Wednesday, January 4, 2012

Muhasabah 2011 bagi umat Islam Malaysia

Tahun 2011 merupakan tahun yang amat mencabar bagi umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia. Peristiwa demi peristiwa memberi tamparan kepada keizzahan agama ini. Cabaran berpunca di kalangan umat Islam itu sendiri dan juga arus yang datang dari luar.
Berikut adalah beberapa peristiwa penting yang perlu dijadikan pengajaran agar masa depan umat Islam terus terpelihara.

1. Azan Subuh dipertikai kerana menggangu tidur penduduk setempat di kawasan sekitar Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, Jalan Pantai Permai Kuala Lumpur.

2. Seorang EXCO Selangor mengarahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) supaya menarik balik larangan orang Islam bekerja di premis menjual arak.

3. Pada bulan Februari, 96 orang Islam ditahan dalam Ops Valentine yang dijalankan di Kuala Lumpur dan Selangor.

4. Di dalam kes penahanan kitab Bible berbahasa Melayu di pelabuhan Klang dan Kuching, keputusan kerajaan tidak memihak kepada umat Islam. Bible itu kemudiannya diserahkan kepada pihak gereja.

5. 10 formula berat sebelah Idris Jala, selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri diumumkan dalam menyelesaikan masalah penahanan kitab Bible berbahasa Melayu.

6. Menurut statistik yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, sebanyak 863 permohonan murtad diterima oleh Mahkamah Syariah dan sebanyak 168 orang yang memohon untuk meninggalkan Islam diluluskan.

7. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penganjuran konsert MTV World Stage Live di I-City pada 24 Julai ini tetap diteruskan walaupun menerima bantahan daripada penduduk dan PAS.

8. Perhimpunan haram Bersih 9 Julai 2011 yang bertujuan menuntut ketelusan dalam pilihan raya berjaya disuraikan oleh polis, namun fakta yang menyatakan bahawa dana disalurkan oleh pihak luar amat merisaukan.

9. Tragedi 3 Ogos telah membuka mata masyarakat tentang gerakan Kristianisasi yang semakin berleluasa. Pihak JAIS berjaya membongkar penglibatan umat Islam dalam majlis Thanksgiving di Damansara Utama Methodist Church (DUMC).

10. Maruah umat Islam terus dicalar dengan tuduhan kelemahan institusi zakat dan jabatan agama merupakan punca gejala murtad berlaku.

11. Pertemuan di antara ahli parlimen DAP bersama pimpinan pertubuhan Kristian di Pulau Pinang mendedahkan telah berlaku perbincangan berkenaan idea untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

12. Selain itu, berita pembinaan gereja terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Bukit Jalil benar-benar mencabar umat Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini. Orang Islam mewakili 60.4% komposisi penduduk sedangkan masyarakat Kristian hanya 9.1%.

13. Pada bulan Mei, 4 orang pengikut Syiah ditahan. Pada 25 Ogos pula, Jabatan Agama Islam Melaka telah menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam, Melaka yang dipercayai menjadi markas sebuah kumpulan penganut fahaman Syiah. Sebanyak 35,000 buku dan risalah Syiah yang diharamkan KDN ditemui dalam keadaan siap dibungkus untuk diedarkan melalui pos ke seluruh masjid dan jabatan kerajaan.

14. Pada bulan Oktober lalu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendedahkan lebih 6 juta belia mengalami krisis identiti. Kajian yang dibuat menjelaskan rata-rata belia masa kini tiada agenda hidup dan tidak kuat dengan pegangan agama.

15. Gejala buang bayi seolah-olah tiada hentinya. Saban hari di dada akhbar dilaporkan berita bayi dibuang di dalam tong sampah, disorokkan di bawah katil, dicampak dari bangunan tinggi dan banyak lagi berita yang menceritakan perihal sama.

16. Program Seksualiti Merdeka yang mempromosikan budaya luar seperti seks bebas dan seks songsang wajar ditentang. Meskipun pihak polis telah mengharamkan penganjurannya, terdapat beberapa pihak menyokong penganjuran program tersebut.

17. Konsert artis gay Britain Elton John di Genting Highland diteruskan meskipun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak khususnya umat Islam.

18. Akibat terlalu mementingkan sentimen parti dan mengutamakan kuasa lebih daripada kepentingan umat Islam, hudud dipolitikkan sehingga sampai ke tahap ditolak dan dipermainkan.

19. Ariff Alfian yang dilaporkan hilang di Ireland telah ditemui semula tetapi di dalam keadaan yang menyedihkan, apabila gambarnya berkahwin dengan lelaki gay Britain tersebar di internet.

20. Di akhir tahun 2011 pula, kita dikejutkan dengan tindakan mempersoal perkara 153 Perlembagaan Persekutuan oleh paderi Kristian di dalam majlis sambutan hari Krismas.

Kesemua peristiwa yang disebutkan di atas membuktikan betapa teruk dan dahsyatnya cabaran yang dihadapi umat Islam dalam meneruskan survivalnya di bumi bertuah ini. Banyak lagi isu yang boleh dikupas dan dikaji bagi menyedarkan masyarakat Islam dan bangsa Melayu agar bangkit dan bertindak menjadi agen perubah ke arah yang lebih baik.
Pendedahan ini bertujuan mengembalikan umat Islam dan bangsa Melayu kepada ajaran Islam yang sebenar sebagai kunci perubahan. Menyedari hakikat ini, kekuatan iman dan kesatuan perlu diperkemas bagi menghadapi cabaran-cabaran akan datang.
Disediakan oleh:

Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin,
Pegawai Penyelidik,
Ikatan Muslimin Malaysia

No comments:

Post a Comment