Friday, November 26, 2010

Korban di Acheh

Ust. Mohammad Ismail sedang melaksanakan Ibadah Korban.

Rombongan ISMA yang diketuai oleh Ust. Wan Hisham.

(Dari kiri : Ust. Rizal, Ust Wan Hisham, Ust. Mohd, Akh Othman, Abdillah dan Hamdan)

ACHEH 20 Nov : Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sekali lagi telah berjaya melaksanakan program ibadah qurban dan tautan kasih bersama anak-anak yatim di Pondok Yatim Ar-Raudhah,Blang Weu Panjou,Lhokseumawe,Acheh.

Pondok tersebut merupakan sebuah madrasah penempatan dan pembangunan untuk anak-anak yatim Aceh yang dibangunkan atas usahasama Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) Indonesia, ISMA dan juga Yayasan Ar-Raudhah Malaysia.

Rombongan seramai 7 orang wakil ISMA dihantar untuk menjayakan projek qurban tersebut yang bermula pada 18 hingga 22 Nov 2010.

Menurut wakil Media ISMA Pusat, “Inisiatif dan usaha ini memberi mesej bahawa ISMA menekankan amal bersama masyarakat Muslim bukan sahaja di Malaysia tetapi diluar negara dan ISMA berpendapat sempadan kita bukan sempadan negara, tapi sempadan akidah. Itulah batas nasionalism Islami yg ISMA pegang.

Inisiatif ini juga memberi mesej bahawa ISMA sangat terbuka untuk menjalankan program kerjasama dengan semua pihak yang mempunyai niat yang selari dengan ISMA.”ujar beliau lagi.

Program yang telah dirancang 3 bulan lebih awal tersebut , telah berjaya menarik penglibatan para belia dan orang-orang kampung di kawasan sekitar Pondok Yatim untuk turut serta.

Sebanyak 13 ekor lembu dan beberapa ekor kambing aqiqah berjaya disumbangkan dan dagingnya telah diagihkan kepada pondok anak yatim yang mempunyai lebih kurang 60 orang anak yatim lelaki dan perempuan,serta 240 keluarga dalam 6 buah kampung di dalam daerah Lhokseumawe yang rata-ratanya terdiri dari keluarga yang miskin dan berpendapatan rendah.

Selain itu,pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan antaranya bacaan tilawah quran, hafazan, slot motivasi, aktiviti dalam kumpulan yang menekankan aspek kepentingan belajar dan juga sesi persembahan kesenian dari anak-anak yatim dan juga wakil dari ISMA.

Encik Hamdan bin Abdullah, Pegawai Pos Keadilan Peduli Ummat Indonesia mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua penyumbang pada tahun ini dan berharap lebih ramai lagi yang sudi untuk melaksanakan ibadah korban di sini pada tahun hadapan.

Tambah beliau lagi, ini adalah sangat penting bagi memenuhi keperluan fakir miskin yang masih belum berkesempatan untuk menerima agihan daging korban tahun ini.

Program ini adalah program pertama yang telah berjalan lebih 5 tahun, hasil kerjasama ISMA dengan Yayasan Raudhah dan PKPU Indonesia.



oleh : Mohd Hamdan Mohd Sharif, Wartawan Program Qorban Aceh 2010

No comments:

Post a Comment