Sunday, November 14, 2010

Kem Pemantapan Sahsiah di SMK Seksyen 27 Shah Alam

Cikgu Asmadi mewakili KRIM menyampaikan cenderahati kepada Tn. Hj. Baharuddin
Ust. Mohammad Rizal sedang memberikan nasihat di majlis penutup
Ust. Mohd Pathan menyampaikan pengisian pertama
Peserta begitu tekun dan memberikan perhatian dalam kursus ini.
Abg. Fendi sedang mengendalikan bengkel untuk pelajar lelaki

SHAH ALAM, 10 NOVEMBER – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia ( KRIM ) cawangan Shah Alam Klang telah meneruskan langkah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27 bagi menunaikan amanah oleh pihak sekolah untuk melakasanakan Kem Pemantapan Sahsiah 2010.

Selari dengan usaha KRIM dalam merealisasikan agenda melahirkan remaja yang bermotivasi dan beriltizam seterusnya membina jatidiri remaja hebat, pemangku pengarah Kelab Remaja ISMA Shah Alam dan beberapa orang ahli jawatankuasa KRIM Shah Alam Klang telah turun bagi menjayakan program ini.

Tepat pukul 8.30 pagi, program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Kaunselor Rozilah Binti Damiri merangkap guru di bahagian unit Kaunseling dan kerjaya sekolah. Seusai ucapan aluan ringkas, sesi pengenalan KRIM telah disampaikan oleh pemangku Pengarah KRIM Shah Alam Klang. Taklimat tersebut dikaitkan dengan matlamat KRIM yang berusaha membantu memperbaiki peribadi dan akhlak khusus buat remaja masa kini.

Aktiviti pertama yang dijalankan setelah para pelajar diserahkan kepada pihak KRIM ialah ice breaking yang dikendalikan oleh barisan fasilitator daripada penggerak KRIM Shah Alam Klang. Para pelajar kelihatan seronok dan bersemangat untuk memecahkan tembok jurang antara mereka dengan aktiviti-aktiviti yang mempunyai objektif bermanfaat. Selesai slot “ice breaking” dan minum pagi, program diteruskan lagi dengan slot ceramah bertajuk “Hakikat Kehidupan” oleh Ustaz Pathan b. Hussin.

Melalui slot ini, para pelajar dapat mengenali diri, mengetahui tujuan hidup dan destinasi yang mereka akan tuju. Objektif slot Hakikat Kehidupan ini telah dikukuhkan lagi dengan perlaksanaan Latihan Dalam Kumpulan 1 ( LDK ) yang dikendalikan oleh fasilitator dengan aktiviti dan permainan yang berkait rapat dengan mengenal erti kehidupan.

Pada sebelah petangnya, program diteruskan lagi dengan slot ceramah ke 2 bertajuk “Selamat Tinggal Jahiliyyah” oleh Cikgu Asmadi b. Abd Samad. Slot yang dilaksanakan selepas menjalankan Latihan Dalam Kumpulan 2 ( LDK ) ini telah menyemarakkan lagi semangat para pelajar untuk mengetahui helah anasir-anasir jahiliyyah yang membelenggu remaja hari ini seterusnya membuka ruang pemikiran para pelajar langkah terbaik untuk dilakukan setelah mendapat penjelasan di dalam slot terakhir ini.

Dengan berakhirnya slot tersebut, maka berakhirlah Kem Pemantapan Sahsiah 2010 ini. Ucapan Perasmian telah disampaikan oleh Tuan Hj Baharudin Bin Hassan selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SMK 27. Beliau mengucapkan terima kash kepada Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Shah Alam/Klang atas kesudian melaksanakan program tersebut di samping menekankan kepada para pelajar mengenai peri pentingnya sahsiah peribadi muslim yang perlu dipraktikkan oleh para pelajar. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada pihak penganjur dan para peserta.

No comments:

Post a Comment