Saturday, January 9, 2010

ISMA Kutuk Pembinaan Tembok Pemisah di Sempadan Mesir-Palestin

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengikuti perkembangan mutakhir di Palestin dengan penuh keprihatinan, kebimbangan dan harapan, dengan memanjatkan doa kepada Allah SWT semoga umat Islam di Palestin sentiasa dibekalkan dengan kekuatan dan ketabahan. Pembinaan tembok pemisah bawah tanah di sempadan Gaza-Mesir oleh kerajaan Mesir merupakan episod terbaru dalam siri-siri penindasan terhadap umat yang mempertaruhkan nyawa mereka bagi mempertahankan tanah suci umat Islam yang ketiga itu.

Rakyat Palestin adalah umat yang dikepung di setiap sudut sempadan negara mereka dan hidup dalam serba kekurangan kerana sekatan yang dikenakan sejak mereka memilih HAMAS sebagai pemerintah yang sah dalam pilihanraya yang lalu. Sumber makanan, air, ubat-ubatan dan senjata adalah melalui terowong-terowong rahsia yang merupakan saluran hayat mereka. Berbekalkan sumber hidup yang terhad ini, rakyat Palestin masih mampu menggagalkan hasrat Yahudi dan musuh-musuh Islam yang lain daripada terus menjajah bumi Al-Aqsa.

Kini musuh-musuh Islam berusaha untuk meningkatkan penindasan terhadap umat Palestin dengan menyekat dan memusnahkan terowong-terowong rahsia bawah tanah yang menghubungkan Gaza dengan dunia luar. Kerajaan Mesir tunduk dengan arahan Zionis dan musuh-musuh Islam supaya membina tembok bawah tanah sedalam 18-30 meter di sempadan Gaza-Mesir bagi mengukuhkan lagi sekatan ke atas Palestin.

Tidak cukup Tebing Barat di timur Palestin diasingkan daripada dunia luar melalui pembinaan Tembok Apartheid oleh kerajaan Israel, kini Semenanjung Gaza di barat Palestin pula akan diasingkan daripada dunia luar melalui pembinaan tembok pemisah bawah tanah oleh kerajaan Mesir sendiri. Tindakan-tindakan ini tidak lain bertujuan untuk melemahkan tekad umat Islam di Palestin dengan menghalang sebarang bantuan dan bekalan daripada sampai ke sana, supaya mereka akhirnya tunduk kepada kehendak Zionis dan musuh-musuh Islam.

Sehubungan dengan itu, ISMA menegaskan bahawa:

1) Tindakan kerajaan Mesir membina tembok pemisah di sempadan Gaza-Mesir adalah haram dari segi hukum kerana membantu pengepungan dan sekatan ke atas saudara-saudara muslim yang akhirnya akan membawa kepada kesengsaraan dan kematian. Sebaliknya Mesir sebagai sebuah negara bersaudara Arab dan Islam sepatutnya membuka laluan Rafah dan menunaikan kewajiban membantu umat Islam yang tertindas.

2) Pembinaan tembok pemisah tersebut adalah suatu yang zalim, tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan pendirian dunia yang mengutuk sekatan ke atas Gaza. Penindasan ini hanya akan memburukkan lagi situasi di Gaza di mana penduduknya terpaksa hidup dalam kesengsaraan akibat kekurangan sumber asas kehidupan.

3) Sekatan ke atas bekalan sumber hidup melalui terowong-terowong bawah tanah ini seolah-olah melakukan pembunuhan secara perlahan-lahan dan selari dengan polisi perang dan ceroboh yang dilaksanakan oleh regim Zionis. Tindakan ini jelas bersekongkol dengan musuh-musuh Islam yang ditegah oleh Allah SWT.

4) Menyeru umat Islam di seluruh dunia, terutamanya rakyat Mesir agar bangkit mengadakan bantahan besar-besaran terhadap tindakan kerajaan mereka yang memalukan ini. Pemimpin-pemimpin Islam yang terlibat dalam konspirasi ini juga digesa supaya menarik balik keputusan membina tembok pemisah yang zalim dan tidak berperikemanusiaan ini.

5) Menyeru pemimpin-pemimpin umat Islam dari kalangan negara-negara OIC supaya mengadakan persidangan segera bagi membantah usaha dan tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini. Malahan OIC sendiri seharusnya bertindak sebagai jaguh bagi mempertahankan kedaulatan negara Palestin yang diberkati ini.

Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada umat Palestin dalam menghadapi sekatan dan penindasan yang berterusan ini. Semoga Allah SWT segera memenangkan umat Islam ke atas musuh-musuhNya dan sekutu-sekutu mereka.

No comments:

Post a Comment