalam pada itu beliau berkata, dalam konteks politik semasa, Pas harus bekerjasama dengan UMNO dan bukannya parti lain seperti DAP sekiranya parti itu mahu meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi.

"Butalah mata mana-mana pemimpin (Pas) sekiranya ada antara mereka mahu bekerjasama dengan DAP kerana terlalu mementingkan politik," katanya lagi.

Mengulas isu sama, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussein berkata, penyatuan UMNO dan Pas bukan sahaja menjadi hasrat kepada golongan agama malah bagi semua umat Islam.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan percaya jauh di sudut hati umat Islam ingin melihat kedua-dua parti itu bersatu dan bekerjasama khususnya berkaitan dengan Islam dan kepentingan Melayu.

"Saya sendiri sentiasa berdoa agar apa yang dihasratkan ini dimakbulkan oleh Allah," katanya lagi.

http://www.utusan. com.my/utusan/ info.asp? y=2010&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Monday, July 5, 2010

Program Motivasi SMK Seksyen 27 Shah Alam



Shah Alam (23 Jun 2010) :
Alhamdulillah, dengan izin Allah, Sebuah program motivasi pelajar telah berjaya diadakan bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27 Shah Alam yang dikendalikan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam/Klang. Antara objektif program ini ialah

1) Membantu pelajar membuat persediaan dari segala aspek agar dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan bersedia dari aspek mental dan fizikal.
2) Membantu pelajar menguruskan rutin harian agar tersusun dan pelajar dapat melakukannya dengan sistematik.
3)Membantu pelajar menangani tekanan yang akan dihadapi semasa menjelangnya peperiksaan.

Program bermula seawal jam 8.30pagi dengan pengisian ceramah oleh saudara Mohd Azmir b. Mohd Razli dari Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA). Program Motivasi ini khusus buat pelajar tingkatan 3 seramai 126 orang yang bakal menduduki peperiksaan PMR tahun ini. Selepas rehat, pelajar sekali lagi diberikan tip-tip tambahan oleh Ust. Mohammad Rizal Sabran (setiausaha KRIMSAK) yang menuntut agar pelajar lebih bersemangat dan tidak mudah berputus asa untuk terus belajar dan mencapai kejayaan yang diidamkan. Slot latihan dalam kumpulan (LDK) dipimpin oleh Saudara Mohd Azmir dan dibantu oleh beberapa orang ikhwah alumni sekolah tersebut.


Majlis penutup diserikan dengan kehadiran dan ucapan penutup oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mewakili guru besar sekolah tersebut. Pelajar kemudiannya dipimpin untuk bersama menunaikan solat zohor berjemaah di surau sekolah. Semoga program ini dapat membuka pintu kerjasama antara KRIM dan pihak sekolah untuk mengadakan program-program di masa hadapan.

Malaysian aid convoy arrives in Gaza Strip




Bantuan kemanusiaan daripada Aman Palestin yang bernilai kira-kira USD100,000 dilaporkan telah selamat tiba di Gaza melalui sempadan Rafah pada pagi Ahad yang lepas, menurut perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh Ikhwanweb.

Walau bagaimanapun, delegasi konvoi kemanusiaan Aman Palestin yang diketuai oleh Pengerusi Eksekutifnya yang juga Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman belum memperolehi kebenaran untuk menyeberangi sempadan Gaza-Mesir berikutan masalah komunikasi.

Ketibaan bantuan kemanusiaan yang merangkumi keperluan-keperluan asas dan ubat-ubatan tersebut diharap sedikit sebanyak dapat mengurangkan keperitan yang dialami oleh penduduk Palestin khususnya di Gaza.

Berikut merupakan laporan penuh yang dikeluarkan oleh Ikhwanweb:

Malaysian aid convoy arrives in Gaza Strip

Relief aid and medicines from the Aman Palestine Institute in Malaysia with an estimated worth of $100,000US arrived in Gaza on Sunday morning via the Egyptian Rafah crossing.

The relief aid was accompanied by a delegation including 12 Malaysian notable personalities, consisting of representatives of Malaysian NGOs and television journalists, who were not granted permission to pass the crossing as a result of failure of coordination, according to the Egyptian crossing administration.

Head of the Aman Palestine Institute in Malaysia, Abdullah Zeek, who is still waiting on clearance from the Egyptian government to enter the Gaza Strip, stated that the aid is reassurance to the Palestinian people that they are not isolated from the Islamic world, adding that the Malaysian people have a strong interest in the Palestinian cause and provide ongoing support for the people under siege in the Gaza Strip.

For his part, Omar Siam, Executive Director of the Bureau of Aman Palestine in Gaza, confirmed that the aid arrived in Gaza, noting that it will be distributed to the needy and to medical institutions in the Strip.