Tuesday, November 16, 2010

ISMA mendekati pekerja Industri

Ust. Mohammad Rizal menerima cenderahati daripada pengerusi Badan Kebajikan PEDMA En. Aminuddin

peserta sedang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ust Mohammad Rizal

Sabak Bernam - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah membuka peluang kepada ISMA untuk mendekati warga industri dengan jalinan kerjasama dalam program Khemah Ibadah yang dijalankan pada 13-14 Nov 2010 di ILDAS. Program ini telah dijalankan bersama warga Panasonic Electronic Devices Malaysia Sdn Bhd (PEDMA), dengan disertai seramai 42 orang pekerja.
Khemah ibadah ini lebih menekankan tentang Tahsinul Solat melalui slot pengisian serta bengkel secara teori dan praktikal bagi memperbaiki serta mengindahkan solat. ISMA dengan diwakili oleh Ustaz Rizal Sabran, Saudara Kamarul Azizan, Ustazah Noraishah, Ustazah Zaleha dan Ustazah Elyah daripada ISMA cawangan Shah Alam Klang telah diberikan amanah untuk menjadi fasilitator sepanjang program tersebut.
Program dimulakan dengan pengisian tajuk tahsinul solat oleh Ustaz Kamal bin Sahlan, Imam Besar masjid Hishamuddin, Pekan Sabak Bernam. Pengisian ilmiah oleh Ustaz Kamal diteruskan dengan penerangan teori secara interaktif oleh Ustaz Rizal di dalam aktiviti pertama. Peserta kemudian dibahagi-bahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan dibimbing oleh para fasilitator secara praktikal berkenaan rukun perbuatan di dalam solat.
Dalam aktiviti yang seterusnya, peserta juga diberi penerangan tentang bagaimana memperbaiki bacaan-bacaan di dalam solat. Peserta kemudiannya diuji serta diperbaiki bacaan-bacaaan rukun solat secara individu oleh fasilitator. Selain daripada aktiviti-aktiviti tahsinul solat, program tersebut juga dihiasi dengan qiamulail dan senamrobik. Pada slot yang terakhir peserta mengeluarkan resolusi yang akan mereka laksanakan selepas khemah ibadah tersebut.
Program ini akhirnya disempurnakan dengan sesi penerangan daripada pihak JAIS yang diwakili oleh Ustazah Sabariah Bt Hj Salleh iaitu Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS. Pengerusi Badan Kebajikan Islam PEDMA, Hj Aminuddin Bin Abdul Rahim mewakili para peserta di dalam ucapan penutupnya memuji perlaksanaan program ini yang dianggap paling baik pernah disertai mereka sepanjang kerjasama yang dijalankan bersama JAIS. Beliau juga berharap untuk meneruskan kerjasama dengan pihak ISMA di masa akan datang.

Kamarul Azizan bin Abd Raman

No comments:

Post a Comment