Friday, September 24, 2010

Wahai perokok..

Wahai saudara/i. Janganlah anda menyiksa diri anda dan orang lain di dunia dan akhirat. Jauhilah ia untuk keselamatan/kebaikan diri anda dan orang lain.


Ia pembunuh yang sangat bahaya








SHANGHAI, ISLAM, MELAYU DAN 1 MALAYSIA

Dr Mohd Asri Zainul Abidin)

Ketika saya menulis rencana ini, saya sedang berada di Shanghai dan menuju ke Xian dan Beijing. Beberapa hari lepas, pada 21hb September 2010, saya menyertai satu rombongan VVIP melawat Shanghai World Expo 2010. Satu expo yang teramat besar bermula dari Mei sehingga Oktober 2010. Hampir 200 negara menyertainya. Kos keseluruhan expo ini mungkin puluhan billion ringgit. Setiap negara membina astaka atau pavilion mereka sendiri untuk memperkenalkan negara mereka kepada dunia. Setiap negara membelanjakan puluhan, bahkan ratusan juta untuk itu. Saya difahamkan, Malaysia sendiri membelanjakan tidak kurang dari RM 20 juta untuk membina Malaysia Pavilion di expo tersebut. Di sebabkan terlalu luas kawasan expo ini, jika anda melawatnya, dalam sehari anda mungkin hanya dapat melawat sekitar belasan astaka sahaja. Terlalu luas dan terlalu ramai pengunjungnya. Target 70 juta pelawat ke expo tersebut mungkin tercapai dengan mudahnya. Bayangkan 70 juta pengunjung, melebihi dua kali penduduk Malaysia.

Tinjauan
Terlebih dahulu, walaupun saya datang menyertai rombongan VVIP, tulisan saya ini hanya mewakili pemerhatian saya secara peribadi. Secara umumnya, saya rasa rakyat Malaysia tahu bahawa pandangan-pandangan sebelum –insya Allah- bebas dari unsur perkauman dan fanatik. Saya berusaha bersikap adil, itulah titah agama yang luhur. Maka saya harap rencana ini dibaca dengan semangat kenegaraan dan hakikat sebuah negara bernama Malaysia.
Pertamanya, saya mengucapkan jutaan terima kasih yang teramat sangat kepada pihak Kementerian Pelancongan Malaysia yang menyambut kedatangan rombongan kami dengan penuh layanan mesra. Budi baik amat dikenang. Saya juga rasa patut berterima kasih atas usaha kementerian berkenaan memperkenalkan Malaysia di expo berprestij tersebut.
Atas usaha pihak kosulat Malaysia di Shanghai dan Kementerian Pelancongan, kami mendapat layanan istimewa di setiap pavilion negara-negara yang kami lawati. Alhamdulillah, dan terima kasih!
Islam
Namun, atas hak sebagai seorang rakyat Malaysia, saya sedikit ingin memberikan pandangan peribadi di sini. Ada beberapa gambaran yang saya rasa kurang kemas dalam expo tersebut. Saya tidak pasti ia berlaku secara sengaja, atau tidak sengaja. Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia kita wajar mengakui beberapa hakikat negara kita. Antaranya, kita berbilang agama dan bangsa. Islam adalah agama rasmi dan mempunyai penganut yang paling besar. Agama-agama lain juga wujud secara aman. Orang melayu adalah majoriti terbesar. Kaum-kaum lain juga hidup secara aman. Kita semua sepatutnya berusaha ke arah kedamaian dan keharmonian. Jika kita ingin menceritakan negara kita ini kepada dunia, inilah hakikatnya. Ia bukan soal perkauman atau fanatik agama, tetapi itulah realiti negara kita. Tiada cacatnya menceritakan realiti itu kepada dunia.
Namun saya rasa, jika saya tidak tahu tentang Malaysia, saya datang ke Malaysia Pavilion di Shanghai World Expo 2010, saya mungkin akan mengagak bahawa agama Kristian adalah agama majoriti rakyat Malaysia. Tempat-tempat ibadat yang di paparkan hanyalah dua buah gereja. Itu pun bangunan binaan tinggalan penjajah Portugis, bukan binaan rakyat Malaysia. Ini seperti gambar yang saya sertakan. Entah berapa banyak masjid dan seni binanya yang cantik, namun tidak ditonjolkan. Lojiknya, tonjollah secara seimbang dengan menggambarkan kepelbagaian agama. Sudah pasti Islam sebagai agama rasmi, tidak boleh dinafikan kedudukannya, kerana itulah realiti kita.



Hanya inilah dua pusat ibadat yang tertonjol di Malaysia Pavilion di Shanghai. Penulis berdiri di hadapan dua gambar tersebut yang terpapar ketika memasuki ke Malaysia Pavilion.


Mungkin ada pihak berfikir, menggambarkan Islam sebagai agama yang terbesar di Malaysia kurang menarik bagi masyarakat antarabangsa. Jika itulah fikiran mereka, bererti kita cuba menafikan realiti nagara kita, dan amat tidak adil untuk penganut Islam di Malaysia. Negara-negara Islam lain tidak menafikan pun hakikat mereka. Bahkan di China sendiri, ada province (wilayah) yang majoriti penganutnya beragama Islam, iaitu Wilayah Ningxia. Dalam expo Shanghai ini, China Pavilion menonjolkan wilayah tersebut dan kehidupan penduduknya. Agama dan budaya mereka. Saya merakam beberapa gambar yang saya ambil ketika melawat pameran Wilayah Ningxia di China Pavilion. China menggambarkan kepelbagaian mereka atas konsep ‘hidup di bawah satu bumbung’.


Penulis bersama dengan lelaki Ningxia yang berpakaian menunjukkan kesan Islam dalam kehidupan mereka.


Pakaian wanita Ningxia juga menggambarkan kesan Islam dalam masyarakat mereka. Gadis ini sedang menuang teh khas kepada tetamu kepada penulis ketika disambut sebagai rombongan VIP.
Bahkan lebih daripada itu, pavilion yang paling mewah dan mendapat sambutan besar adalah Arab Saudi Pavilion. Dikatakan mereka membelanjakan lebih US 200 juta untuk expo tersebut. Arab Saudi cuba menonjolkan kehebatan Islam yang menjadi teras kehidupan rakyat mereka, bahkan umat Islam keseluruhannya. Kecanggihan teknologi digunakan. Mereka mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Orang ramai sanggup beratur berjam-jam untuk memasuki pavilion mereka.
Begitu juga kebanyakan negara-negara Arab Teluk yang lain, tetap mengakui Islam mempunyai akar umbi dalam kehidupan mereka. Iran yang sering dituduh dengan keganasan itupun, tetap menonjolkan unsur Islam dalam kehidupan rakyat mereka. Maka, di expo yang berprestij ini, saya tidak rasa rendah diri dengan unsur Islam.
Maka bagi saya, ketidak tonjolan Islam sebagai sebuah agama besar di Malaysia, amatlah tidak adil kepada penduduk majoriti sebuah negara bernama Malaysia. Jika tidak banyak, sedikit pun tetap perlu dinyatakan.
Seni
Begitu juga di sudut seni. Kita tidak boleh menafikan bahawa orang melayu juga mempunyai pelbagai karya seni. Sepatutnya, wajar sedikit sebanyak ditonjolkan. Ini seperti yang ditunjukkan Morocco pavilion yang menggambarkan kehalusan seni tempatan mereka. Bahkan, jika saya tidak tahu apa-apa tentang Malaysia, gambar seni lukisan yang paling besar di pavilion kita menggambarkan kaum India dan agama Hindu. Ini seperti gambar yang saya sertakan. Tidak adakah sedikit untuk kaum majoriti dan agama majoriti? Gambar-gambar lain amatlah abstrak, di samping kecil, ia boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud.


Gambar seni yang terbesar yang dipaparkan di Astaka Malaysia, Shanghai World Expo 2010.
Putrajaya

Saya rasa kita patut berbangga dengan keindahan Bandar Putrajaya. Di sudut seni bina dan keindahan, ia adalah salah satu kejayaan. Patut ditonjolkan kepada dunia. Demikian juga binaan-binaan canggih lain dalam negara kita. Cumanya, saya gagal menemui gambaran keindahan Putrajaya di Malaysia Pavilion, Shanghai World Expo. Lebih mengejutkan, gambar pusat perjudian dan peranginan Genting terpapar di sana. Sebagai seorang muslim, saya tentu rasa rendah diri jika saya ditanya oleh pelawat asing mengenai hal perjudian itu kepada saya. Memang kita tidak nafikan ia wujud, dan saya sebagai muslim tidak pernah meredhai perkara itu. Tetapi, untuk tatapan dunia, tidakkah kita mempunyai banyak pilihan yang lain. Saya makin bingung dengan konsep 1 Malaysia ini!


Gambar Genting yang ditonjolkan di Pavilion Malaysia.


Kaum
Negara kita mempunyai pelbagai kaum. Inilah salah satu keunikan kita. Orang melayu adalah majoriti, seterusnya diikuti kaum lain. Jika kita ingin menceritakan kepada dunia, maka ceritalah sedemikian rupa. Namun, jika saya tidak tahu apa-apa tentang Malaysia dan mengunjungi Malaysia Pavilion di Shanghai, saya akan kata kaum utama adalah kaum peranakan baba dan nyonya. Itulah gambar utama yang tertonjol. Kaum-kaum lain tidak ditonjolkan. Jika adapun, pakaian para penari yang mewakili pelbagai kaum. Itupun, hanya orang tahu dan pernah ke Malaysia mungkin akan faham. Orang luar, mereka memahami apa yang terpapar sahaja.


Salah satu gambar utama semasa pintu masuk ke Malaysia Pavilion di Shanghai.


Sebuah Catatan
Banyak persoalan berligar di kepala saya selepas mengunjungi Shanghai World Expo ini. Di mana saya sebagai seorang muslim melayu Malaysia. Saya tidak perkauman. Sama sekali tidak. Para pembaca dapat membaca pandangan-pandangan saya sebelum yang amat anti sikap fanatik kaum atau agama. Namun, saya rakyat Malaysia yang pasti enggan haknya dinafikan. Saya tidak ingin bertanya kepada pihak yang menguruskan, tetapi saya ingin bertanya Kerajaan Malaysia yang membelanja wang rakyat melebihi RM 20 juta untuk expo ini. Di Shanghai World Expo 2010, di manakah saya sebagai rakyat muslim di bawah konsep 1 Malaysia?

Monday, September 13, 2010

Tazkirah Syawal


Assalamualaikum..
Alhamdulillah….segala puji dirafa’kan kehadrat Ilahi, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan buat semua yang berjuang unuk menegakkan kalimah Allah di serata ceruk muka bumi daripada kalangan sahabat, tabi’in hinggalah mereka yang berjuang kehari ini.
Telah berlalu ramadhan, bulan yang dipenuhi dengan fadhilat dan kelebihan, yang mana sungguh rugilah mereka yang telah mensia-siakan dan membiarkannya berlalu tanpa diisi dengan amal-amal ibadah. Ramadhan yang mana belum tentu lagi kita akan menemuinya pada tahun hadapan. Berapa ramai insan yang saya temui telah kembali menemui Ilahi ketika dibulan ramadhan, dan ada juga yang sesudah berakhirnya ramadhan.
Namun rahmat Allah itu maha luas. Kasih sayangNya tidak putus-putus buat hamba-hambaNya yang beriman. Diberikan peluang kepada kita sesudah ramadhan yang lalu, dengan amalan berpuasa enam di bulan Syawal yang mana ganjaran pahalanya menyamai berpuasa sepanjang tahun sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud “Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari dibulan syawal, ia adalah seperti berpuasa setahun.”. Berdasarkan perkiraan setiap amalan kebajikan itu diganjari dengan sepuluh kali ganda maka 30 hari dibulan ramadan bersamaan dengan 300 hari iaitu sepuluh bulan dan puasa enam hari diganjari dengan 60 hari bersamaan 2 bulan. Maka genaplah perkiraan satu tahun setelah ditambah 300 hari (bulan ramadhan) dan 60 hari (syawal).
Ikhwah/at yang disayangi…… marilah sama-sama kita bermuhasabah mengenai puasa kita yang lalu. Adakah ianya benar-benar memberi kesan kepada ibadah-ibadah kita untuk seterusnya?......adakah ramadhan kali ini benar-benar menjadi madrasah untuk mentarbiyah diri kita agar lebih kuat untuk beramal ibadah pada bulan seterusnya?....ataukah kita hanya menjadi hamba kepada ramadhan, tidak kepada Allah tuhan dan pemilik kepada bulan-bulan tersebut?...marilah kita meneruskan amalan-amalan dibulan ramadhan seperti tilawah al-Quran, berpuasa, iktikaf, qiamullail, bersedekah dan lain-lain.
Semoga kita bakal bertemu dengan ramadhan akan datang bersama-sama semangat dan keinginan yang tinggi untuk mengecapi redha Ilahi.
Wassalaamu ‘alaikum warahmatullah.

Rehlah Masyi Badar Al-Kubro



SHAH ALAM 31 Ogos - Dalam meraikan Nuzul al-Quran pada17 Ramadhan yang lepas seramai 110 orang ahli ISMA cawangan Shah Alam & Klang sama-sama menjayakan program Rehlah Masyi Badar al-Kubro 2010 di Taman Tasik Shah Alam anjuran Biro Pembangunan Sumber Manusia Cawangan.

Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini terdiri daripada para peserta daripada segenap lapisan umur menyajikan pelbagai aktiviti berupa kerohanian dan fizikal antaranya perlu memenuhi beberapa kewajipan seperti hafalan beberapa ayat surah al-Anfal, istigfar, solat sunat Dhuha, soalan kuiz sirah Islam serta simulasi peperangan Badar.

Pengarah program, Ustaz Mohammad Rizal Sabran berkata, perjalanan rehlah pada tahun ini sangat mencabar ditambah pula dengan beberapa ujian dan dugaan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh perjalanan ini.

Selain itu, aktiviti yang telah ditetapkan tersebut juga dapat membina dan menguatkan hubungan kita dengan Allah Taala melalui wajibat yang telah ditetapkan, tambah beliau lagi.

Menariknya program kali ini, 2 pasukan tertinggi telah dianugerahkan lencana Badar di mana ahli-ahli pasukan tersebut diberi amanah sekiranya suatu hari nanti mendapat panggilan jihad maka merekalah yang akan berada di barisan hadapan berbanding lain dalam menyahut seruan itu.

Dengan adanya penganugerahan sebegini, sedikit sebanyak dapat memberi motivasi kepada sebilangan peserta lain yang tidak dapat memenuhi kewajipan yang telah ditetapkan penganjur dengan amal yang dapat melayakkan mereka menjadi tentera sehebat tentera Badar tersebut.

Turut sama hadir ke program ini ialah Yang Dipertua ISMA Shah Alam & Klang, Dr Amirudin Wahab dan Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia Pusat, Ustaz Muhd Rusdi Alias.