Sunday, July 18, 2010

Bolehkah mereka dipercayai lagi?



Ini bukan kali pertama dan bukan juga kali kedua. Tetapi sudah beberapa kali Pengerusi DAP, YB Karpal Singh secara tegas, terang dan lantang mengatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam dan DAP tidak akan sekali-kali berganjak dengan pendirian mereka untuk tidak membenarkan negara Islam terbentuk di Malaysia jika PR berjaya menawan Putrajaya.
Inilah sedutan dari kenyataan beliau yang dilaporkan dalam The Malaysian Insider:
“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.
“Ia sebuah negara sekular. Saya percaya Allahyarham Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama) pernah menyebut sebelum ini mengenai Malaysia,” kata ahli politik veteran ini kepada The Malaysian Insider.
Karpal menyalahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengubah realiti sebuah negara sekular menerusi kenyataan-kenyataan politiknya yang dibuat oleh beliau pada masa-masa lalu, yang telah “mengelirukan orang ramai” berkenaan identiti Malaysia.
“Perlembagaan menyediakan peruntukan mengenai perkara ini. Tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan Malaysia sebuah negara Islam.
“Agama rasmi Malaysia ialah Islam tetapi tidak bermakna ia sebuah negara Islam,” kata beliau lagi.
Karpal kelihatan terkejut apabila disebutkan bahawa PAS dalam ceramah-ceramahnya memaklumkan bahawa DAP sudah menerima konsep negara Islam secara perlahan-lahan dan menghormati pendirian PAS dalam hal itu.
“Pada 1988, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular,” katanya. “Pada 1990, ketika satu ceramah di Sungai Pinang, akhbar-akhbar memetik saya mengatakan (bina) ‘negara Islam dengan melangkah mayat saya’,” katanya.
Jelas sekali bahawa mereka ingin merampas tampuk pemerintahan negara bukan untuk memartabatkan agama seperti kata beliau.
“Kita pernah menjalin pakatan pada masa lalu tetapi kita gagal. Apa yang membezakan sekarang ialah kami bersatu dalam mengetepikan musuh bersama iaitu Barisan Nasional. Buat masa sekarang, yang paling utama ialah mengambil alih Putrajaya daripada BN,” katanya.
Apa akan berlaku selepas PR mengambil alih kerajaan persekutuan nanti?
Karpal mengakui bahawa beliau belum dapat melihat bagaimana PAS atau DAP boleh berkompromi dalam isu ini.
“Akan tiba masa nanti apabila kita perlu menghadapi hakikat ini. Bagaimana kita akan berkompromi? Jika DAP berkompromi, ia bermakna ia menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan jika PAS berkompromi, bermakna ia menerima negara sekular dan ini akan bertentangan dengan prinsip mereka sendiri.”
“Apa yang menyatukan Pakatan ialah PKR. Tanpa PKR ia akan kelihatan seperti yang sama sebelum ini,” kata Karpal.
Pemimpin-pemimpin DAP masih meletakkan harapan bahawa PAS akan mengubah pendiriannya dalam isu negara Islam. “Pemimpin-pemimpin PAS yang liberal, progresif merupakan kunci dalam mencapai persefahaman ke arah kompromi yang baik,” katanya lagi.
Kenyataan ini benar-benar telah mencabar umat islam di negara yang tercinta ini. Keberanian mereka dalam menyatakan hak dan pandangan mereka semakin hari semakin lantang dan diulang secara jelas dan terang. Saya amat yakin ini bukan hanya kenyataan individu tetapi adalah pendirian parti dan juga mereka yang sentiasa melaungkan kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan berpolitik, kebebasan wanita dan bermacam kebebasan lagi. Semua ini mereka selindung dalam istilah “Human Rights”. Tidak dinafikan sebahagian dari seruan mereka itu ada kebenarannya terutama yang melibatkan undang-undang ISA dan yang seumpamanya tetapi yang ramai umat islam tidak sedar ialah mereka juga menuntut hak sama rata dalam beragama. Ertinya jika orang Islam boleh berdakwah kepada orang kafir maka mereka juga boleh berdakwah kepada orang Islam.
Saya tidak nampak ini isu politik atau isu untuk mendapat dokongan majoriti rakyat tetapi ini adalah isu kemuliaan agama Islam yang jelas diperkecilkan oleh mereka. Apapun alasan yang diberikan ia jelas merupakan satu tamparan hebat kepada pejuang Islam. Mereka bukan saja mencabar malah men”dictate”kan kepada kita. Ini satu suasana yang sangat membimbangkan apabila pihak musuh Islam berani meletakkan syarat dalam negara yang majoritinya adalah umat Islam.
Di mana izzahnya pejuang Islam? Adakah mereka ini boleh kita bawa berbincang? Bolehkah mereka dipercayai?
Saya sangat hairan, dalam keadaan mereka begitu tegas dengan pendirian terhadap Islam, masih ada lagi umat Islam yang “thiqah” dengan mereka. Tidak kurang juga ada yang kagum dengan “keikhlasan” mereka ini sehingga sanggup berkompromi dalam banyak perkara.

Aminuddin Yahaya,
Setiausaha Agung,Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Suara Dari Gunung

No comments:

Post a Comment